Memaparkan catatan dengan label Kisah sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah sekolah. Papar semua catatan

Ahad, Mei 08, 2011

Sekolah yang maju ditadbir pengurus yang lemah?

Di kantin, di pejabat, di bilik guru, di bilik pengetua, isu yang sama. Si polan bin si polan naik pangkat. Si anu bin si anu jadi penolong kanan. Encik X dah jadi pengetua. Puan T jadi guru kanan. Aiman tak kisah. Datanglah siapa saja, lantiklah orang mana pun sebagai pengurus sekolah, yang penting mesti ada wibawa. Pengurus pendidikan mestilah mempunyai karisma. Bakat kepimpinan tidak boleh diwarisi daripada ayah yang berkuasa, dan tiada di tepian pantai. Iskk.. dah macam lagu Raihanlah pulak!


Bakat kepimpinan memang tidak boleh diwarisi, tetapi boleh dipelajari dan dipupuk sama ada melalui pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan usaha-usaha peningkatan ilmu pengetahuan. Bakat kepimpinan tidak boleh diperoleh di kedai kopi, di kantin sekolah atau di padang golf!

Pelantikan pengurus sekolah tidak boleh dibuat secara tangkap muat, kronisme dan pilih kasih. Pemilihan sepatutnya dibuat secara teliti, melalui proses pemilihan yang terancang. Apa salahnya pemilihan pengurus-pengurus organisasi pendidikan dibuat sebagaimana pemilihan Guru Cemerlang iaitu melalui proses pemantauan, penyeliaan, temu duga, penyemakan dokumen, penilaian rakan sejawat dan bukti rekod kecemerlangan.


Pengurus pendidikan mestilah mempunyai visi yang jelas, punya kemahiran komunikasi dan ilmu kepemimpinan. Cakap mereka cakap yang berhikmah, penuh dengan ilmu dan pedoman, serta rajin membaca.

Pengurus pendidikan menjadi tulang belakang dan nadi kecemerlangan sesebuah sekolah.
Dan, saya akan sentiasa ingat kata-kata Fred Hechinger, Presiden New York Times: “Saya belum pernah melihat sekolah yang maju ditadbir oleh pengetua yang lemah, atau sekolah yang mundur ditadbir oleh pengetua yang cekap. Saya pernah melihat sekolah-sekolah yang mundur berjaya dimajukan. Dan, YANG MENYEDIHKAN, ada sekolah-sekolah yang maju merosot dengan mendadak. Dalam setiap kes, jatuh bangun sesebuah sekolah ialah kualiti pengetuanya."

Dan, saya akan terus teringat-ingat..
tapi apa salahnya saya bersangka baik!

NOTA KAKI:
Maaf, gambar yang di atas itu tiada kaitan dengan siapa-siapa, sekadar "mencuri" gambar kegemaran AR yang terdapat pada dinding Facebooknya.

Jumaat, Januari 28, 2011

Kisah Sekolah Cap Ayam 1

"Anak encik terpaksa kami buang sekolah kerana tidak hadir ke sekolah melebihi 70 hari tahun lepas, dan tahun ini sahaja sudah lebih 15 hari tidak ke sekolah", kata Cikgu T, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Cap Ayam.

"Kami telahpun menghantar surat amaran pertama kepada pihak ibu bapa, dan diikuti pula oleh surat kedua kerana anak encik masih melakukan kesalahan yang sama. Setelah kami mendapati bahawa anak encik tidak juga hadir ke sekolah, kami telah menghantar satu lagi surat agar pihak ibu bapa datang ke sekolah untuk berbincang dengan pihak kami, tetapi encik tidak juga datang. Kami memberikan peluang beberapa hari lagi sebelum pelajar diambil tindakan dibuang sekolah. Tindakan untuk mengambil tindakan membuang sekolah bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kami terpaksa mengikut prosedur yang telah ditetapkan" jelas Cikgu T dengan panjang lebar.

"Apa yang sekolah dah buat hingga anak saya tidak hadir ke sekolah hingga 70 hari?", tanya Encik Bapak.

"Apa yang ibu bapa buat di rumah hingga anak tak datang ke sekolah hingga 70 hari?" tanya Cikgu T balik.

Encik Bapak diam seribu bahasa.