Jumaat, Mac 26, 2010

Penulisan Tugasan Khas PTK: Tulis yang muluk-muluk sahaja!

1. Bagi PPPS Gred DG48 dan ke atas, format penilaian PTK masih mengekalkan 2 bentuk penilaian yang sedia ada, iaitu penulisan Tugasan Khas (Tugasan Individu) dan Penilaian Pemahaman (di pusat-pusat ujian) Bagi penulisan kertas tugasan khas, tuan-tuan dan puan-puan diperuntukkan masa selama 1 bulan untuk menyiapkan sebuah esei (pilih 1 daripada 6 soalan). Markah penuh ialah 100%, tetapi untuk markah kompetensi fungsional, kertas ini mempunyai wajaran 50%.

2. Jumlah halaman kertas TI ini adalah sebagai mana berikut:
DG54/DG52: 20 - 25 halaman
DG48: 15 - 25 halaman

3. Sediakan jadual kerja yang perlu dilaksanakan supaya tuan-tuan dan puan-puan tidak bekerja secara ’last minutes’. Mulakan dengan memilih tajuk esei yang sesuai dan pilihlah tajuk yang berkait rapat dengan bidang tugas tuan-tuan dan puan-puan, sama ada dalam bidang pengurusan dan pentadbiran atau pengajaran dan pemelajaran. Setelah tajuk yang sesuai dipilih, rangka isi esei supaya tidak lari daripada kehendak soalan.

4. Susunan kertas Tugasan Individu adalah sebagai mana berikut:

a. Ringkasan eksekutif - 1 halaman
b. Pendahuluan - 1 atau 2 halaman
c. Definisi konsep - 2 halaman
d. Fakta/isi, sekurang-kurangnya lima (5)
- Huraian bagi setiap isi
- Rumusan setiap isi (1 isi X 5 halaman = 15 halaman)
- Penutup - 1 halaman
e. Rujukan - 1 halaman
f. Lampiran - jika perlu sahaja

(Bilangan halaman: antara 20 - 22 sahaja. Catatan: ini hanyalah cadangan saya sahaja)
5. Untuk huraian konsep, huraikan beberapa konsep utama termasuk 'quotation’ yang dirujuk dalam soalan. Tuan puan boleh menyatakan pandangan terhadap 'quotation’ dan bagaimana mengaplikasikan konsep-konsep tersebut dalam organisasi.

6. Untuk bahagian ISI pula, tulislah 5 isi sahaja. Setiap isi yang dihuraikan mestilah dengan contoh dan dikaitkan dengan dengan organisasi tempat bertugas sama ada di sekolah, IPG, Kolej Matrikulasi, KPM, JPN atau PPD. Setiap huraian mestilah mempunyai kaitan dengan dasar semasa kerajaan, contohnya MBMMBI, LINUS, NKRA, Misi Nasional, dasar pelajaran dan sebagainya. Aplikasi pengetahuan hendaklah diolah dan ditulis pada aras pemikiran tinggi sama ada peringkat analisis (TK4), sintesis (TK5) atau peringkat penilaian (TK6.

7. Setiap isi hendaklah mempunyai kesimpulan kecil, iaitu rumusan atau penegasan terhadap isi yang telah dibincangkan.

8. Pada bahagian akhir, jangan lupa Rumusan Keseluruhan daripada apa yang telah dibincangkan. Di sini tuan-tuan dan puan dikehendaki membuat 'extrapolation" iaitu mengaitkan atau melanjutkan isi-isi yang telah dikemukakan dengan jangkaan-jangkaan masa depan dunia pendidikan kita, contohnya dengan menyimpulkan isi-isi tersebut dengan harapan untuk mewujudkan sitem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, atau untuk mencapai Wawasan 2020, mencapai matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya.

9. Beberapa panduan menulis ISI bagi TK4 (sesuaikan mengikut tahap kecekapan sama ada TK5/TK6)

1.Gaya penulisan dan pengolahan analisis setiap isi mesti mengikut format analisis/ sintesis/ penilaian.
2.Huraian bagi setiap fakta atau langkah yang diberi mestilah berdasarkan pengalaman tugas.
3.Ganti nama ’saya’ perlu digunakan sentiasa untuk menjelaskan setiap perkara, bukan "Guru seharusnya.."
4.Setiap huraian analisis isi mesti menggambarkan perkara yang telah berlaku atau yang telah dilaksanakan, bukan yang belum berlaku atau belum dilaksanakan. Contohnya:
-saya telah merancang dan melaksanakan...
-saya telah menggerakkan ahli pasukan...
-daripada program-program yang telah dilaksanakan, saya telah menjalankan "post-mortem" dan mendapati bahawa...
- saya telah menggubal pelan tindakan dan memastikan bahawa setiap tindakan yang dilaksanakan berjalan dengan baik....
-saya dan guru-guru di sekolah saya/ institusi saya telah melaksanakan...


10. Senarai bibliografi janganlah lebih satu halaman.

KESALAHAN-KESALAHAN YANG SERING SILAKUKAN:

1. Tidak membuat ringkasan eksekutif
2. Penerangan konsep tidak jelas
3. Huraian konsep terlalu panjang
4. Isi tidak cukup atau kurang jelas
5. Isi / huraian berulang-ulang
6. Tidak merujuk kepada organisasi sendiri/ terlalu umum
7. Tidak ada rumusan bagi setiap isi
8. Tidak mempunyai tajuk-tajuk kecil
9. Susunan kertas tidak mengikut tertib
10. Huraian tidak menepati aras TK
11. Esei calon yang sama atau hampir sama (kesan daripada perbuatan meniru atau mengupah orang menulis esei)
12. Memasukkan lampiran-lampiran dan gambar-gambar yang tidak berkaitan kerana perbuatan ini hanya akan menyebabkan bilangan muka surat esei anda akan lebih daripada bilangan yang telah ditetapkan.

Akhir sekali, tulislah yang baik-baik dan muluk-muluk sahaja. Nyatakan sahaja kita mempunyai kepelbagaian kaedah dalam melaksanakan proses P&P yang berkesan walaupun kaedah "chalk and talk" yang menjadi kaedah wajib kita saban hari. Nyatakan sahaja bahawa sebagai pemimpin pendidikan, kita telah menyediakan infrastruktur dan suasana kerja/ belajar yang kondusif kepada ahli organisasi sebagai memberi motivasi dan perangsang kepada mereka berkhidmat dengan baik dan cemerlang, walaupun hakikatnya guru-guru di sekolah masih lagi bersesak di dalam bilik guru yang panas tanpa alat pendingin hawa. Pelajar pula kepanasan kerana kipas yang rosak bertahun-tahun tidak juga dibaiki!!! Kalau tulis yang sebenar? Lu fikirlah sendiri!!

Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan itu bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan memandu kita dalam melaksanakan tugas ke arah yang lebih baik dan berkualiti. Selamat menulis, dan, tulislah sendiri!!!

Jangan lupa ziarah laman sesawang Bahagian Pembangunan Penilaian Kompetensi, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut. KLIK DI SINI!
Bersambung lagi.. panduan menjawab soalan penilaian pemahaman (ujian bertulis)

PTK lagi... Oh!..

Oh, musim menulis esei untuk Penilaian Tahap Kecekapan datang lagi! Nampaknya, dalam seminggu dua ni saya dan Awang menjadi insan terpilih yang dikejar dan diintai rakan-rakan, bukan sahaja daripada golongan guru, tetapi juga daripada pegawai-pegawai PPD dan JPN yang perlu menduduki Pusat Penilaian Kecekapan Gred DG48 dan ke atas. Rasanya tidaklah menjadi keberatan bagi saya untuk membantu rakan-rakan memberi dan berkongsi idea tentang isi yang sepatutnya dikupas sekadar yang termampu. Tetapi, saya memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan teman yang merayu agar dapat membantu mereka "menyiapkan" kertas tugasan khas itu.

"Menyiapkan" di sini bermaksud, memulakan proses penulisan dari awal hinggalah kepada proses terakhir iaitu menyerahkan esei yang lengkap kepada mereka untuk dihantar. Jika dirujuk Rujukan Terma dan Syarat Guru Cemerlang, rasanya tiada dalam bidang tugas kami sebagai GC untuk menyediakan kertas-kertas tugasan khas tersebut sebagai satu bentuk sumbangan kepada organisasi. Tambah pula, penilaian PTK ini merupakan syarat untuk kenaikan pangkat dan juga gaji. Jadi, faham-faham sajalah ya..

Untuk rakan-rakan yang termasuk dalam golongan ini, sukacita saya ingin mengingatkan bahawa, PERAKUAN CALON yang mesti ditandatangani mengandungi ayat yang tertulis:

Saya akui bahawa Kertas Tugasan individu ini adalah (sepatutnya "ialah) hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang setiap satunya telah saya jelaskan sumbernya.

Tandatangan:
Nama:
No. Kad Pengenalan:
Tarikh:

Disahkan dan diperaku oleh Ketua Jabatan:

Tandatangan:
Nama:
Cop Jawatan:

Harapnya frasa dan baris-baris kata tersebut difahami dengan jelas serta implikasi-implikasi yang bakal kita hadapi, sama ada di dunia ini, mahupun di alam sana.

Bersambung.. panduan asas penulisan esei

Sabtu, Mac 20, 2010

Jangan jadi cikgu seperti ini!


Kisah Satu

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1990. Ketika itu saya dalam tahun 3 di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Seorang guru perempuan yang mengajar Matematik telah mencubit saya di bahagian perut diikuti dengan tamparan di kiri dan kanan pipi saya.

Kesakitannya tidak dapat saya lupakan sehingga hari ini. Puncanya hanya kerana saya tidak menyiapkan kerja rumah. Seterusnya, guru itu melemparkan buku saya dari tingkat tiga terus jatuh ke bawah.

Saya diminta turun ke bawah untuk mengambil buku itu semula. Saya terkejut ketika mengambil buku itu kerana jelas terpampang nama pemiliknya "Fatihatul" sedangkan nama saya ialah "Faziatul".

Jelaslah, bahawa guru itu tersalah orang ketika menjatuhkan hukumannya. Apabila masuk ke kelas semula, saya menunjukkan buku kawan saya itu kepada guru yang berkenaan. Dengan selamba dia mengambil buku itu dan menyuruh saya duduk semula di tempat saya.

Tiada perkataan "maaf" atau apa-apa tindakan lain yang seumpamanya.

Sehingga kini, saya tidak dapat memaafkan kesilapan guru tersebut.


Kisah Dua

Saya datang daripada keluarga yang sangat miskin sehingga pernah makan nasi dengan air garam sahaja. Ketika belajar dalam darjah enam pada tahun 1967, ibu membekalkan saya dengan 11 bungkus nasi lemak. Satu bungkus saya makan sendiri dan yang sepuluh lagi adalah untuk dijual. Hasil jualan itu akan dikumpulkan oleh ibu untuk membeli keperluan sekolah saya.

Ibu saya sendiri telah mendapat keizinan daripada pengusaha kantin sekolah sebelum itu.

Pada suatu hari, seorang guru ternampak bungkusan nasi lemak itu di dalam meja saya dan dia merampas semuanya termasuk bungkusan untuk saya makan pada hari itu. Katanya, menjual nasi lemak itu adalah melanggar peraturan sekolah. Seharian saya berlapar kerana tindakan guru itu.

Yang lebih menyayat hati, saya ternampak guru itu dan beberapa guru yang lain memakan nasi lemak tersebut di kantin sekolah.

Sehingga sekarang saya berasa guru itu tidak layak bergelar GURU!!.

(dipetik daripada naskah PENDIDIK, Bil 20/2006]

Mengejar Mimpi...


Mampukah aku terus berlari mengejarmu
Meskipun hanya untuk mengutip sebuah mimpi...
Eh, bunga di atas tu bunga phalaenopsis, dah lama orkid-orkid di laman tidak mengeluarkan bunga. Bangunlah, bangunlah dari mimpi tu.. bangunlah!

Rabu, Mac 10, 2010

Kota Medan 3 - 6 Mac 2010


Pesan Awang, kalau ke Kota Medan tidak sah kalau tidak menjenguk Danau Toba. Kalau boleh, pergilah bersama rakan-rakan. Entahlah, beginilah kalau perjalanan kami kali ini yang diuruskan sendiri tanpa ejen pelancongan seperti perjalanan kami ke beberapa tempat di Indonesia sebelum ini. Semuanya terpaksa kami lakukan sendiri dan mengikut adinda Jailami, "terpaksa menumpang laki orang". Hasrat ke Danau Toba terpaksa dilupakan kerana masalah keselamatan kami dan tiada pengiring lelaki (dibaca sebagai pengawal peribadi). Berwisata bersama Adinda Jailami yang sangat obses tentang makanan memang agak menyiksakan (maaf ya dinda kerana menggunakan perkataan ini). Semua makanan dan minuman yang dipandangnya sering dikaitkannya dengan sesuatu yang meloyakan seperti tikus, katak, ular dan macam-macam lagi.

Lupakan saja keinginan saya untuk mencicipi keenakan masakan Medan dan Minang yang disebut ramai orang seperti ayam penyek, ayam pop, minuman alpukat coklat, minuman terung belanda dan banyak lagi. Memanglah begini sikap adindaku yang seorang ini. Dari kecil lagi, semua makanan yang hendak dimakannya akan diusul semua perkara. Jika kuih Onde-onde atau Puteri Mandi yang dibeli di kedai, begitu panjang soal siasatnya, bagaimana penjual kuih ni, bersih ke pengotor, bagaimana kuku dan tangannya, pinggang periuk yang digunakan oleh penjual bersih atau tidak dan macam-macam lagi. Semasa menjenguknya ketika dia masih menuntut di UKM 25 tahun dahulu, sering buah tangan yang kubawa yang berupa buah-buahan yang dibeli di Jalan Petaling, Kuala Lumpur tidak disentuhnya langsung kerana mempertikaikan jenis air semburan yang digunakan oleh penjual buah untuk menyegarkan buah-buahan tersebut.

Akhirnya, sepanjang 3 hari di Medan, hanya sepinggan nasi putih berlauk ikan kering (yang dalam fikirannya ialah katak kering, sepinggan kecil tempe goreng (dalam fikirannya ulat) dan sambal udang sahaja yang sempat saya jamah, dan segelas jus alpukat (rasanya daripada buah avocado). Tambahan pula SMS nakal daripada adinda Milah tentang makanan di Indonesia menyebabkan dia lebih cerewet. Akhirnya, biskut Munchy's dan epal yang dibawa dari rumah tak mampu dimamah dan ditelan lagi!!. Hasilnya, sepanjang berada di Medan, berat badan turun 2 kg tanpa perlu menelan Jus Mate-5 atau mana-mana ubat pelangsing badan!!!.

Namun begitu, pengalaman menaiki beca bermotor dalam hiruk-pikuk kota Medan cukup mengujakan walaupun agak letih dilambung-lambung. Membeli-belah di Pasar Ikan menemukan kami dengan sebegitu ramai orang sekampung yang rupa-rupanya sering ke Medan semata-mata untuk menempah pakaian. Kaya-raya juga orang Besut ni. Dengan membayar 350000 Rupiah sehari (lebih kurang RM95.00), kami menyewa sebuah teksi yang membawa kami ke seluruh kota Medan mencari buah tangan (hanya kek lapis, beberapa helai kain batik dan beberapa pasang telekung) untuk dibawa pulang. Sempatlah juga menjengah Istana Maimun, Masjid Raya dan beberapa tempat beli-belah lain. Namun, hasrat untuk melihat suasana sekolah di Medan tidak tertunai kerana sepanjang perjalanan kami, kami tidak ternampak sebuah sekolahpun, cuma sebuah kolej perubatan sahaja. Mungkin di sana mereka mengamalkan masyarakat tanpa sekolah, deschooling atau home-schooling!

Pesanan buat teman-teman, jika ingin melancong ke negara orang, gunakanlah khidmat ejen pelancongan kerana perjalanan kita dapat diuruskan dengan sempurna. Pastikan tempat makan disahkan halal dan kalau boleh pilihlah kedai makan yang besar-besar.