Memaparkan catatan dengan label Anjung tak berseri.... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anjung tak berseri.... Papar semua catatan

Rabu, Disember 21, 2011

Kembali ke teratak hamba!

Setelah 13 hari meninggalkan teratak yang terjepit di antara rumah agam ini,
saya mengharapkan daunan kan kekal hijau,
anggerik kan kekal mekar,
biarpun kesturi hilang harum,
mawar tak berkuntum,
saya tetap suka!

Saya tetap rindu akan laman dan teratak ini -
 tempat berbagi cinta, duka, kenangan, tangis dan tawa yang tidak pernah pudar...

Jumaat, November 26, 2010

Kami kemalingan!!

Oh, kami kemalingan awal pagi tadi dan musibah ini rasanya berlaku kali pertama dalam kehidupan saya sekeluarga dan sepanjang kami tinggal di teratak ini. Saya menyedarinya sebaik sahaja terbangun dari tidur jam 6 pagi setelah terlihat tingkap bilik belakang terbuka dan terdapat kesan diumpil.

Tidak banyak yang hilang, 2 telefon bimbit saya, telefon Kak Eina dan 1 telefon Abang Acan habis dikebasnya. Sejumlah wang dalam RM, Yuan, Dong, Rupiah dan USD juga hilang. Satu cupak "barang kemas" saya juga lesap. Wah, kaya juga Cikgu Za ni hingga ada bercupak-cupak barang kemas ya. Hmm... kasihan pencuri itu, sudah pasti kalau nak dijualnya atau nak digadainya pasti tak laku.

Yang menghairankan kami, bagaimana telefon yang dipegang erat oleh Hasan Ali dalam tidurnya dan telefon Kak Eina yang terletak di bawah dagunya boleh diambil si maling itu? (Mesej: jangan tidur dengan telefon bimbit, dan jangan tidur sambil ber-SMS!)


Sempat lagi si maling yang budiman ini memilih, menyisih dan menyusun barang-barang selepas dikebasnya!!

Ditinggalkannya yang tidak begitu berharga.

Oh, semua yang berwarna emas hilang!!

Tiada kata-kata yang mampu saya ucapkan. Bersyukurlah kami sekeluarga selamat. Wang ringgit boleh dicari. Barang kemas hanya perhiasan dunia. Telefon bimbit? Oh.. penting juga. Semoga si maling itu diberi petunjuk dan hidayah dan kembali ke pangkal jalan.

Ahad, September 05, 2010

Tauke babi pun boleh jual kandang!

Teruk benar tajuk entri saya kali ini. Entah dari mana saya mendapat idea untuk mencipta perumpamaan moden ini. Rasanya perumpamaan ini ada kaitan dengan sikap sesetengah daripada kita yang terpaksa bergolok bergadai menjelang hari raya, sanggup menghabiskan wang ringgit untuk memastikan hari raya disambut dengan luar biasa dan nampak serba baru. Tidak hairanlah setiap kali menjelang hari raya tauke-tauke kedai perabot untung berganda-ganda. Maklumlah, apabila menjelang hari lebaran, mulalah semuanya nak ditukar baharu hingga tilam dan kuali pun hendak ditukar baharu.

Kalau setiap kali hari raya semua benda nak kena tukar baru, mana boleh jadi, kan? Dan apabila terlalu banyak duit yang terpaksa kita keluarkan, timbullah perumpamaan di atas; "tauke babi pun boleh jual kandang". Kalau kedengaran agak kasar dan tidak senonoh, maafkanlah saya. Ada juga peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan "babi" di dalamnya walaupun tidak banyak, antaranya ialah "babi merasa gulai (bermaksud menyimpan rahsia yang telah diketahui umum),

Saya bukan ingin bercerita tentang babi, bukan juga ingin bercerita tentang perabot baharu yang saya beli kerana saya tidak membuat penambahan perabot tahun ini. Cukuplah dengan mana yang ada, selagi boleh digunakan, gunakanlah. Kenapa mesti kena tukar? Yang penting rumah kita bersih dan sedap mata memandang. Malu juga jika tetamu datang berkunjung, rumah kita bersepah tak berhias. Tambah malu apabila ada teman yang menjalankan perniagaan hiasan dalaman pernah menyuarakan rungutan tentang guru-guru di daerah ini yang saling berlumba membina rumah yang besar hingga melebihi setengah juta tetapi rumah mereka bersepah, kotor dan tidak terurus. Malu juga saya sebagai guru.

Syukurlah, walaupun kami sekeluarga hanya tinggal di sebuah rumah kayu kampung, sedapat mungkin saya sentiasa memastikan teratak kami sebuah mahligai yang selesa diduduki. Untuk hari raya tahun ni saya cuma akan alihkan kedudukan beberapa perabot saja, dan membuang habuk dan debu serta menambahkan sedikit jambangan bunga saja. Tahun lepas kami baru saja mengecat rumah kayu kampung kami ni. Hari raya bagi saya cukuplah kalau saya dapat melihat sedikit perubahan suasana baru di dalam rumah.

Tahun ni saya ingin "menginggeriskan" suasana ruang dalaman rumah kami. Walaupun saya sangat tidak bersetuju dengan gagasan PPSMI yang baru sahaja dimansuhkan itu (?), tetapi dalam hal hiasan dalaman, saya cukup terpikat dengan gaya desa Inggeris ini. Jadi, beberapa pasu kecil berbunga ros kecil, bingkai gambar dan jambangan bunga yang saya beli di SSF rasanya boleh menjadikan ruang tamu saya kelihatan agak Inggeris.

Sejambak bunga dan tembikar yang saya gantung pada dinding diharapkan dapat menjadikan rumah saya agak berbau Inggeris walaupun tidak sepenuhnya.

Dalam aspek menyediakan persekitaran yang bersih dan indah, Rasulullah saw sendiri suka umatnya supaya menjaga kebersihan dan menghias rumah sebagai sebahagian daripada syiar agama sebagaimana sabda baginda,
إن الله طيب يحب طيب نظيف يحب النظافة كريم يحب الكرم جواد يحب الجود
فنظفوا أفنيتكم ولا تشبهوا باليهود
yang maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia suka akan kebaikan. Dia bersih suka kepada kebersihan. Dia mulia dan suka akan kemuliaan. Dia juga pemurah, dan suka akan kemurahan. Oleh hal yang demikian itu, bersihkanlah rumahmu, jangan kamu menyerupai rumah orang-orang Yahudi”.

Namun, Islam melarang kita berlebih-lebihan dalam menghias serta ingin menunjuk-nunjuk, seperti menggunakan pinggan mangkuk daripada emas, perak atau koleksi kristal yang ribuan ringgit harganya. Syukurlah kerana rumah saya tidak begitu, dan tetamu yang mempunyai anak yang lasak tidak perlu risau semasa berada di rumah saya kerana saya tidak mempunyai koleksi seperti itu. Saya juga bersyukur kerana anak-anak saya dari kecil lagi sudah dididik untuk tahu menghargai kebersihan rumah dan menjaga peralatan dengan baik.

Ramadan semakin sampai ke penghujungnya. Semoga kita masih diberi kesempatan untuk bertemu Ramadan untuk tahun yang berikutnya. Amin. Salam Aidilfitri 1431H. Maaf zahir dan batin

daripada


Jumaat, September 03, 2010

Masa untuk mengemas rumah

Alamak, cepatnya masa berlalu. Lagi 5 atau 6 hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Lupakan tentang PTK, lupakan tentang kertas peperiksaan pelajar yang perlu disemak, lupakan sejenak kisah sekolah, kisah cinta dan pelbagai perkara lagi, sekarang sudah sampai masanya rumahku yang berdebu ini ingin mendapat sentuhan kasih sayang daripada tuannya.

Hari ni saya bertekad hendak mula mengemas rumah sebersih-bersihnya. Banyak juga ruang yang perlu dibereskan ni. Ruang tamu, ruang dapur, ruang belajar, ruang keluarga, bilik air.. ohh!! Itu belum masuk lagi bab laman rumah kami yang mula penuh dengan kemuncup tu. Nak susun pasu-pasu lagi. Ah.. kat bawah tu kerja AR dan anak-anak jantan kami le.

Nampaknya, saya kena mulakan dengan ruang dapur. Maklumlah, inilah tempat yang menjadi kegemaran kami sekeluarga, walaupun bukan untuk memasak, tetapi menjadi tempat kami anak-beranak berkongsi cerita.Sebagai perempuan, saya menghabiskan banyak masa saya di sini. Cikgu Za, jangan kau perasan kau rajin sangat memasak ya. Ohh.. dapur tempat saya memanaskan makanan yang dibeli di kedai kot. Puan-puan, pastikan setiap barang disusun dengan kemas dan mudah dicapai. Letakkanlah barang-barang yang jarang digunakan di ruang yang paling atas, manakala barang yang sering digunakan, letakkanlah di tempat yang senang dicapai.

Selepas selesai mengemas, barulah saya sedar bahawa rupa-rupanya kabinet dapur rumah saya dipenuhi dengan barangan Tupperware, yang sebahagian besar telah dikumpul hampir berbelas-belas tahun. Menyesal pulak beli barangan plastik ini banyak-banyak tapi gunanya tidak. Jika dihitung-hitung, harganya sampai mencecah ribuan ringgit juga ni. Jadi, mulai hari ni, saya berazam tidak akan menghabiskan duit membeli barangan Tupperware lagi. Saya tidak akan tergoda lagi dengan rayuan si penjual Tupperware ataupun terpesona akan katalognya lagi!! Cukuplah dengan mana yang ada.
Dan sekarang, walaupun tidak lagi membeli barangan Tupperware, koleksi saya semakin bertambah apabila barangan ini dijadikan sebagai cenderamata dan dihadiahkan oleh rakan-rakan juga sebagai cenderamata daripada sekolah-sekolah yang menjemput saya mengendalikan bengkel teknik menjawab soalan.
Ruang dapur telah selesai dikemas. Bilik air pun kena kemaskan juga. Rak tempat saya menyimpan tuala dan barangan dandan diri ni nampak kemas dan teratur sebelum tuala-tuala ni digunakan oleh anak-anak hingga berhelai-helai setiap hari. Dan yang pastinya, shower gel dan syampu yang tersusun ini boleh dihabiskan dalam masa seminggu saja oleh anak-anakku. Ohh...Sekarang, masa untuk saya berehat. Selepas ini ruang mana lagi ya yang saya perlu kemaskan?