Memaparkan catatan dengan label Seminar dan Wisata. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seminar dan Wisata. Papar semua catatan

Sabtu, Disember 24, 2011

Seminar dan Lawatan Kerja ke SMA Negeri 1 dan 6 Surabaya..

21 Disember 2011 -  Mngikuti Bengkel Penulisan Makalah Akademik, anjuran Universitas Negeri Surabaya, Indonesia dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia.
22 Disember 2011 - Mengikuti lawatan kerja ke SMA Negeri 1 dan 6, sekolah berprestasi tinggi Indonesia.




 Membaca sepanduk ini teringat saya kepada gurauan Tuan Yusof, Pegawai Bahasa JPN Selangor yang menukarkannya kepada "Datang Berkarya, Pulang Berkeluarga"

Bergambar kenang-kenangan dengan guru-guru SMA1 Surabaya
Persembahan puisdra daripada siswa SMA1

Terpegun kami melihat penghayatan pelajar-pelajar ini ketika melontarkan pembacaan puisi Indonesia dengan penuh perasan. Menurut guru mereka, mereka mempraktikkan Model Kuantum dalam proses P&P mata pelajaran bahasa Indonesia. Melalui model ini, amalan pengajaran memikat dan mengesankan akan mampu meningkatkan minat siswa mereka mempelajari bahasa kebangsaan. Pegangan guru mereka ialah, bawalah dunia mereka ke dunia kita, hantarkan dunia kita ke dunia mereka. 

Bergambar dengan Kepala Sekolah SMA6

Bangunan Pejabat Gabenor  yang terletak bersebelahan SMA6 Surabaya, dijadikan sebagai "world heritage"

Bangunan Pejabat Gabenor yang terletak bersebelahan dengan SMA6 Surabaya








Isnin, Disember 05, 2011

Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu Yang Memikat Hatyai Disember 2011

3 Disember 2011:
Dari Yala ke Hatyai, perjalanan memakan masa selama 2 jam. Kami berhenti untuk menikmati sarapan di Chana, daerah Songkhla. Kursus Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Yang Berkesan dan Memikat, anjuran yayasan Kebajikan Islam Yala diadakan di Hotel Daiichi, Hatyai Songkhla Thailand. Hotel ini dipilih oleh Ayahanda Tuan Haji Abdul Rahman Tupa kerana memenuhi piawaian halal yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam mereka.

Kursus yang berlangsung selama 2 hari iaitu  pada 3 dan 4 Disember ini dihadiri oleh 150 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru bahasa Melayu dari Sekolah Haji Harun dan beberapa buah sekolah di Yala. Keperluan terhadap pengetahuan dan kemahiran menghasilkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang memikat dan menyenangkan timbul apabila pihak pengurusan menerima sungutan daripada guru-guru tentang sikap pelajar yang tidak berminat untuk mempelajari bahasa Melayu di sekolah. Mereka menganggap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu membosankan dan tidak menarik sedangkan mereka perlu lulus bahasa Melayu untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh sekolah. Untuk menjaga kepentingan bahasa Melayu daripada terus luput hilang ditelan zaman, sekolah-sekolah agama swasta yang dikendalikan oleh badan-badan kebajikan ini telah menetapkan bahasa melayu sebagai syarat lulus untuk sekolah mereka. 


Bahasa Melayu digunakan hanya dalam pengajaran mata pelajaran agama, sedangkan dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran akademik, bahasa Thai digunakan sepenuhnya. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Selatan Thai adalah untuk membolehkan mereka memahami kitab-kitab agama yang banyak ditulis dalam bahasa Melayu. Pengaruh bahasa Thai dalam kehidupan mereka telah menyebabkan mereka semakin hilang kosa kata dalam bahasa Melayu. Bahasa Thai mendominasi kehidupan masyarakat Melayu di Selatan Thailand ini. Generasi muda lebih petah bercakap dalam bahasa Thai dengan rakan-rakan. Perkara ini membimbangkan generasi tua apabila semakin ramai anak muda yang tidak lagi dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.


Nama-nama kampung dan bandar dalam kosa kata Melayu semakin banyak yang berubah, antaranya nama Wilayah Yala misalnya berasal dari nama Jala, Narathiwat sebenarnya daripada nama Menara, Pattani daripada Petani, Songkhla daripada Senggora dan banyak lagi. Masjid Kru Se misalnya, berasal daripada perkataan Melayu iaitu  Masjid Keresek. Proses asimilasi ini berlaku tanpa sedar dan mereka bimbang suatu waktu nanti bahasa Melayu di Wilayah Islam Melayu ini semakin pupus dan tidak digunakan lagi.

Bengkel yang berakhir pada petang 4 Disember diakhiri dengan pembentangan oleh peserta-peserta kursus. Mereka  telah membentangkan dapatan tentang hasil yang diperoleh oleh mereka, antaranya, mereka gembira kerana didedahkan dengan kepelbagaian teknik, pendekatan dalam mengajarkan bahasa Melayu dengan baik, menarik dan memikat. Mereka juga dapat memahami sistem bahasa Melayu dengan lebih terperinci terutama dalam sistem ejaan, kosa kata dan tatabahasa bahasa Melayu. Mereka juga berharap agar bengkel yang seumpamanya akan dilaksanakan lagi pada masa yang akan datang. 

Semoga dengan perkongsian ilmu yang sedikit ini dapat membantu guru-guru mereka dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang menarik, berkesan dan memikat.  Akhir kata, rakaman penghargaan dan terima kasih yang banyak saya ucapkan kepada Tuan Haji Razi Bensulong, Presiden Yayasan Pendidikan Islam Yala yang juga Pengarah Sekolah Thamavityamulniti (Sekolah-sekolah Haji Harun Yala), Tuan Haji Abdul Rahman Tupa, Pengelola Sekolah-sekolah Haji Harun dan Ustaz Soleh Mayaraini, Mudir Maahad Lil-banat yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Yala yang meraikan kami dengan cukup baik dan hangat. Terima kasih juga atas sambutan dan penerimaan guru-guru   yang cukup baik terhadap kami. Budi baik tuan puan semua kami tak lupa.

Semoga segala kerja buat kita akan diberikan ganjaran dan diberkati Allah S.W.T.









Jumaat, Jun 03, 2011

Terbanglah ke Bandung...

Bandung menyambut kami dalam remang sore.
Tiba di Bandara Husein Sastranegara jam 5.30 waktu Indonesia dan melalui proses imigresen yang lama dan menjemukan. Ketibaan kami, AR dan ayahanda Profesor Eemeritus Abdullah Hassan disambut Ibu Dr Tatat Hartati dan beberapa dosen daripada Universitas Pendidikan Indonesia dengan mobil yang besar sekali (bas UPI).

Perjalanan mencari restoran de'Palm Sundanese Restaurant memakan masa berjam-jam lamanya kerana jalan raya yang macet. Betullah kata ayahanda Profesor, kalau kita tinggal di kota Bandung, mungkin sebahagian besar usia mungkin banyak dihabiskan hanya di jalanan.
Oh, kita tua di jalan raya...

Selesai makan malam dengan hidangan Sunda yang enak, kami dibawa ke Isola Resort yang terletak di dalam kawasan kampus UPI. Kampus sejuk, mata kantuk.
Tugas besar esok menunggu: Seminar dan Workshop Pedagogik Praktis Yang Berkualitas, bertempat di Balai Pertemuan Universitas Pendidikan Indonesia, Jalan Setiabudhi Bandung, 4 dan 5 Jun 2011.