Ahad, Februari 28, 2010

Dalam debar..

Apabila berita tentang keputusan STPM 2009 akan diumumkan pada hari Khamis 25 Februari 2010 sampai ke telinga, aku mula tidak senang duduk, berdebar, resah dan pelbagai perasaan bercampur aduk. Pada tarikh yang sama juga pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pula akan mengadakan proses pemantauan dan pencerapan pengajaran dan pemelajaran Guru Cemerlang. Puas memujuk dan merayu Encik Roslan dari JNJK Terengganu agar menunda tarikh tersebut kepada minggu berikutnya tapi tidak dilayan kerana menurutnya pihak JNJK mempunyai kekangan masa dan terpaksa menyelesaikan proses tersebut secepat mungkin. Apa sajalah.... Terima kasih kepada pengetua kerana membatalkan pertemuannya dengan Tuan Pengarah hari itu semata-mata untuk berada di belakangku dan menyokongkusemasa proses pemantauan ini. Dalam keadaan kami yang sering bertekak, bermasam muka dan kadang-kadang sampai aku menangis berhari-hari, sayang juga dia akan aku. Mesti Cikgu Ramli bangga kenyataan aku ini!!

Ramai yang tidak faham sebab dan musabab aku ingin menjadi orang pertama yang menerima keputusan pelajar-pelajarku ini. Mereka tidak tahu bahawa anak-anakku ini bukan seperti pelajar-pelajar sekolah elit, kluster dan ternama. Mereka anak desa yang rata-ratanya miskin dan ketinggalan. Mereka masuk ke tingkatan 6 dengan kelayakan paling minimum dan bergantung sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah. Keputusan sekolah dalam peperiksaan awam yang lain sering mengecewakan pihak sekolah. Mana mungkin sekolah ini mampu bersaing dengan sekolah-sekolah terbaik daerah yang pemilihan pelajarnya dipilih dan disaring dengan ketat. Namun begitu, berkat kesungguhan dan komitmen guru-guru, sudah 2 tahun berturut-turut sekolah ini berada dalam kelompok 3 sekolah terbaik negeri dan menjadi sekolah harian terbaik negeri. Sudah sekian ramai anak-anak desa ini dapat melangkahkan kaki ke puncak menara. Tahun ini tahun penentuan. Kegagalan mengekalkan peratus lulus 100% ingin sangat dilihat oleh ramai orang yang kemudiannya sudah pasti akan mempertikaikan kewibawaanku sebagai GC. Ada beberapa nama pelajar yang pencapaiannya merisaukan aku.

Tepat jam 8 pagi sudah terjongol Ketua Jemaah Nazir Negeri dan Nazir Encik Roslan di depan pejabat sekolah. Selepas berbasa basi lebih kurang, aku meminta keizinan mereka untuk membawa pelajar ke makmal komputer. Nasib baik malam tadi sempat juga aku menyediakan bahan p&p tentang Variasi Bahasa (bahasa formal dan tak formal, penggunaan bahasa rojak, slanga dsb) Tepat 9.00 pagi mereka sampai ke makmal komputer dan aku mulakan p&p pagi itu dengan tayangan video lagu "Kantoi" nyanyian Zee Avi sebagai set induksi. Bla..bla..bla... hentam sajalah apa saja kaedah dan pendekatan, teknik dan strategi. Yang penting, objektif p&p tercapai. Mataku sesekali menjeling sms dan panggilan masuk yang bertalu-talu ke telefon bimbitku. Ahhh.... lambatnya masa berlalu!.

Selepas selesai proses pencerapan yang berlangsung selama 80 minit, pihak JNJK menyemak dokumen dan mengadakan perbincangan dan soal jawab. Bla..bla..bla... NKRA, Linus, MBIMBM, KIA2M, program-program peningkatan profesionalisme, bla..bla.., sumbangan kepada sekolah, bahagian, kemahiran TMK dan macam-macam lagi. Tapi, yang paling seronok apabila ditanya tentang MBIMBM. Apa lagi, sudah lama saya tidak bersetuju dengan PPSMI dan terus-terang saya katakan bahawa PPSMI MEMANG SAH bercanggah dengan dasar bahasa dan akta bahasa. Tengok sajalah apa yang jadi kepada pelajar-pelajar di sekolahku. Untuk menulis dan membaca dalam bahasa sendiri pun mereka tidak mampu, apatah lagi apabila dipaksa belajar dalam bahasa yang mereka langsung tidak fahami (ayat ini mengandungi kesalahan struktur ayat pasif.. jangan ikut)

Selesai proses ini, semasa meraikan tetamu-tetamu ini minum, barulah berani membaca SMS yang masuk. SMS daripada Cikgu Azaha cukup membuatkan aku lega selepas dihimpit diasak dengan soalan-soalan maut Ketua Nazir tadi. “Kak Za, subjek Kak Za jadi penyelamat. Kita kekal 100% kerana pencapaian BM 100%”. Fuhhh… satu bab selesai. Maknanya Nor Hamida, pelajar yang kubimbangi telah lulus. SMS kedua daripada Puan Hafizah, GPK1 SMKA Durian Guling, “Tahniah Fariza, apa yang awak buat ni sampai BM awak 43 orang dapat A daripada 52 orang pelajar?”.. Biar betul?? Alhamdulillah, syukur, berbaloi juga usaha terakhirku mengadakan kelas bimbingan pada saat-saat terakhir menjelang peperiksaan baru-baru ini. Walaupun begitu, Yusazmi, pelajar harapanku tidak mampu mencapai 4A , hanya 3A dan 2B+.

Sebelum tetamu beredar, pengetua berbisik, “Kita kekal sebagai sekolah harian terbaik, terima kasih kerana mung banyak menolong”. Syukur.. inilah hadiah yang sangat bernilai, melebihi hadiah intan berlian. (tapi, kalau dapat intan berlian pun bagus juga.. dah tak dapat inilah ayatnya!!)

Rabu, Februari 24, 2010

Saya menangis membaca cerita ini..

"Abah nak makan bubur, saya suapkan abah, ya? " Aku bertanya.

Abah hanya menggelengkan kepala. Abah yang dari tadi asyik mengadu panas dek cuaca terik yang kian membahang. Kaki kanannya yang lumpuh akibat serangan strok semakin membengkak. Abah kini terlantar di atas katil. Abah yang dulu lincah ke sana sini sungguhpun usia yang menjangkau tua, akhirnya tersadai di dalam rumah.

"Aaabah, ….nak, bbuangg air besssar" Dengan payahnya abah memberitahuku.

Aku menurunkan kedua-dua kaki abah ke lantai. Menegakkan tulang belakangnya. Mengambil tangannya lalu menyentuh bahuku. Aku angkat dengan sekuat hati aku, lalu aku dudukkan di atas kerusi roda.

Aku menolak kerusi roda hingga ke bilik air. Aku turunkan semula kedua-dua kakinya. Dengan sehendak daya tenaga lemahnya, abah mengaduh kesakitan. Abah aku dudukkan di atas kerusi khas untuk menyelesaikan hajatnya.

"Nanti, kalau sudah, abah panggil saya ya" Aku memberi isyarat.

Sepuluh minit berlalu.

"Aaabahhh ttttak booooleh beraaaak" Jawab abah kepada aku.

"Okie, takpe" Jawab aku. Ringkas.

Aku angkat semula tubuh abah yang kurus ke atas kerusi roda. Kemudian, aku bawa semula ke atas katil. Dan, aku baringkan semula abah. Selang sepuluh minit kemudian, abah memberitahuku semula. Abah mahu membuang air besar. Percubaan kali kedua.

Tetapi masih gagal. Aku angkat semula abah ke atas kerusi roda. Dan, aku bawa ke atas katil semula.

Aku mengemas apa yang patut. Mengemop lantai. Menyapu dan mengelap dapur rumah adik aku. Memanaskan bubur kanji. Hari ini giliran aku dan suri menjaga abah.

Abah memanggil aku semula. Abah mahu buang air besar lagi. Aku turunkan kakinya kembali. Dan, aku angkat semula ke atas kerusi. Lalu aku bawa ke bilik air.

"Takpe, abah cuba lagi. Kalau sudah habis, bagitau" Jawab aku.

"Sudah ke bah?" Tanyaku selepas beberapa minit.

"Ttttak mau juuggga" Abah menjawab.

Tiba-tiba air mata abah bergenang. Aku terpaku.

"Abbbah susaahkan kammmu, kennnapa tttak bolllleh jugak niii" Air mata laju mengalir dari anak mata, sambil tersedu-sedu. Hiba.

Aku cepat beralih ke belakang abah. Mata aku sudah berair. Menahan tangis. Aku hiba dan pilu melihat abahku lemah dan uzur sebegitu.

"Miiiiinta maaaaf, sussahkan kamu nnni" Abah terus laju mengalirkan air mata.

"Tak apa bah, ingat lagi tak masa saya sakit setahun dulu?" aku menjawab.

"Siapa yang bawak saya pergi berubat? Abah dan mak" Aku menambah.

Aku menyeka air mataku dengan cepat. Aku tahankan sebak dan sebu di hati. Aku ambilkan gayung, dan aku curahkan air sambil menggosok rambut abah. Aku sapu dan gosok belakang badan abah sambil menguatkan air paip. Air mata aku semakin laju. Aku ambilkan syampu badan dan aku lumurkan ke seluruh badan abah. Aku bilas semula dan kemudian lapkan seluruh badan abah.

Bbbbesaarr pahala kkkamuuu jaga aaaabbbbah“ Abah berteriak kuat sambil mengeluh hiba.

Aku buat-buat tidak dengar. Aku jadi malu mendengarnya. Air mata aku mencurah seperti rintik hujan.

*** cerita ini saya petik daripada blog Cikgu Jimie. Air mataku menitis deras dan hiba mengenangkan pemergian arwah pa yang yang begitu mudah dan cepat dan kami adik-beradik tidak berkesempatan untuk berbakti untuknya dalam hayat-hayat terakhirnya sebagai mana yang dialami oleh Cikgu Jimie. Berbaktilah kepada ibu bapa kita selagi hayat mereka masih ada.

Selasa, Februari 23, 2010

BIODATA KEKASIH ALLAH S.W.T


Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa "Tak Kenal, Maka Tak Cinta". Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta akan baginda, malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya. Dan yang menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ' St. Valentino ' daripada mengingati Rasulullah SAW, dan lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW.

Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Oleh itu, kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

BIODATA RASULULLAH SAW
· Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
· Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
· Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
· Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
· Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
· Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN
· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN
· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
· Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan..
· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan perihal pengutusan seorang nabi dalam kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
· Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab 'Sirah' , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan bahawa pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
· Menyaksikan 'perjanjian Al-Fudhul' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN
· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
· Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
· Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan 'Hajarul-Aswad' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
· Menerima wahyu di gua Hira' sebagai pelantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah/8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
§ Khadijah Binti Khuwailid.
§ Saudah Binti Zam'ah.
§ Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
§ Hafsah binti 'Umar (anak Saidina 'Umar bin Al-Khattab).
§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
§ Zainab Binti Jahsy.
§ Maimunah Binti Harith.
§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar 'Ummu Al-Masakin' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra'

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah ialah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW
IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN
1. Thuwaibah 1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
SAUDARA SUSUAN
1. Halimah Al-Saidiyyah 1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul 'Uzza
3. Syaima' binti Harith bin Abdul 'Uzza
4. 'Aisyah binti Harith bin abdul 'Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8. Abdul Ka'bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

Nabi Muhammad SAW - Manusia agung..
KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH. Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Antara kata apresiasi para sahabat ialah:

- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..
- Aku melihat cahaya dari lidahnya.
- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
- Wajahnya seperti bulan purnama.
- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
- Janggutnya penuh dan tebal menawan.
- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
- Rambutnya sedikit ikal.
- Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
- Rambutnya terbelah di tengah.
- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua-dua bahunya lebih drpd biasa.
- Seimbang antara kedua bahunya.
- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
- Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik. - Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
- Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
- Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
- Warna putihnya lebih banyak.
- Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
- Warna kulitnya putih tapi sihat.
- Kulitnya putih lagi bercahaya.
- Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
- Badannya tidak gemuk.
- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
- Perutnya tidak buncit.
- Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada dalam kalangan orang ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.


KESIMPULANNYA :
Nabi Muhammad sa.w ialah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.

Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihimu di akhirat kelak. Allahu 'a'lam

Khamis, Februari 18, 2010

Cepatnya masa berlalu..

Diam tak diam, pejam celik, pejam celik, bulan Februari bakal melabuhkan tirainya. Cepatnya masa berlalu dan begitu banyak perkara yang perlu kita buat setiap hari. Dalam seminggu dua ini, rutin harianku bertambah dengan tugas-tugas di luar waktu kelas pengajaran. Kegiatan kokurikulum, mesyuarat sana dan sini, mengemas kini fail-fail panitia, memeriksa kertas ujian dan tugas pelajar yang bertimbun-timbun, menguruskan pendaftaran peperiksaan dan menyiapkan analisis peperiksaan yang date due-nya yang agak tak masuk dek akal menyebabkan aku tidak punya banyak masa untuk mengemaskinikan blog ini.

Usahlah kita bersengketa dan berdebat perkara yang remeh-temeh yang tidak menyumbang apa-apa kepada dunia sekeliling kita. Kita tinggalkan saja perihal penulisan buku rekod mengajar sebagai mana entri yang telah saya paparkan sebelum ini. Tulislah apa saja yang anda ingin tulis, gunakanlah apa cara yang ingin anda gunakan. Buatlah apa saja asalkan anda senang dan bahagia. Yang penting, buatlah yang terbaik dan menggambarkan perancangan kita dalam melaksanakan pengajaran dan pemelajaran yang berkesan. Tulislah apa sahaja yang anda mahu asal tidak melanggar peraturan. Buat sajalah mengikut keupayaan!!! Buat sajalah.. jangan sampai tak buat!!!