Selasa, April 27, 2010

Program Memartabatkan BM (MBM) KPM-BPG di IPG Kampus Sultan Mizan


Unit Bahasa, Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru sedang melaksanakan siri kursus Bahasa Melayu di bawah program Memartabatkan Bahasa Melayu MBM) melalui Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI) bersama-sama IPG Kampus Sultan MIzan, Besut. Sebanyak 8 siri kursus akan dan telah dilaksanakan, dan hingga kini 4 siri kursus telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan guru-guru terplih dari negeri Terengganu dan Kelantan.

Hari ini, 27 April hingga 30 April 2010 bermula siri kursus yang memfokuskan e-pemelajaran dan e-kamus bagi meningkatkan ilmu dalam kalangan guru mata pelajaran Bahasa Melayu terutama dalam usaha memerkasakan bahasa Melayu menghadapi dunia tanpa sempadan ini. Untuk sekolah rendah pula, kursus yang sedang berlangsung dalam tempoh yang sama ialah Strategi Pengajaran Penulisan Berkesan.

Semoga program ini berjaya mencapai matlamat ke arah memartabatkan Bahasa Melayu sesuai dengan tugas, fungsi dan status sebenar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Guru bahasa Melayu perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan mereka agar tidak terus ketinggalan. Guru perlu menjadi suri teladan kepada pelajar dalam penggunaan bahasa yang baik dan tepat.

Apalah guna punya perahu,
Perahu tua muatan sarat;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Tersipu-sipu di meja mesyuarat.

Apalah guna punya perahu,
Tersadai berbulan di tepi parit;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Bagai perawan sering berpingit.

Apalah guna punya perahu,
Layarnya reput sukar dinaikkan;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Bagai rumput kering di jalanan.

Apalah guna punya perahu,
Tersadai di tebing dimakan hari;
Apalah nasib bahasa Melayu,
Hidup terasing di negeri sendiri.

Rabu, April 07, 2010

Cinta Kolesterol

Seminggu dua ni kepala saya agak berat selepas dikejar oleh rakan-rakan penangan PTK. Rasanya hari ni saya ingin bercakap tentang pemakanan pula. Maklumlah, sejak mencapai berat badan yang diingini ni (ada unsur menunjuk-nunjuk ni), dan tahap kolesterol pula sudah turun, saya rasa bolehlah saya bercakap tentang cinta kolesterol ni. Oh... esei PTK saya tak sempat siap lagi ni. Lupakanlah saja. Harap-harap sempatlah siap sebelum menjelang 17 April nanti.

Untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat, elakkan makan makanan-makanan berikut:

1. Daging merah (sekali seminggu tidak mengapa)
2. Daging yang diproses
3. Daging organ dan bahagian dalam seperti hati dan limpa.
4. Kulit ayam atau itik.
5. Makanan bergoreng dan kuah berlemak seperti nasi lemak.
6. Produk tenusu yang tinggi lemak.
7. Kurangkan gula putih bertapis dan makanan berproses.
8. Buangkan penggoncang garam.
9 Minyak masak dan majerin, dan produk komersial yang mengandungi asid lemak trans (lemak berhidrogen dan separa berhidrogen).
10.Elakkan ikan masin, jeruk, belacan dan kicap komersial.
11.Makanan yang hangus kerana memanggangnya atau menggoreng pada suhu yang tinggi.
12. Hadkan makanan yang mengandungi bahan pengawet, pewarna tiruan dan perisa.

Bolehlah makan makanan-makanan berikut:

1. Daging putih daripada ayam atau itik.
2. Ikan terutama sekali yang mengandungi lemak EPA (tiga kali seminggu seperti salmon, tuna, tenggiri, sardin dan hering).
3. Produk tenusu berlemak rendah.
4. Buah-buahan beraneka warna yang kaya dengan antioksidan daripada flavonoid dan karotenoid, vitamin B dan gentian (serat).
5. Sayur-sayuran beraneka warna yang kaya dengan beta karotena, vitamnin C, E dan B, gentian tinggi dan flavonoid.
6. Kacang dal dan kacang-kacang lain.
7. Majerin - pilih majerin lembut mono tak tepu yang bebas daripada asid lemak trans. Banyak gunakan minyak zaitun.
8. Bijirin, kacang-kacang dan legum.
9. Pasta
10.Bakar atau panggang makanan bukan menggorengnya.
11.Pilih karbohidrat kompleks seperti beras perang, capati, roti gandum asli, bijirin oats dan jagung.
12. Banyakkan makan bawang putih, bawang-bawang lain, halia dan kulat.
13.Minum lapan gelas air bersih atau air mineral setiap hari (saya minum 4 liter air putih setiap hari..huhuhu)

SELAMAT MENJAGA DISPLIN PEMAKANAN ANDA!!!!!
Catatan: sehari selepas entri ini ditulis, Awang masuk hospital kerana serangan jantung.

Selasa, April 06, 2010

Sekolah di perbukitan



Di sini kugapai harapan
Dalam tenang menyinar
dalam aman yang nyaman
moga akan lahir cahaya
dalam indah, ada damai dan misteri


(belajar tulis puisi jugaklah...)

Mencari Cinta Phalaenopsis...


Akibat kekangan waktu, tugas rutin yang tak pernah selesai, Phalaenopsis yang dulunya berkembang indah di pojok laman rumahku tidak lagi kusentuh kubelai menyebabkan banyak yang telah mati, layu dan diserang penyakit. Phalaenopsisku ini suatu waktu dulu menyambutku pulang dari tanah suci dengan bunganya yang indah dan membahagiakan. Mengenangkan Phalaenopsis, hati menjadi sedih, sayu, hiba, kasih... ada cinta di hujung daunnya yang lebar!!

ada embun masih bertakung di perdu kenangan,
harumannya menyebar ke seluruh alam,
sejuta rerama singgah,
menghirup harum embun,
yang masih bertakung

ada bisik sutera menyentuh hatiku...
13 mac 2010


Jumaat, April 02, 2010

Jadi cikgu jangan berkira...

Jawatankuasa khas diberi dua bulan selesai tekanan hidup guru: Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

respons 1:
"Waktu di sekolah masih belum cukup... guru-guru wajib membawa balik kerja di sekolah untuk disiapkan di rumah. Kalau tak, alamatnya tak siaplah! Apabila kerja sekolah dibawa ke rumah terutamanya guru-guru wanita, kesannya banyak urusan keluarga tak selesai. Kain baju tak sempat nak lipat, pinggan mangkuk tak sempat nak basuh, pakaian suami tak sempat nak gosok dan tidur lewat malam"

respons 2:
"Beban tugas guru masih tak berselesaian. Bukan sahaja guru data malah semua guru. Kebanyakan guru lebih memberi tumpuan kepada tugasan bukan hakiki seperti menyiapkan pelbagai fail, maklumat dan dokumen yang mengikut pihak pengurusan perlu disiapkan segera. Hampir 100% drp waktu free guru digunakan untuk membuat kerja-kerja bukan hakiki. Sepatutnya masa free guru digunakan untuk menyemak kerja murid, membina bahan PnP serta membuat persediaan mengajar esoknya. Hal-hal sebeginilah yang menyebabkan kualiti PnP guru-guru menurun dan kesannya adalah kepada para pelajar".

Setelah bergelumang dalam dunia pendidikan selama kurang lebih 22 tahun, pada saya, KALAU NAK JADI CIKGU, JANGAN BERKIRA SANGAT, jangan selalu sangat mengungkit-ngungkit tentang tugas. Lakukanlah dengan ikhlas. Buatlah setakat yang kita mampu. Fail, maklumat dan dokumen bukannya sepanjang tahun perlu disediakan. Itupun selalunya hanya pada awal tahun sahaja. Kutipan yuran, menyiapkan data murid juga bukanlah tugas yang dilakukan sepanjang waktu. Namun begitu, tugas menyemak tugas pelajar, menyediakan bahan p&p ialah tugas yang mesti dilaksanakan setiap hari. Jadi, gunakanlah masa free tersebut dengan baik dan terancang.

Kalau tamat waktu mengajar pada jam 1.30 petang, apalah salahnya kalau kita tambahkan masa setengah jam lagi hingga jam 2.00 petang untuk memahamkan pelajar. Jangan berkira sangat. Jangan berkira sangat untuk mengadakan kelas-kelas tambahan pada hari minggu dalam sejam dua.


Tugas-tugas di sekolah, siapkanlah di sekolah. Janganlah tergesa-gesa untuk pulang segera seusai waktu persekolahan. Tak perlulah dibawa pulang. Kalaupun perlu dibawa pulang juga, gunakanlah masa sejam dua sahaja. Takkanlah sepanjang hari menyelesaikan tugas sekolah hingga mengganggu tugas rutin di rumah seperti melipat kain baju, membasuh pinggan, pakaian suami tak sempat nak digosok dan rumah bersepah tak dihias. Kalau tak sempat, buatlah seperti saya. Hantar saja baju suami yang sukar digosok ke kedai dobi, senang cerita.

Kalau nak jadi cikgu, jangan berkira. Mengajar di sekolah kampung yang murid-murid rata-ratanya miskin seperti di sekolah saya, cikgu tidaklah boleh berkira sangat untuk menghulur seringgit dua untuk murid-murid yang kadang-kadang tidak ada duit belanja untuk mengisi perut di kantin. Sesekali, raikan mereka dengan hidangan KFC sebagai hadiah, contohnya jika mereka lulus dengan baik dalam ujian. Janganlah berkira sangat untuk menghabiskan RM4.00- RM5.00 jarang sekali untuk membuat salinan fotostat bahan pengajaran. Kalaulah cikgu nak berkira sangat, nanti murid-murid pun berkira juga. Berapa banyak masa yang cikgu masuk kelas yang cikgu terlambat sepuluh dua puluh minit.

Namun begitu, pihak pentadbir sekolah, janganlah berkira sangat juga. Agihkan tugas di sekolah secara sama rata agar tidak berlaku sebilangan guru yang terbeban dengan sekian banyak tugas, manakala segelintir yang lain boleh bergoyang kaki dengan santainya.

Untuk Awang dan anak-anak, terima kasih kerana tidak berkira sangat dengan saya. Makan, pakai, rumah dan semuanya diterima seadanya, tidak berkira sangat...