Jangan jadi Guru Cemerlang kerana mahu naik gred semata-mata!!!
Semua guru, lebih-lebih lagi yang bergelar Guru Cemerlang perlu bersedia untuk sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan kecekapan. Kursus yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Besut khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan ketrampilan GC daerah Besut hari ini nampaknya kurang mendapat sambutan dengan pelbagai alasan yang remeh-temeh. Daripada ahli 55 orang, yang hadir hanyalah 20 orang, suatu jumlah yang amat memalukan dan menggambarkan komitmen yang sangat rendah dalam kalangan GC. Apabila saya diberi mandat oleh PPD untuk mengendalikan program ini, dan apabila melihat keadaan ini, saya berasa sungguh sedih dan jengkel!!
Mana mungkin GC berupaya mengembangkan potensi diri mereka jika tidak menghadiri pertemuan-pertemuan profesional dan majlis peningkatan ilmu yang telah dirancang. Guru Cemerlang tidak boleh bergerak secara bersendirian. Guru Cemerlang memerlukan pasukan dan bekerja secara sepasukan. Kerja secara sepasukan akan membuahkan hasil kerja yang lebih bermutu berbanding bekerja sendirian. Semangat untuk bekerja tidak mudah luntur kerana sering mendapat dorongan daripada rakan-rakan GC yang lain.
Kalau ditanya, "Banggakah cikgu mendapat gelaran GC?", Jawapan saya, "Pasti!!". Saya antara GC lantikan awal yang dipilih melalui proses pemantauan dan penilaian yang bertapis-tapis. Dicerap beberapa kali oleh Jemaah Nazir, memerlukan sokongan daripada rakan sejawat, dinilai juga oleh pelajar, disemak segala dokumen dan pelbagai prosedur yang mendebarkan. Saya bukan GC yang dilantik oleh sang pengetua dengan hanya satu soalan, "Cikgu, nak naik gred tak?. Kalau nak naik gred, nah, isi borang GC ni! Tak ada pemantauan Jemaah Nazir, tak ada markah rakan sejawat. Isi borang dan isilah markah berapa saja yang cikgu mahu. Saya akan tandatangan saja!!" Saya bukan GC yang dilantik secara begini!!! Namun begitu, tidak semua GC mempunyai sikap seperti ini. Yang penting mereka mestilah sentiasa belajar, saya juga sentiasa belajar. (Hmmm.. mesti dah kena bantai ni..)
Saya bangga menjadi Guru Cemerlang kerana dengan tugas saya, saya sentiasa bersedia dan menyediakan diri untuk sentiasa nampak cemerlang, dan dapat mencemerlangkan organisasi tempat saya bertugas. Ohh... hiba pula rasa hati. Mengapa ya, semua perkara yang saya fikir belakangan ini seperti mahu membuatkan saya menangis terharu, menangis hiba. Arghh, beginilah jadinya apabila menjadi seorang yang begitu melankolik!! Huhuhu...
Sabtu, Mei 29, 2010
Aku ingin terbang!!
Dalam mencari kebahagiaan dalam sesebuah perhubungan adalah tidak terlalu lewat untuk kita terus belajar. Tidak terlambat bagi kita belajar untuk cinta, belajar untuk menghargai, belajar untuk memaafi dan belajar untuk mensyukuri. Insya-Allah kebahagiaan itu ada di mana-mana. Kita yang perlu mencari dan merasai. Berikan aku itu, berikan aku kekuatan. Aku perlu kuat. Bukan senang untuk menjadi kuat, dan aku perlu kuat untuk menjadi senang. Oh Tuhan, sudah banyak yang Kau beri dan sudah banyak yang aku mungkiri!! Ampun...
Ahad, Mei 16, 2010
Hari ni hari guru. Terima kasih anak-anak..
16 Mei datang lagi. Tahun ini entah kali keberapa saya menyambut hari guru. Sedar tak sedar tahun ini sudah 22 tahun saya berkhidmat sebagai guru. Rutin sambutan tetap sama dari dulu hingga sekarang. Ada ucapan, ada nyanyian lagu guru, ikrar, ada anugerah guru yang entah apa-apa, persembahan pelajar, main-main, makan-makan, kemudian dapat pulang awal.
Tahun ini acaranya tetap sama, cuma dalam beberapa tahun belakangan ini, sambutan hari guru di sekolah ini dimeriahkan oleh bekas pelajar yang mengambil kesempatan berkunjung ke sekolah beramai-ramai pada hari guru. Meriah betul sekolah dengan kedatangan mereka. Mereka datang dengan membawa pelbagai jenis makanan. Saya paling suka makanan Thai Somtam yang disediakan oleh Asyila dan rakan-rakannya. Tahun ini, bekas pejajar STPM 2009 berarak masuk dengan membawa pulut semangat dengan bunga telur dan nasi kunyit yang dihias indah. Wan Khalifa pula sanggup mengambil cuti dari tugasnya semata-mata untuk menghiburkan guru-guru dengan dikir baratnya. Sesuatu yang rasanya tidak berlaku di sekolah lain. Hmm.. siapakah guru itu yang telah berjaya membudayakan amalan ini?? Hmm...
Bersyukurlah kerana saya terus diberi kesempatan untuk merayakan sambutan hari guru lagi tahun ini. Dan bersyukurlah kerana kita diberi peluang berkhidmat di kampung halaman sendiri, tidak seperti sebahagian besar guru lain yang terpaksa meninggalkan keluarga kerana menabur bakti di pedalaman terpencil Sabah dan Sarawak, atau terpaksa bangun seawal 3 pagi untuk menaiki bot dan kereta api ke sekolah di hulu Gua Musang. Ohh..
Bersyukurlah kerana walaupun saya hanyalah guru biasa di sebuah sekolah biasa, yang pelajar-pelajarnya hanyalah anak orang biasa, sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang sesuatu yang hasilnya agak luar biasa. Saya bersyukur kerana dapat membantu anak-anak di kampung ini keluar dari desa ini, membina kejayaan di puncak menara. Walaupun hanyalah seorang guru bahasa Melayu yang sering dianggap tidak berprestij seperti guru Sains, Matematik dan bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya saya telah berjaya menegaskan hukum dan peraturan nahu bahasa Melayu dalam penulisan dan lisan mereka. Saya sedarkan mereka tentang amalan kesantunan berbahasa yang telah mula lari dari amalan dan pengucapan mereka, dan yang penting, saya dapat menimbulkan dan menyematkan rasa bangga akan bahasa ibunda kita dalam jiwa anak-anak ini, dan menebarkan amanat bahawa bahasa Melayu itu mampu menjadi bahasa ilmu!!
Selamat hari guru buat semua rakan seperjuangan. Pasti saban tahun akan wujud getar rasa dalam jiwa ini setiap kali menyanyikan bait-bait lirik lagu guru dan setiap kali tangan didepa tika ikrar guru dibaca...
amanat yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan... ohh!!!
Buat rakan-rakan guru, tekadkan semangat,
tabahkan hati,
perjuangan kita belum selesai!!
Sabtu, Mei 15, 2010
Guru Pembina Negara Bangsa
Esok 16 Mei, seperti tahun-tahun sudah, semua guru akan meraikan hari ini sebagai hari mereka, iaitu hari yang agak istimewan, tidak seperti hari biasa yang dilalui oleh seseorang guru. Selamat menyambut hari guru buat semua pendidik di seluruh Malaysia.
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA, tema yang sama juga dengan tema hari guru tahun lepas.
Apa hadiah yang akan anda terima esok? Pada saya, tak perlulah hadiah, cukup sekadar ingatan daripada murid-murid terhadap kita, sama ada melalui SMS, Facebook, Friendster, kad ucapan dan sebagainya. Berat hati ni nak menerima hadiah daripada mereka. Mereka bersusah-payah membuat persiapan untuk menyambut hari guru esok itupun merupakan hadiah yang sangat bermakna.
Terima kasih anak-anak...
Langgan:
Catatan (Atom)