Selasa, Ogos 31, 2010

Selamat menulis esei tugasan individu PTK

Musim menulis esei bagi memenuhi penilaian pemahaman PTK sesi 2/2010 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DGA34, DGA38, DG48, DG52, DG54 dan kumpulan AKS 26 datang lagi. Soalan esei boleh dimuat turun melalui laman web BPPK mulai 20 Ogos 2010 atau klik sahaja di sini. Tempoh penyediaan esei ialah satu (1) bulan, dan calon dikehendaki menjawab hanya satu (1) soalan daripada 6 soalan. Wajaran untuk kertas tugasan individu ialah 50% daripada markah kompetensi fungsional. 50% markah lagi daripada markah penilaian pemahaman bertulis yang akan diduduki di pusat-pusat peperiksaan pada 25 September nanti.

Penilaian PTK dibuat berdasarkan TK seseorang pegawai mengikut gred dan jawatan.
•TK 4 : Tahap Kecekapan Analisis - bagi gred AKS 26, DGA34, dan DG48.
•TK 5 : Tahap Kecekapan Sintesis - bagi gred DG52
•TK 6 : Tahap Kecekapan Penilaian - bagi gred DG54
•TK 4A : Tahap Kecekapan Analisis-Sintesis (antara analisis dan sintesis, tapi lebih kepada sintesis) - bagi gred DGA38.
(Penjawat gred DGA38 adalah Guru Besar Cemerlang)

Tuan-tuan dan puan-puan juga boleh mendapatkan panduan dan tips-tips PTK daripada blog Pena Bonda.

Sebagai panduan umum, saya perturunkan beberapa panduan asas dalam penyediaan tugasan individu. Bukan bertujuan untuk menunjuk pandai tetapi sekadar berkongsi pengalaman, dan pernah menjadi calon yang menduduki kursus PTK TK4 pada tahun 2004 kemudian menduduki ujian pemahaman TK5 Bil 1/2010. Kalau boleh saya mahu rakan-rakan guru sekalian lulus dengan baik dalam Penilaian Pemahaman PTK, sebaik-baiknya mendapat keputusan Aras Cemerlang IV yang membolehkan tuan-tuan dan puan-puan mendapat anjakan gaji yang walaupun tidaklah banyak tetapi hampir menjangkau RM600 sebulan. Namun begitu, bersyukurlah jika mendapat Aras III kerana sekurang-kurangnya telah melayakkan diri tuan-tuan dan puan-puan untuk naik ke gred jawatan yang lebih tinggi. Janganlah pula keputusan PTK anda berada pada tahap I dan II pula. Nampak sangat kita tidak kompetens.

Langkah-langkah yang perlu anda ambil:
1. Sediakan jadual kerja yang perlu dilaksanakan agar tuan-tuan dan puan-puan tidak bekerja secara ’last minutes’.
2. Pilih tajuk esei yang sesuai dan pilihlah tajuk yang berkait rapat dengan bidang tugas tuan-tuan dan puan-puan.
3. Rangka isi esei supaya tidak lari daripada kehendak soalan.

Kandungan Tugasan Individu:
1. Ringkasan eksekutif
2. Pengenalan
3. Definisi konsep
4. Fakta/isi, sekurang-kurangnya lima (5)
- Huraian bagi setiap isi
- Rumusan setiap isi
5. Penutup
6. Rujukan
7. Lampiran

Ringkasan Eksekutif (lebih kurang sinopsis) mestilah ditulis dalam satu halaman diikuti oleh pendahuluan. Ringkasan eksekutif ialah gambaran awal perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam esei. Selepas pendahuluan, jangan lupa membuat interpretasi frasa dan konsep-konsep penting yang terdapat dalam soalan. Untuk bahagian pendahuluan dan tafsiran frasa, seelok-eloknya ditulis tidak melebihi 3 halaman.

Untuk bahagian ISI pula, anda digalakkan untuk menulis 5 isi. Satu isi sebaik-baiknya dihuraikan dalam 3 halaman yang merangkumi fakta, huraian/ analisis/ contoh dan kesimpulan kecil. Kesimpulan kecil ialah rumusan atau penegasan terhadap isi yang telah dibincangkan. Pada bahagian akhir, jangan lupa Rumusan Keseluruhan daripada apa yang telah dibincangkan. Di sini tuan-tuan dan puan dikehendaki membuat 'extrapolation" iaitu mengaitkan atau melanjutkan isi-isi yang telah dikemukakan dengan jangkaan-jangkaan masa depan dunia pendidikan kita, contohnya dengan menyimpulkan isi-isi tersebut dengan harapan untuk mewujudkan sitem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, atau untuk mencapai Wawasan 2020, mencapai matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya.

Bilangan muka surat bagi tugasan individu mengikut gred anda iaitu;
DG54 dan DG52 : 20 - 25 halaman
DG48 : 15 - 20 halaman

Beberapa panduan menulis ISI bagi TK4 DG48:

1.Gaya penulisan dan pengolahan setiap isi mesti mengikut format analisis.
2.Huraian bagi setiap fakta atau langkah yang diberi mestilah berdasarkan pengalaman tugas.
3.Ganti nama ’saya’ perlu digunakan sentiasa untuk menjelaskan setiap perkara
4.Setiap huraian analisis isi mesti menggambarkan perkara yang telah berlaku atau yang telah dilaksanakan, bukan yang belum berlaku atau belum dilaksanakan. Contohnya:
-saya telah merancang dan melaksanakan...
-saya telah menggerakkan ahli pasukan...
-saya telah menggubal pelan tindakan...
-saya dan guru-guru di sekolah saya/ institusi saya telah melaksanakan...


Dalam setiap huraian isi, bagi menggambarkan tahap analisis, saya mencadangkan tuan-tuan dan puan-puan membuat huraian dengan memasukkan unsur-unsur perbandingan, perbezaan, pembuktian hasil, dan cerakin. Contoh:
-saya mendapati berlaku perubahan sikap dalam kalangan pelajar saya.. (impak)
-Hal ini membuktikan bahawa... (pembuktian)

-Jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar sebelum program ini dilaksanakan, saya mendapati bahawa .... (perbezaan)

5.Pastikan kesimpulan kecil ditulis bagi setiap isi. Kesimpulan kecil seharusnya ditulis dalam satu perenggan (6-7 ayat) dan pengakhiran bagi setiap kesimpulan kecil perlu dikaitkan dengan kehendak soalan.

6. Rumusan atau penutup jangan ditulis melebihi 2 muka surat.

7. Senarai bibliografi cukuplah sekadar satu halaman sahaja, jangan sampai 5 hingga 6 halaman pula, nampak sangat direka-reka.

8. Janganlah memasukkan lampiran yang kurang berkaitan dengan tajuk esei anda, contohnya bahan-bahan P&P daripada buku ulang kaji peperiksaan yang difotokopi semata-mata untuk menjadikan esei anda tebal. Ada juga yang melampirkan gambar-gambar peribadi dan pemandangan tempat bertugas yang rasanya tidak berkaitan langsung dengan isi esei.

Akhir kata, selamat menulis esei. Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan menjadi panduan kepada kita dalam melaksanakan tugas seharian yang lebih baik, berkualiti dan cemerlang. Bersambung.. kelemahan-kelemahan dalam penulisan esei PTK.

Khamis, Ogos 26, 2010

16 Ramadan

Pejam celik pejam celik sudah 16 Ramadan hari ini. Hari ini semua yang berada di sekelilingku membosankan. Tugas memeriksa kertas jawapan pelajar 6 atas dalam peperiksaan percubaan yang baru selesai juga membosankan. Terasa darah asyik mendidih saja ni. Saya bosan, letih.. saya sudah letih perasaan. Sampai bila?

Isnin, Ogos 02, 2010

Jom beli tanah di Cameron Highland!!!

Entah berapa puluh kami sekeluarga ke Cameron Highlands. Kali ini kami pergi lagi, kebetulan pula terlibat dengan sedikit tugas rasmi. Kali ini semangat bertambah-tambah kerana teringat janji dengan bonda untuk membawanya ke sana. Bonda selalu menyebut-nyebut bahawa dia tidak pernah sampai ke tanah tinggi tersebut. Kasihan bonda, teringat arwah pa...


Pemergian kami yang agak kerap ke sana sering menjadi bahan usikan teman-teman bahawa kami mempunyai ladang sayur dan bunga di sana agaknya. Memang pun, pemergian kami ke sana sejak dulu lagi hanya untuk "membeli tanah" di sana. Dan Cameron Highlands juga menjadikan hubungan rapat kami dengan beberapa orang pengusaha kebun bunga dan sayur hingga ada antara mereka yang kerap juga bertandang ke rumah kami.
Ada banyak tarikan yang menyebabkan saya suka ke sana. Saya masih ingat lagi semasa lebuh raya Gua Musang ke Cameron Highlands belum siap, kami terpaksa menghabiskan perjalanan selama 8 hingga jam untuk ke sana melalui Kuala Kangsar dan Tapah. Tarikannya? Pohon-pohon bunga yang segar, kaktus, orkid, strawberi dan yang pastinya jagung mutiara yang segar sentiasa menggamit dan memanggil-manggil kami. Kebetulan pula berkongsi minat yang sama dengan AR.



Strawberi yang manis untuk sarapan bersama susu segar dan emping jagung bermadu.. fuhh!!

Hanya Si Bongsu yang sentiasa mengikut kami sedangkan abang-abang tidak lagi berminat untuk ke sana. Jemu kata mereka, CH hanya ada pokok-pokok, hutan dan sayur-sayuran.

Sarapan pagi yang berkhasiat

Dan, setiap kali bangun pagi, udara segar yang kami hirup dan pemandangan yang menyejukkan di luar jendela bilik penginapan kami begitu mengujakan...



Di sini, di Cameron Highlands, banyak mengajar saya untuk belajar menghargai insan yang sentiasa di sisi saya, susah dan senang, AR. CH mengembalikan cinta dan sayang saya...




dan kaktus-kaktus yang gebu dan sihat di sini memberi suntikan peransang kepada kami untuk menyegarkan kaktus-kaktus di rumah kami yang makin layu dan tidak bermaya...



Dan yang paling penting, kedatangan kami ke Cameron Highlands adalah untuk mencari tanah. Hah, Cikgu Za jangan kau perasan kaya pulak ya.. bukan hartanah ya, tetapi tanah untuk menanam pokok daa... semua kelengkapan untuk menguruskan kebun kaktus kami seperti tanah, baja, lumut kami dapatkannya di CH.

Cameron Highlands, kami akan datang lagi.