Sabtu, Mac 19, 2011

Hidup ini indah!

Alhamdulillah. Alam ini sungguh indah.
Hadiah daripada Tuhan.
Tak pernah Dia menuntut perkiraan,
apatah lagi untuk Dia mengungkit-ungkit pemberian.

Euphorbia milii

Phalaenopsis ungu

Dendrobium selepas hujan
Dalam hati ada taman, dalam taman ada hati...
Namun begitu, sekali sekala Dia terkadang mengambil apa yang pernah diberi,
seraya ingatan bahawa tidak selama nikmat kita kecapi.
Terima kasih Tuhan,
maka nikmat Tuhan yang mana satukah ingin kamu DUSTAkan?
Syukurlah.

Khamis, Mac 17, 2011

Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu Terengganu 14 - 16 Mac 2011




Pemandangan dari Tingkat 12 hotel tempat berlangsungnya seminar.

Laut China Selatan tenang sahaja, menafikan ura-ura bahawa tsunami kecil akan melanda pantai Terengganu setelah Pantai Batu Burok berlimpah-ruah airnya hingga ke jalan besar. Alhamdulillah, Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu yang berlangsung selama 3 hari (14 hingga 16 Mac 29011) di salah sebuah hotel di bandar Kuala Terengganu berjalan lancar dan mendapat sambutan hangat daripada peserta luar dan dalam negara.

6 kertas kerja utama telah dibentangkan, iaitu daripada Penasihat Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia sendiri, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu Beijing Foreign Studies University, Prof. Dr Awang Sariyan dan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Teo Kok Seong. Pembentang kertas kerja dari luar negara pula terdiri daripada Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Indonesia, Bandung, Prof. Dr H.Sunaryo Kartadinata, Pensyarah kanan, Universiti Medan, Sumatra, Prof. Dr Khairil Ansari dan Pensyarah Kanan, dari Songkhla Nakarin University, Thailand, Dr Abdullah Karina.

Sekarang bukan masa untuk merintih dan meratapi nasib bahasa kita, sekarang masa untuk bekerja dan terus berusaha memartabatkan bahasa Melayu. Kesedihan dan kepiluan tidak akan membawa bahasa Melayu ke mana-mana; mari perkasakan pendidik bahasa Melayu, semoga usaha untuk membentuk jati diri generasi muda akan tercapai, bukan tergapai-gapai.


Pertanyaan dalam hati kecil saya: Ke mana pergi guru bahasa Melayu dan Guru Cemerlang Bahasa Melayu Terengganu yang sekian ramai itu hingga tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis ilmu ini?