Ahad, April 17, 2011

Oh, bulan!

Oh bulan, mana bintang,
Atas pucuk kayu ara;
Oh tuan ke mana menghilang
Dalam dapur atas para.. isk, takkanlah!




Saya suka melihat bulan.
Saya berharap kita melihat bulan yang sama dengan pandangan yang sama.
Kadang merenung bulan,
hati bertanya, mengapa hati begini cinta?

Perghh.. jiwang karut.


Oleh sebab saya ada blog dan blog saya sudah berbulan-bulan tidak dikemas kini, maka hari ini saya bercakap tentang bulan saja. Saya harap isu bulan ini tidak menimbulkan tanda tanya sesiapa sebab blog ini saya yang punya dan saya bebas untuk bercakap tentang apa-apa sahaja.


Nota kaki:

1. Wajah bulan pada 17 April 2011 dari laman anjung tak berseri.

Khamis, April 07, 2011

Tengok Lat!

Dalam sela-sela antara tugas rasmi dan tugas peribadi sepanjang 2 hari di Kuala Lumpur, saya tidak menolak jemputan oleh bekas pelajar AR untuk memijak Istana Budaya pada 4 April 2011, menonton teater muzikal Lat Budak Kampung dan duduk sebaris dengan tetamu VIP pada malam itu. Saya sudah lama tidak menonton drama pentas atau teater atau yang seumpama dengannya.


Pada masa saya kecil dulu arwah pa selalu membawa saya menonton drama pentas dan selepas berpuluh-puluh tahun berlalu, baru sekarang saya berkesempatan untuk menontonnya. Saya bukanlah pengkaji sastera atau peminat teater yang mahir untuk menilai teater ini dari sudut sastera dan nilai seninya.


Saya dan adik-adik membesar bersama kartun Lat, antaranya Keluarga Si Mamat, Kampung Boy, Mak Som dan lain-lain. Apabila diberi peluang melihat teater ini, saya betul-betul menontonnya sekadar untuk berhibur dan melihat bagaimana perjalanan hidup kartunis tersohor negara dipentaskan. Itu saja. Saya menonton Lat bukan kerana saya meminati pelakon Awie yang membawakan watak Lat ketika dewasa. Saya langsung tidak meminati Awie, menonton lakonannya sebagai Dato' Lat hanya mengingatkan saya kepada cerita Hantu Kak Limah Balik Kampung saja. Ce cerita.. ce cerita...


Saya seronok melihat lakonan dan gelagat kanak-kanak lelaki yang melakonkan watak Lat sewaktu kecil, dan juga watak Francis, rakan karib Lat. Saya juga suka melihat lakonan Jalil Hamid sebagai ayah Lat, dan persekitaran kerja Lat sebagai wartawan jenayah di NST. Cerita Lat ketika dewasa agak membosankan saya.


Terima kasih Tengku Suzana, wartawan hiburan Kosmo dan produser BB Alexandra yang sabar melayan karenah dua orang guru tua ini. Saya sayang awak berdua!

Jumaat, April 01, 2011

Lupakan sekejap Muka Buku!

Apabila ada pelajar saya yang sibuk bertanya tentang Facebook saya yang telah saya nyahaktifkan untuk sementara, saya hanya tersenyum.

"Kenapa? Kalau saya tiada FB, hidup awak sunyi ke?" gurau saya.

"Facebook cikgu selalu menceriakan saya, kata-kata cikgu, gurau senda cikgu, gambar-gambar yang cantik..." kata Aja memujuk, harapnya tanpa punya apa-apa makna.

"Awak masih boleh bernafas dan hidup bahagia tanpa FB saya, kan?" Aja senyum dan gelak.

"Daaahh.. pergi belajar, noktah!"


Teman-teman ada yang menghantar SMS ingin tahu apa yang berlaku. Maaf, saya perlu ruang masa dan berlaku adil untuk perkara lain. FB kadang-kadang membosankan saya, dan kadang-kadang saya mual membaca status dan komen individu yang berlagak alim dan menganggap diri mereka sajalah yang baik, tahu dan maha tahu. Saya ingin komakan Muka Buku saya buat seketika, saya ingin menelaah beberapa buku yang memerlukan saya mengorbankan sedikit waktu yang tersisa.


Selamat bertemu lagi rakan-rakan FB. Kalaupun tanpa FB, sesiapa saja masih boleh membuat onar kalau mereka mahu. SMS, e-mel, banyak lagi...


Hujan mula merintik dan membasah di luar

Angin pula bertiupan kencang sekali

Mahu beritahu apakah?