Ahad, Mac 30, 2014

Suami saya, kereta saya, rumah saya..

Dalam berkomunikasi elakkan daripada terlalu banyak menggunakan rujukan ganti nama diri pertama seperti anak saya, suami saya, kereta saya, rumah besar saya, gelang emas saya, pinggan mangkuk saya dan banyak lagi. 

Ketika berbual, jangan asyik bercerita tentang diri kita sahaja. Sesekali bertanyalah khabar orang yang sedang berhadapan dengan kita seperti keluarga awak apa khabar?, awak pula apa ceritanya, saya bersetuju dengan awak dll. 

Komunikasi tidak berlaku hanya sehala dan hanya ingin orang lain saja yang mendengar cerita kita. Rimas jika kerap berdepan dengan orang-orang yang begini.

Indah hidup ini jika kita saling bertanya khabar, saling bertukar cerita. Sesekali ambil tahu juga tentang orang yang berhadapan dengan kita. Komunikasi tidak menjadi satu hala sahaja. Percakapan pasti jadi manis dan menggembirakan. 
#pesananbuatdiri

Isnin, Mac 17, 2014

Malas, cikgu!

Cikgu Ain memanggil salah seorang murid yang mendatangi tandas di sebelah bilik kami.
"Bolehkah awak tolong saya ke kelas 3B3 dan minta semua murid ke perpustakaan sekarang juga", kata Cikgu Ain kepada budak perempuan yang bersanggul tinggi itu. 
"Malas, cikgu!" kata murid itu lalu cepat-cepat melarikan diri sebelum Cikgu Ain membuka kitab tazkirahnya.
Terkejut beruk Cikgu Ain.
Silap di mana? Apa yang ada dalam fikirannya? 
Bagaimana dia memandang dunia? 
Ke mana dituju arah hidupnya?
Bagi seorang guru,
setiap murid 
ialah cita-citanya...

#ceritaguru

Ahad, Mac 09, 2014

Hei bodoh!

Dalam sejam saya berada di dalam bilik saya yang terletak di tepi tandas pelajar perempuan, sudah lebih 100 kali perkataan "bodoh" diungkapkan oleh mereka dengan bangga dan tanpa rasa segan silu. Semua ayat mesti berakhir dengan perkataan ini, contohnya, "Hei bodoh, cepat sikit!", "Mung nak ke mana tu, bodoh? ", "Bodoh, cikgu dah masuk kelaslah, bodoh" dan banyak lagi. 
Saya terasa makin bertambah-tambahlah tahap kebodohan anak-anak Melayuku ini dengan ungkapan yang sudah menjadi seperti doa harian itu...