Tiada yang lebih indah dalam diari kehidupan seorang guru dan rasa terharu apabila namanya menjadi satu watak penting dalam rimbun ingatan anak-anak muridnya. Biar berpuluh-puluh atau berbelas-belas tahun sudah berlalu...
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Petang tadi setelah bersua dengan Cikgu Fariza Nurbaya di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, saya rasa terpanggil untuk meluahkan apa yang saya pendamkan tentang cikgu.
13 tahun lalu, saya dan kawan-kawan yang lain merupakan kumpulan pertama yang menjadi pelajar STPM di SMK Putra. Saya ketika itu seorang pelajar yang pasif, jarang untuk bangun menjawab soalan yang cikgu utarakan apatah lagi bertanya perkara yang saya tidak faham. Tetapi apabila bersama dengan kawan-kawan, saya bertukar watak menjadi seorang yang aktif.
Sepanjang saya menjadi pelajar cikgu, saya sering perhatikan cara cikgu mengajar. Dari gaya mimik muka sehingga bentuk mulut yang membundar untuk mengajar kami menyebut sesuatu huruf contohnya é taling, é pepet. Semua saya ingat apa yang cikgu ajar. Bahasa kasar, bahasa halus, semualah! Cuma, saya tidak yakin untuk bangun menjawab apabila cikgu utarakan soalan.
Apabila keputusan STPM 2004 diumumkan, saya balik ke rumah sambil menangis. Saya gagal Pengajian Am. Mata pelajaran lain saya dapat CGPA yang bagus lebih-lebih lagi subjek yang cikgu ajar, iaitu BAHASA MELAYU. Kawan-kawan lain sambung pelajaran ke universiti. Saya? Kerja kilang elekronik di Penang. Mak saya pujuk saya untuk ambil balik STPM. Sedikit sebanyak saya rasa tercabar apabila melihat kawan-kawan saya ke universiti dan cikgu beri pujian.
Saya berhenti kerja dan balik ke kampung. Saya mendaftarkan diri di sekolah swasta, dalam sebulan hanya 3-4 kali saya masuk ke kelas. Yang lain, saya ponteng. Saya belajar di rumah sebab saya tiada kawan-kawan yang rapat dengan saya di situ. Apabila menjawab soalan BAHASA MELAYU, saya seolah-olah ternampak-nampak muka cikgu sedang memberi jawapan kepada saya. Soalan yang keluar kebanyakan soalan yang sering cikgu soal di dalam kelas. Laju betul saya menjawab soalan.
Apabila keputusan STPM keluar, alhamdullilah. Saya lulus dengan CGPA yang bagus dan mendapat tawaran ke universiti. Tetapi saya menolak tawaran tu sebab saya tidak mahu menghampakan mak dan ayah saya yang mahukan saya belajar dalam bidang kejururawatan. Pada waktu itu saya dapat 3 tawaran, universiti, kejururawatan dan juga pertanian. Saya memenuhi permintaan mereka biarpun bidang itu bukanlah bidang yang saya minat.
Sepanjang belajar bidang kejururawatan, saya hanya menjadi 'silent reader' kepada status-status FB cikgu. Nasihat, kata-kata cikgu saya ikut diam-diam. Nak berbalas komen dengan cikgu saya segan. Tips komunikasi cikgu saya sering diam-diam gunakan apabila berurusan dengan peniaga atas talian. Kelakar apabila dikenang.
Sekarang apabila terjebak dalam bidang kesihatan, saya perlu buang perasaan segan, takut-takut sebab saya bekerja dengan masyarakat. Dulu setiap kali balik ke kampung, saya teringin nak ke rumah cikgu untuk bertanya khabar, tapi saya segan. Cemburu tengok kawan-kawan bergambar dengan cikgu setiap kali hari raya.🙈🙈🙈.
Sebab itulah saya melawat cikgu di BUKIT tempoh hari. Banyak perkara saya nak bercerita dengan cikgu tetapi melihat wajah cikgu saya kelu nak bercerita. Risau kalau-kalau perbualan saya menyentuh hal yang sensitif buat cikgu. Saya dapat rasakan duka yang cikgu tanggung apabila melihat ubat-ubatan yang cikgu ambil di farmasi tadi. Saya hanya mampu menyimpan sayu di dalam hati. Segala senyum cikgu, celoteh cikgu tadi sarat dengan duka. Ubat yang cikgu makan itu menunjukkan betapa kesakitan yang cikgu tanggung.
Tabahlah cikgu. Moga Allah selalu melindungi Cikgu Fariza Nurbaya.
Maafkan saya cikgu sekiranya tulisan saya ni terlalu panjang.
Maafkan saya cikgu sekiranya tulisan saya ni terlalu panjang.
Afewa Abdul Rahman
Dermax Superskin Mekwa Matyo
Dermax Superskin Mekwa Matyo