Sejak beberapa hari ini, saya menerima banyak mesej daripada bekas pelajar yang akan menjalani Latihan Mengajar (LM) di sekolah. Mereka meminta panduan dan tip terbaik untuk menjadikan Latihan Mengajar mereka di sekolah menjadi sebagai suatu proses untuk menjadi guru yang “menjadi”, guru yang sebenar-benar guru.
Kenapa tak tanya Cikgu N saja? Ataupun PPD? Usik saya.
Cikgu N tak layan budak-budak praktikum macam kami ni. PPD pula sibuk bermesyuarat, katanya.
ok, baca ni, jika larat!
1. Datang ke sekolah awal-awal dan melaporkan diri kepada pentadbir sekolah. Perkenalkan diri dan bercakaplah dengan sopan santun kepada mereka. Perangai pentadbir sekolah ini pelbagai. Kalau dapat pentadbir yang sebaik dan seramah Cikgu Za, nasib baiklah. Angkat diri sikit. Siapa nak puji diri kita kalau bukan diri sendiri, kan.
2. Pakailah pakaian yang sesuai dengan profesion perguruan. Maknanya, jika orang pandang kita, orang dapat mengagak bahawa kita ialah seorang guru, bukan seorang salesman, penyanyi rock atau pelakon drama Korea. Jika lelaki, pakailah kemeja yang kemas, bergosok, berseluar slack (jangan jean atau denim), bertali leher, berkasut hitam dan bersetokin. Rambut biar kemas, bersisir rapi dan pendek. Untuk guru pelatih perempuan, pakailah pakaian yang sesuai, tidak ketat atau terlalu seksi. Elakkan memakai pakaian yang berwarna terang. Jangan bersolek yang keterlaluan seperti warna TV3, atau kening yang dilukis tebal mengalahkan Shinchan.
3. Semasa di bilik guru, berkenalanlah dengan guru-guru terutama guru tua seperti Cikgu Za. Jangan asyik menghadap hp, berswafoto atau menghadap laptop. Bercakap-cakaplah dengan mereka, dapatkan panduan daripada mereka untuk menghasilkan p&p (pdp) yang baik dan berkesan, cara menguruskan kelas dan murid-murid serta pelbagai isu dalam pendidikan. Teori yang dipelajari selama 4 tahun belajar di universiti tak semestinya dapat dipraktikkan sepenuhnya dalam alam sebenar perguruan. Jangan terpengaruh dengan sesetengah guru yang menghabiskan masa dengan bergosip tentang anak artis atau ralit membeli barangan secara atas talian.
4. Apabila masuk ke kelas untuk pertama kali, tunjukkan bahawa anda seorang yang serius dan tegas. Layan mereka seperti seorang murid, bukan seperti adik-adik. Perkenalkan diri kepada mereka dan nyatakan perkara-perkara yang mesti dipatuhi semasa anda berada di kelas. Tidak perlu bersikap mesra kerana ini akan menyebabkan murid-murid menganggap bahawa anda boleh dibuat dibuat seperti kawan. Berikan keyakinan kepada mereka bahawa mereka akan diajar dan dididik dengan baik walaupun anda seorang guru praktikum.
Contoh ayat:
Saya Cikgu Azim Hasmadih. Saya akan menjalani latihan mengajar di sekolah ini selama 4 bulan. Saya sangat gembira kerana diberi peluang untuk mengajar kelas kamu. Sebagai guru, saya mahu kamu mendengar setiap kata saya dengan baik. Saya akan membantu kamu semua untuk berjaya dalam pelajaran dan menjadi manusia yang baik.
5. Biasanya guru praktikum akan diberikan jadual waktu mengajar yang tidak melebihi 12 waktu seminggu. Hal ini akan membolehkan anda merancang pdp dan membina BBM dengan baik. Teliti sukatan dan huraian pelajaran dengan baik dan dapatkan bantuan daripada guru panitia untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut. Manfaatkanlah buku-buku teks yang disediakan oleh kerajaan walaupun anda melihat guru-guru lama banyak menggunakan buku-buku ulang kaji peperiksaan.
6. Tulis rancangan pelajaran harian dengan baik dan terperinci. Dapatkan bantuan dan tip daripada guru lama, itupun jika ada guru yang sudi untuk menyemak rancangan pelajaran anda. Bincanglah setiap langkah dan aktiviti agar bersesuaian dengan tahap murid juga selaras dengan bahan bantu yang anda sediakan. Masukkan elemen didik hibur dalam pdp anda kerana biasanya guru lama mengabaikan aspek tersebut dengan alasan tak sempat kerana mahu menghabiskan sukatan dan sistem pendidikan yang berkiblatkan peperiksaan.
Jika ada yang sudi untuk mengikuti tip yang berikutnya, saya akan tulis lagi.
Belajarlah jadi guru yang baik, bukan baik jadi cikgu.
Oklah, nak masuk ke kelas.
#tipjadiguruyangbaik