Selasa, November 20, 2012

Kembara Pendidikan Yala- Patani 15 - 16 November 2012

Catatan perjalanan 15 November...

Ramai teman yang menyangka bahawa sistem pendidikan di Wilayah Selatan Thai hanyalah bercorak sistem pondok dan tidak formal. Terkejut juga mereka apabila melihat gambar-gambar yang saya tunjukkan tentang suasana persekolahan di Thailand ini.

Sebenarnya di Thailand, terutama di Wilayah Melayu Selatan Thai, terdapat 3 jenis sistem pendidikan iaitu sekolah kerajaan, sekolah agama swasta dan sekolah pondok. Sekolah kerajaan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak kerajaan, manakala sekolah agama swasta dikendalikan oleh yayasan-yayasan kebajikan dengan mendapat pembiayaan perkapita daripada kerajaan Thailand.  Sekolah-sekolah pondok pula diuruskan oleh orang-orang perseorangan. Kebanyakan pelajar Islam Melayu akan memilih sekolah-sekolah agama yang dikendalikan oleh yayasan-yayasan kebajikan Islam ini. Daripada peruntukan per kapita (Baht13000 untuk setiap murid/ lebih kurang RM1300.00) inilah pihak yayasan membayar gaji guru, membina bangunan, membeli bas-bas sekolah, uniform percuma untuk murid-murid dan perbelanjaan lain. Mereka juga mendapat biaya daripada yayasan dan orang-orang perseorangan dari Arab Saudi.

Terdapat 2 aliran yang ditawarkan di sekolah ini iaitu aliran akademik dan aliran agama. Aliran akademik menggunakan bahasa Thailand sebagai bahasa pengantar, manakala bahasa Melayu digunakan untuk subjek-subjek agama. Kebanyakan guru yang mengajarkan bahasa Melayu bukanlah guru yang menguasai bahasa. Kebanyakan mereka berkelulusan ijazah dan sarjana dalam bidang agama dari universiti di Timur Tengah.

Salah sebuah sekolah yang terkenal di Thailand ialah sekolah Haji Harun atau Maahad Al-Biksat al-Diiniyah. Masyarakat setempat menyebutnya sebagai Sekolah Ji-Rong. Sekolah ini mempunyai pelajar seramai 6800 orang yang berumur antara 12 hingga 18 tahun dan lepasan sekolah ini biasanya akan menyambungkan pelajaran di pelbagai universiti luar dan dalam negara. Bilangan guru pula melebihi 500 orang. 









Sebaik sahaja kami sampai di sekolah ini pagi itu, pelajar-pelajar diarahkan ke dataran perhimpunan dan kami diundang untuk menyampaikan ucapan kepada pelajar-pelajar. Berdiri juga bulu roma melihat beribu-ribu murid di hadapan saya ini. Suasana sunyi dan tidak ada murid yang bercakap-cakap, tidak seperti kelaziman majlis perhimpunan di sekolah saya - guru bercakap, murid bercakap. Dalam ucapan saya, saya mengambil peluang untuk menanamkan semangat cinta akan bahasa Melayu dan menyebut secara ringkas tentang sejarah perkembangan Bahasa Melayu dan kegemilangan yang pernah dicapai oleh bahasa kita.









Terasa seperti presiden negara yang berucap di depan ribuan rakyat jelata!









Asrama pelajar perempuan. Bayaran yang dikenakan kepada penghuni asrama ialah Baht10 sahaja sehari. (RM1.00)




Bunga raya kembang segar di laman belakang sekolah...

Dari Sekolah Haji Harun, kami bergerak pula ke Maahad al-Irsyad lil-Banat. Terdapat seramai 2600 orang pelajar di sini, semuanya perempuan. Semasa kami tiba, majlis forum sempena Maulidur Rasul sedang dijalankan. 3 orang ahli panelnya berucap dalam bahasa Melayu yang sangat baik dan petah. Seronok mendengar mereka berkata-kata dengan sepontan, lancar dan penuh dengan maklumat. Semua pelajar memberikan tumpuan kepada ucapan rakan-rakan mereka ini.



3 orang ahli panel forum yang petah bercakap dalam Bahasa Melayu yang sangat baik.



Menyampaikan ceramah motivasi penyuntik semangat. Orang Melayu Islam perlu berilmu kerana dengan ilmu sajalah kita akan maju untuk bersaing dengan bangsa lain.





Selepas berkata-kata, juadah enak menunggu kami di kantin. Kuih ini 'bada' namanya. Ada inti udang berhalia di dalamnya. Sedap!


Nasi air yang sangat sedap, harganya hanya Baht170, atau RM 1.70 ...

Pengurusan kantin sekolah diuruskan oleh pihak sekolah sendiri.  Makanan disediakan oleh pekerja yang  gajinya dibayar oleh pihak sekolah. Terdapat pelbagai jenis gerai dengan pelbagai jenis makanan.








Buku latihan bahasa Melayu


Melihat aktiviti pdp bahasa Melayu


Cikgu Suraya, rakan FB saya...
Mengambil kesempatan bergambar dengan guru-guru di Jabatan Bahasa Melayu



Deretan motorsikal yang tersusun rapi di lapangan khas tempat meletakkan kenderaan pelajar
Dari Maahad al-Irsyad lil-Banat, kami berangkat ke sekolah ketiga iaitu  Santitham Rongriyan (Sekolah Dasar dan Prasekolah).




Disambut pihak pengurusan sekolah. Guru Besarnya (tengah) berkelulusan Ph.D

Masa untuk tidur murid prasekolah (lebih kurang jam 11 pagi waktu ini)

Sekolah ini menyediakan makan tengah hari percuma untuk murid-muridnya. Jadi, kami juga dapat menikmatinya. Lauk yang dihidangkan untuk kami ialah acar telur masin dan udang singgang. 












Setelah selesai melihat-lihat dan diberi penerangan tentang sistem pendidikan di sini dan melihat PdP Bahasa Melayu dilaksanakan, kami bergerak pula ke sekolah ke-4 - Maahad al-Lutfi.

Kedatangan kami disambut oleh Mudir sekolah. Kami dimaklumkan bahawa sebahagian daripada bangunan sekolah ini dibiayai kos pembinaannya  oleh Yayasan Mohamad al-Fayed dari Arab Saudi yang kaya-raya itu.






Mudir Maahad Lutfi menyambut kedatangan kami.




Ada pelajar yang tinggal di rumah-rumah kecil ini



Masjid al-Lutfi



Sebelum bergerak ke sekolah ke-5 untuk lawatan kali ini, kami singgah sekejap di kawasan perkelahan lata Nam Tok Sai Khao, yang terletak di wilayah Pattani untuk menyejukkan badan. Cuaca di luar agak hangat.





Si Bongsu!
Kami sampai di sekolah ke-5 iaitu Maahad Azizstan lebih kurang jam 5 petang. Sekolah ini terletak di Wilayah Pattani.  Ketika kami sampai, pelajar-pelajar sudahpun mula pulang. Pelajar-pelajar di sini memulakan kelas pada pukul 8.30 dan berakhir pada pukul 4.30  petang setiap hari. Waktu malam ialah waktu kelas al-Quran. Terdapat lebih kurang 3000 orang pelajar di sini. Kami disambut Mudir sekolah, iaitu Ustaz Nasirudin. Beliau dan isteri ialah sarjana lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.





Kembara untuk hari ini selesailah sudah, dan saya menjadi semakin faham dan sedar... Terima kasih Tuhan, Kaupertemukan kami dengan insan-insan baik berhati mulia ini.



Ahad, November 11, 2012

November yang lebat..

Lebatnya hujan bulan November seperti berlumba-lumba dengan lebatnya November saya. Dalam sela masa menunggu Si Patah Tangan Ucin yang terlantar di HUSM, saya berjaya menyelesaikan tugas memeriksa kertas ujian akhir tahun pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan terbang ke Kuala Lumpur menyelesaikan tugas menganalisis data Rintis kompetensi Kementerian Pelajaran. Seingat saya, pada tahun lepas, November berlangsung dengan perkara yang hampir sama dan kesibukan yang entah apa-apa. Oh, moga tugas rutin sebagai  ibu dan isteri tidak terjejas dan tidak ada hati yang terluka dan terabai.

Kalau hati suka, susah sikit pun tak apa dan kita akan harungi dengan tabah dan ceria. Insya-Allah.
Siapa kata kerja guru senang dan boleh goyang kaki saja sepanjang cuti akhir tahun ini? Ini antara tugas rasmi saya;

5 - 9 November 2012 - Mesyuarat dan Bengkel Kerja Analisis Data dan Penyediaan Laporan Rintis Kepimpinan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Hotel Radius, Kuala Lumpur.
12 November 2012 - Kelas bimbingan akhir Bahasa Melayu 2
17 - 18 November 2012 - Mesyuarat Penyelarasan Peperiksaan, Kuala Terengganu
19 - 30 November 2012 - Tugas-tugas peperiksaan
18 - 20 November 2012 - Bengkel Kerja Penyediaan Laporan Akhir Kajian Tinjauan Streaming Class Jabatan Pelajaran Terengganu, Genting Highlands, Pahang
26 - 29 November 2012 - Bengkel Kerja Analisis Data dan Penyediaan Laporan Rintis 2, Kementerian Pelajaran Malaysia, Avilion Admiral Cove, Port Dickson
27 - 29 November 2012 - Bertugas sebagai Fasilitator Kursus Pemantapan Peserta Memartabatkan Bahasa Melayu Guru-guru Zon Timur (Program Perluasan MBMMBI), Sutra Beach Resort, Merang Terengganu.
Bertindih-tindan!

Dan, tugas apa akan menanti saya untuk Disember pula?
Senyum!
d(^__________^)b

hujan November
dalam lebat
kusembunyi rintik dalam diri.. lalala..

Isnin, November 05, 2012

Peperiksaan dunia...

Hari ini bermulalah peperiksaan dunia, SPM dan Peperiksaan Penggal 1 STPM sistem modular. Bacalah doa penerang hati sebelum melangkah ke dewan peperiksaan. Untuk anak-anak kelas prauniversiti di SMK Putra, ketika menjawab, pilihlah kata yang sesuai, agar menjadi ayat yang persis, tepat, mantap dan matang. Jangan biarkan ayat terbina digantung tanpa tali, biar jelas subjek dan predikatnya. Tulislah dengan menggunakan aksara dan huruf yang terang dan kemas, lengkap aspek mekanisnya moga senang hati orang yang membacanya. 

Sistem pendidikan di negara kita memerlukan siji untuk menentukan kebijaksanaan dan kepandaian kalian. Kalian ialah penerus generasi. Peperiksaan bukanlah satu gerah dan bencana, tetapi suatu perkara yang perlu dihadapi, dihadam dan dimesrai untuk meneruskan kelangsungan hidup. 


Minta ampun daripada Tuhan, ibu, bapa dan guru-guru. Selamat berjuang!

Khamis, November 01, 2012

Ingatan Pada Satu Kasih Tak Jadi...

Yaaa, saya suka akan puisi-puisi Zurinah Hassan, terutama yang ini..

Ingatan Pada Satu Kasih Tak jadi

Kesilapannya
kau tak berdaya berterus-terang
dan aku tak berdaya mentafsir

Kesilapannya
kau mengatur gambar-gambar
dalam sebuah album yang indah
sedang aku tidak pernah melihat gambar-gambar itu

Kesilapannya
kita telah bertemu
dalam sebuah mimpi yang menggembirakan
tetapi aku lebih gembira
bila terjaga dari mimpi itu.

Zurinah Hassan