SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN BAHASA MELAYU STPM PENGGAL 1 dan juga untuk pelajar mengulang Penggal 1 esok. Sebelum melangkahkan kaki ke dewan peperiksaan, jangan lupa baca Bismillah dan selawat kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. Sebelum mula menjawab, tarik nafas dan bacalah doa penerang hati, agar ingat apa yang telah dibaca dan yang telah diajar
Ingatlah fakta tentang asal usul, rumpun dan kekeluargaan dan sejarah perkembangan bahasa Melayu. Jangan terkeliru antara bunyi vokal, konsonan dan diftong. Fahamilah juga kaedah pengejaan kata bahasa Melayu sama ada kata asli ataupun ejaan kata pinjaman.
Susun dan olah isi karangan agar menjadi satu wacana yang lengkap, terjalin kemas dan berfokus. Tulislah jawapan dengan ayat yang lengkap, ada subjek dan ada predikatnya. Jangan dilupa tanda bacanya juga. Tulisan biar kemas dan tertib, sama besar dan sama condongnya agar senang dibaca dan menenangkan jiwa orang yang membacanya.
Gunakanlah segala ilmu bahasa yang dipelajari untuk dimanfaatkan sepanjang hidup, bukan terbenam berakhir di dewan peperiksaan semata dan kemudian hancur entah ke mana.
Kadang-kadang maklumat penting yang disampaikan melalui laman sosial seperti Facebook tidak saya fahami kerana penggunaan ejaan kata singkat dan bahasa yang digunakan. Contohnya;
"Mhn kwn2 menydkhkan alfthah kpd arwh nnk saya yg tlh kmbli ke rahmtullah pg td.....smg roh nnk sy di tmptkn di klgn org2 yg briman......."
Bukanlah mengambil masa yang terlalu lama rasanya untuk menulisnya seperti ayat ini;
Mohon kawan-kawan menyedekahkan al-Fatihah kepada arwah nenek saya yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi. Semoga roh nenek saya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman."
Mesej: Gunakanlah bahasa yang betul dan tepat, lebih-lebih lagi jika kita ialah guru bahasa Melayu atau pelajar jurusan bahasa Melayu yang seharusnya boleh menjadi suri teladan kepada orang lain.
Bahasa kita, tanggungjawab kita.
Dalam satu sesi motivasi dengan pelajar-pelajar tingkatan 6, saya bertanya kepada mereka soalan ini, "Dalam masa 5 tahun lagi, cuba bayangkan apakah kenderaan yang akan kamu miliki?"
Rata-rata jawapan mereka ialah BMW, Audi, Lamborghini, Mercedes, Porshe dan pelbagai jenis kereta mewah yang lain. Tiada seorangpun yang menyebut kereta Proton Saga, Myvi, Viva hatta Toyota Vios, ataupun sekadar motor kapcai.
"Cuba intai dan jenguk kereta guru-guru kamu di tempat letak kereta di bawah tu. Ada berapa buah Ferrari dan Porshe yang kamu nampak? Ada berapa buah Lamorghini yang dipakai oleh guru-guru kamu? Sedangkan sebahagian besar daripada mereka sudah berkhidmat lebih daripada 20 tahun."
Lalu saya memberikan contoh pelajar saya yang telah berjaya. Dr Safra misalnya. Tujuh lapan tahun yang lalu, beliau begitu tekun belajar, tidak pernah ponteng kelas, hormat guru, 10A+ SPM, 4.00 matrikulasi, mengikuti kursus perubatan di UMS, dan kemudian bertugas sebagai doktor di hospital kerajaan, sekarang memandu Toyota Vios dengan penuh rasa syukur dan bangga.
Kata saya, cuba bandingkan pencapaiannya dengan anda semua - kerap tidak hadir sekolah, keputusan peperiksaan Penggal 1 dan Penggal 2 bawah 2.00 dan sebahagiannya masih gagal, mengeja pun masih salah, pengetahuan am tiada kerana kurang membaca, tetapi masih bercita-cita mahu menjadi kaya.
Anda boleh memiliki kereta impian anda jika kita punya ibu bapa yang kaya raya, atau setidak-tidaknya punya bapa seorang menteri.
Mari kita buat sesuatu dalam masa yang tersisa ini untuk mengubah masa depan. Jangan asyik dibuai mimpi, leka dan masih bermalas-malas. Saya masih lagi yakin dan optimis kita mampu mengubah asal saja kita berusaha terutama pada saat akhir menjelangnya peperiksaan ini.
Kalau tak pandai sikitpun tak apa, asal kaya budi bahasa, baik tingkah laku, umat yang taat.
Saya teringat kereta impian Kak Eina - Hammer. Saya hairan bagaimana kereta yang seperti kereta kebal ini menjadi impian Kak Eina. Setelah beberapa bulan menjadi peguam, Kak Eina hanya mampu memiliki kereta Saga FLX, bukan Hammer yang menjadi impiannya!
Catatan 30 Syawal:
"Cikgu, ada Penyelia Apa Entah daripada Pejabat Pelajaran Daerah Zimbabwe ingin bertemu dengan cikgu di bilik mesyuarat", beritahu kerani sekolah melalui telefon.
"Assalamualaikum, tuan. Saya Cikgu Fariza Nurbaya. Tuan ingin berjumpa dengan saya?", saya memperkenalkan diri kepada Penyelia Apa Entah itu.
"Lamo dah mung mengajar di sekolah ni?", tanya Penyelia Apa Entah itu, sambil membelek-belek fail di tangannya, dan tanpa memandang saya langsung.
"Sudah hampir 10 tahun, tuan." jawab saya. Hati saya mula rasa sebal apabila penyelia itu ber-"aku" dan ber-"mung" dengan saya. Saya rasa seperti tidak dihormati.
"Sudah lama mung jadi GC?. Mung gred berapo?", tanya Penyelia Apa Entah itu lagi.
Saya pandang wajahnya yang tidak 'hensem' itu. "Sudah lamakah tuan mengenali saya? Rapat sangatkah hubungan kita?", tanya saya lembut.
"Bakpo pulok?", tanya beliau.
"Maaflah tuan. Biasanya kita membahasakan diri kita dengan 'aku', 'mung', 'demo', 'kawe' dsb dengan orang yang kita rapat sahaja. Dengan orang yang kita belum kenal, lebih-lebih dalam konteks rasmi, gunakanlah kata ganti nama dan panggilan yang sesuai." jelas saya. Mukanya menjadi kelat.
Mari kita berbahasa dengan sebaik-baik bahasa.
Bahasa jiwa bangsa.
Salam Jumaat, 30 Syawal.
Catatan bahasa
5 September 2013
"Assalamualaikum. Awak Cikgu Fariza Nurbaya kan? Saya Encik XXY, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Zimbabwe. Awak Setiausaha Majlis Guru Cemerlang Daerah, kan? Saya mahu senarai Guru Cemerlang Bahasa Melayu Daerah Zimbabwe ini segera melalui e-mel", kata sang pegawai itu dengan suara yang sedikit angkuh.
"Waalaikumsalam. Ya, saya Cikgu Fariza. Maaf ya tuan, saya sedang minum pagi. Bolehkah saya e-melkan maklumat tersebut selepas saya minum nanti?", jawab saya.
"Saya mahu maklumat itu segera, sekarang juga!" kata sang pegawai sebelum meletakkan telefon.
Sebagai guru bahasa, saya selalu menyedarkan anak-anak murid saya tentang perlunya kita menggunakan bahasa dengan santun dan berhemah. Saya mengimpikan pegawai tersebut akan berkata seperti ini:
"Assalamualaikum. Puan Cikgu Fariza Nurbaya kan? Saya XXY, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Zimbabwe. Puan Setiausaha Majlis Guru Cemerlang Daerah, kan? Saya memerlukan senarai Guru Cemerlang Bahasa Melayu Daerah Zimbabwe ini. Jika tiada halangan pada pihak puan, saya pohon puan menghantarnya melalui e-mel. Kalau boleh sesegera yang boleh."
Jika ungkapan di atas lahir daripada mulut pegawai itu, rasa-rasanya tidak sampai 5 minit saya akan terus berbuat seperti yang dikehendaki. Oleh sebab saya guru yang 'sedikit nakal' dan sangat mementingkan kehalusan dan kesantunan berbahasa, maka maklumat tersebut saya e-melkan seminggu selepas itu. Lalalalala!!!
Catatan 4 September 2013
Semalam saya hanya sempat tidur sepicing semata-mata untuk menyiapkan bahan untuk Kem Akademik STPM Daerah Setiu. Dan, malam ini saya berharap agar dapat menyiapkan bahan untuk Kem Tutorial STPM Daerah Besut pula sebelum menjelang tengah malam. Saya sedang menepis hasutan syaitan yang sedang memujuk-mujuk saya agar menyiapkannya secara sambalewa. Saya tidak suka berdendam. Ikhlaslahhh!!