PEMBUDAYAAN UCAPAN TERIMA KASIH
Amat sukar bagi anak-anak kita hari ini untuk mengungkapkan ucapan “terima kasih” kepada seseorang sehinggakan ada kalanya perlu diajar atau diingatkan terlebih dahulu kepada anak-anak untuk berbuat demikian. Amalan yang baik ini mencerminkan keluhuran budi dan kecemerlangan jiwa. Keluhuran budi dan kecemerlangan jiwa pula menandakan kebersihan rohani dan minda seseorang.
Sebegitu banyak amalan dan budi pekerti yang baik tidak dapat menandingi pengucapan yang jujur dan tutur kata yang manis. Oleh sebab itulah, ramai manusia yang binasa bukan kerana amalannya tetapi disebabkan tutur katanya.
Mengucapkan terima kasih kepada seseorang menandakan betapa kita menghargai apa yang telah dilakukan oleh orang itu kepada kita. Kesannya, bukan kerana penghargaan yang diterima tetapi nilai yang terkandung dalam ucapan terima kasih itu. Ucapan terima kasih mempunyai banyak pengertian yang tersembunyi yang jarang-jarang kita sedari, yang jarang-jarang kita jengahi.
Islam memberi penekanan yang berat terhadap apa yang dipertuturkan dan bagaimana cara pertuturan itu disampaikan. Hal ini kerana, tiap-tiap butir pertuturan yang terkeluar dari mulut seseorang, tidak kira siapa yang menuturkannya, akan membuktikan sepanjang mana akal fikirannya dan ketinggian darjah budi pekertinya. Tidak kira apa bangsa dan agama seseorang, di negara mana orang itu berada, cara pertuturan akan menentukan tahap pengetahuan dan adab susila orang itu.
Ucapan bertatasusila seperti ‘terima kasih’ dituturkan oleh semua bangsa di dunia dari dulu hingalah sekarang. Yang berbeza ialah bunyi ucapan itu sahaja. Kalau orang Melayu mengungkapkan kata-kata ‘terima kasih’, orang Arab pula menyebutnya sebagai ‘syukran jazilan’, manakala orang Cina menyebutkan ‘xie xie nin’ (sebut sebagai sie-sie nin). Apa yang penting ialah, walau apapun bunyinya, kita mestilah mengucapkan ucapan itu dengan niat yang ikhlas dan jujur, melambangkan keluhuran akal budi serta pekerti yang mulia.
Dalam konteks dunia pendidikan, amalan berterima kasih dalam pengucapan yang sempurna dan berakhlak merupakan budaya murni yang wajar menjadi pakaian lidah para pelajar.
Tidaklah menjadi sesuatu yang sukar dilakukan oleh seseorang pelajar apabila mengucapkan terima kasih kepada guru dengan hati yang tulus ikhlas serta disulami dengan senyuman yang manis. Ucapan terima kasih yang ikhlas selalunya terpancar melalui sinar mata yang bening, air muka yang tenang dan ceria serta senyuman penghias bibir. Sesungguhnya tidak ada hadiah yang paling bermakna bagi seseorang guru atau seorang ibu atau bapa sekiranya pelajar atau anaknya mengungkapkan kata-kata ‘terima kasih cikgu”, atau ‘terima kasih bapa” setelah mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka. Berapa keratkah daripada anak-anak pelajar yang mengucapkan kata-kata keramat ini kepada guru atau ibu bapa sekalian?
Amalan berterima kasih ini mungkin agak sukar dipraktikkan di rumah atau di sekolah jika tidak menjadi kebiasaan. Walau bagaimanapun, tidaklah janggal jika kita dapat memulakannya hari ini. Ibu bapa para pelajar mungkin akan berasa sedikit ganjil jika para pelajar mengucapkan ucapan terima kasih kepada mereka tanpa sebab. Tetapi, percayalah, mereka akan bangga jika pelajar-pelajar semua tiba-tiba memberi ucapan “ terima kasih dan tinggal dulu ayah, ibu” apabila meninggalkan rumah untuk ke sekolah esok, atau “terima kasih ayah, terima kasih ibu kerana mendidik, mengasuh dan menjaga saya dari kecil sehinggalah saya besar”. Anak-anak sekalian mungkin tidak dapat melihat rasa bangga mereka, tetapi yakinlah bahawa ucapan terima kasih yang anda ucapkan itu akan memberikan ketenangan di jiwa mereka. Hal ini kerana, ucapan terima kasih seorang anak itu itu tidak mungkin dapat diluahkan jika anak itu tidak memiliki budi pekerti yang luhur dan terpuji. Hanya mereka yang berakhlak mulia sahaja dapat mengucapkan tutur kata yang baik dan mulia itu.
Jangan berat mulut untuk mengucapkan lafaz “terima kasih”.
1 ulasan:
terima kasih cikgu
terima kasih kakakku
terima kasih para ibu
terima kasih suami
terima kasih Allah
Catat Ulasan