Jumaat, Disember 31, 2010

Mengiringi Kak Eina

Seronoklah Kak Eina budak demok tu sebab ibu, babah dan adik-adik mengiringi perjalanannya secara berkonvoi ke Shah Alam kali ini. Tapi, siaplah... sepanjang jalan dari Besut ke Kuala Lumpur, adik-adik pengiring budak demok itu asyik nak mengunyah saja kerja mereka. Sekejap Prosperity Burger, sekejap KFC...

Hujan dan langit mendung sepanjang perjalanan.

Ibu budak demuk memandu dengan penuh hemah dan sopan santun. Co-pilot pula, kalau tak tidur, asyik ber-sms sepanjang perjalanan.

Adik-adik budak demuk ni kalau tak tidur, bergurau saja kerja mereka sampai bergoyang-goyang kereta. Eh, macam kenal je kereta Kancil di depan kita tu! Babah dan budak demuk bawa Kancil mengalahkan Michael Schumacher!

Dah sampai USJ Subang Jaya. Transit dulu di Summit USJ, makan di Restoran Johnny's dan tengok wayang.


Esok ke Shah Alam, hantar budak demuk dan kereta Kancilnya.


Khamis, Disember 30, 2010

Membina hati bahagia

Membina Hati bahagiaMembina Hati bahagia by HM Tuah Iskandar al-Haj

My rating: 5 of 5 stars

Saya sedang menyelesaikan pembacaan buku ini. Semoga dapat mendidik hati agar menerima segala anugerah dan takdir seadanya, dengan penuh syukur. Kebahagian itu bukanlah kerana kita dapat memiliki semua yang kita ingini. Tidak semua yang yang kita ingini mampu kita miliki. Semoga diberi petunjuk dan hidayah agar dapat menerima segala ketentuan dengan hati reda dan terbuka. Kita mengejar sesuatu dan kita merasa sebahagian saja. Kegembiraan ialah memperoleh sebahagian, bukan sepenuhnya. Dan saya akan terus mengingati kata-kata ini.



View all my reviews

Jumaat, Disember 24, 2010

Pertemuan semula bekas pelajar KUSZA

Saya sebenarnya ingin sekali bertemu teman-teman lama yang pernah bersama-sama saya mengharungi dunia remaja yang indah di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin tahun 1981 hingga 1984. Urusan kerja dan keluarga membantutkan pertemuan saya dengan teman-teman sekalian. Semoga pertemuan di Ri- Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong Kuala Terengganu yang akan berlangsung esok akan merapatkan silaturrahim yang sekian lama terputus.

Dan, alangkah indahnya jika dapat kita bawa bersama guru-guru yang pernah mendidik kita selama di KUSZA, Cikgu Ismail, Ustaz Dato' Husin Awang, Ustaz Che Lah (istilah "kera-maian" "kuba-dayaan'), Cikgu Azizah, Cikgu Mohamad Salleh bin Lebar, Ustaz Wahab, Cikgu Engku Abdullah Tohafah, Cikgu Ramli, Cikgu Wan Taqwa, Cikgu Khadijah yang mengajarkan Ekonomi, dan ramai lagi.

Salam buat semua teman. Saya gembira mendengar berita bahawa teman-teman sepersekolahan saya semuanya sudah berjaya dalam hidup, menjadi orang terkenal, ternama, dan menjadi manusia yang baik-baik. Semoga hidup kita diberkati Allah.

Saya ke Taiping malam ni. Kata teman, jangan lupa menikmati mi banjir udang di Kuala Sepetang, dan boleh tengok orang utan juga.

Rabu, Disember 22, 2010

Ayam pakai kasut, itik pakai kasut di Hatyai!

Hatyai 18 - 19 Disember 2010

Oh, mungkin saya masih agak mentah dan kurang arif untuk memahami istilah "ayam pakai kasut" dan "itik pakai kasut" yang dimaksudkan oleh Hafiz yang menjadi pemandu pelancong kami sepanjang berada di Hatyai. Apabila berada di sana, maka segala jolokan tentang Hatyai sebagai Kota Pelacuran memang tepat! Apatah lagi semasa berada di lobi hotel Paradise yang dikatakan mempunyai cop "halal" itu, saya dapati pelancong dari Malaysia nampaknya sudah cukup biasa dan santai sahaja bersama ayam dan itik yang berkasut itu menuju ke bilik-bilik hotel. Atau tinggalkan nombor bilik kepada pelayan hotel dan 'ayam berkasut' akan datang sendiri!

Jadi, wahai isteri-isteri yang suami mereka bercadang untuk ke Hatyai atau mana-mana bandar di Thailand, fikir-fikirkanlah sebelum melepaskan mereka pergi. Tepuk dada, tanyalah iman.

Eh, takkanlah ini saja catatan tentang Hatyai. Ya, ini saja. Dalam satu hari tidaklah banyak tempat yang sempat dilawati, begitu juga untuk membeli-belah. Lebih seronok rasanya membeli-belah di bandar Ho Chi Minh daripada Hatyai. Lebih baik saya ke Pekan Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang kalau semata-mata untuk tujuan itu.

Fakta:
1. Antara tahun 1993 hingga 1995: Kegiatan pelacuran di Thailand menyumbang 3% kepada pendapatan negara, iaitu lebih kurang RM25 bilion.
2. Thailand dikatakan mempunyai lebih 3 juta pelacur, termasuk 2 juta pelacur wanita, 800,000 pelacur kanak-kanak dan 200,000 pelacur lelaki.
3. Pemandu teksi dan tut tut tahu di mana pusat pelacur kelas rendah dan pelacur kelas tinggi, tanya saja mereka jumlah bayaran yang dikenakan. Ada yang mencecah hingga RM4000, dan ada yang boleh didapatkan dengan hanya RM10 hinggit saja.

Ini fakta 15 tahun yang lalu, sekarang bagaimana pula?
Ahli PPBMM dan delegasi daripada Universitas Pendidikan Indonesia

Masjid Jamek Songkhla bernilai RM3 juta (kalau kat Malaysia ni, mesti dah lebih RM10 juta ni), dikatakan kos pembinaannya dibiayai oleh ahli perniagaan dari Malaysia. Jika dibandingkan dari segi prasarana dan kebersihan, masjid ini tidaklah begitu terurus dan agak kotor. Masjid yang dikatakan berada di dalam kawasan Serambi Mekah Songkhla ini menyebabkan kami terpaksa "tawaf" beberapa kali untuk mencari ruang solat dan tandas untuk Muslimah- sebab kena "tawaf" gamaknya diberi gelaran sebagai Serambi Mekah tu ya!

Selasa, Disember 14, 2010

Cepatnya nak habis cuti sekolah!

Cuti sekolah rupa-rupanya dah pun nak berakhir. Anak-anak sibuk bertanya ke mana tempat untuk bercuti. Alahai, bercuti kat rumah sajalah jawabnya mereka. Banyak perkara yang boleh dilakukan sepanjang cuti sekolah ini, membantu ibu abah membersihkan laman, membetulkan bacaan al-Quran, membaca buku, dan lain-lain (maksud lain-lain: main FB, tengok CD, permainan komputer, menghadap TV).

Yang pastinya, waktu cuti sekolah, guru pun turut cuti sekolah juga. Namun begitu, saya tetap juga datang ke sekolah tetapi pada masa mana yang saya suka. Saya tak perlu lagi tergopoh-gapah dan termengah-mengah setiap pagi untuk memastikan saya sampai terlebih dahulu sebelum pengetua saya sampai ke sekolah (isk.. sepatutnya saya sampai sebelum jam 7.30 pagi sebelum waktu kelas P&P bermula!). Saya juga tidak perlu memandu dalam keadaan tertekan kerana terpaksa memandu di belakang pemandu-pemandu lembap seperti siput sedut di jalanan yang bergerak selaju 40km/j. Huh!

Saya tahu walaupun cuti, tidak semua guru dapat bercuti sepenuhnya. Cuti sekolah bukanlah untuk cikgu sebenarnya. Cikgu menumpang saja. Ramai cikgu yang tetap datang ke sekolah, menyiapkan pelbagai tugas terutama guru-guru yang terlibat dengan pengurusan sekolah. Sebahagian besar daripada mereka juga menghabiskan masa cuti mereka dengan bertugas menjadi pengawas peperiksaan-peperiksaan awam SPM dan STPM. Ada yang mengikuti pelbagai kursus peningkatan profesionalisme, mengendalikan bengkel-bengkel dan kursus, membina item dan modul, menjadi pemeriksa kertas dan pelbagai tugas yang tidak semua orang tahu.

Saya kagum akan kesanggupan teman-teman guru yang sanggup dan penuh dedikasi menjadi pengawas-pengawas peperiksaan, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sepanjang 22 tahun menjadi guru. Saya tahu bukan material yang dikejar oleh mereka kerana semua orang maklum bahawa bayaran yang diperoleh bukanlah besar sangat. Tetapi atas dasar komitmen dan tanggungjawab mereka sanggup berbuat demikian sedangkan mereka tahu pada masa yang sama rakan-rakan guru sedang bersenang-lenang di rumah atau melawat dan melancong bersama-sama keluarga. Err.. adakah saya juga termasuk dalam kategori guru ini Oh, tidak!, Saya masih lagi guru yang baik rasanya, masih menjenguk sekolah walaupun bukan setiap hari, bertanya khabar murid-murid saya yang sedang bertungkus-lumus membuat persiapan peperiksaan. Dan saya masih sempat lagi mengadakan bengkel teknik menjawab peperiksaan kepada mereka. Kira guru yang baik jugalah saya ni.. masuk bakul sesekali seronok juga ya.

Seperti kanak-kanak riang, saya sebenarnya suka sangat apabila tiba musim cuti atau pada cuti hujung minggu kerana saya dapat melakukan perkara-perkara yang jarang saya dapat lakukan dengan baik dan sempurna, antaranya ialah memasak, meladeni dan membelek pepohon kaktus dan orkid saya di laman agave-grusonii yang makin layu dan tidak begitu sihat itu.

Saya suka sekali apabila dapat mengemas dan menghias anjung tak berseri saya ini. Saya seronok sangat kerana dapat menonton filem bersama anak-anak, dan saya juga mempunyai masa yang lebih untuk membersihkan sesawang pada blog saya yang lebih bersawang daripada syiling di teratak saya!!



Isnin, Disember 13, 2010

Abu Zar dan Nur Salman selamat dijawikan!

Alhamdulillah, hari ini selamatlah sudah Si Bongsu Abu Zar dan sepupunya, Nur Salman Mohammad Fauzi dijawikan. Tidak seperti abang-abangnya sebelum ini yang agak gusar dan takut, si bongsu nampaknya begitu tabah dan ingin benar dikhatankan sebelum dia melangkahkan kaki ke Tahun 6 pada tahun 2011. Mungkin dapatlah dia berbangga dengan rakan-rakannya nanti bahawa dia sudah melangkah ke alam dewasa, meninggalkan zaman anak-anaknya. Dan hari ini, dia dan Salman berjaya melepasi ujian kesakitan dan ujian kesabaran. Dia benar-benar kuat dan tabah. Dan, Si Salman yang lucu dan lugu itu masih sempat mengunyah chewing gum semasa disunatkan. Dan, masih sempat juga dia menenangkan Abu Zar, menyuruhnya beristighfar dan berselawat serta memberikan tips-tips untuk cepat sembuh.

Semoga Abu Zar dan Nur Salman membesar dalam persekitaran yang sihat, menjadi lelaki-lelaki yang baik, beriman, bertanggungjawab, kacak, pintar cerdas dan punya peribadi besar. Amin.

Sabtu, Disember 11, 2010

Setelah hampir 26 tahun berpisah...

Sejak ada laman sosial seperti Facebook ni, saya berpeluang untuk bertemu semula dengan ramai teman lama, terutama teman-teman yang pernah sama-sama menuntut di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin dari tingkatan 4 hingga tingkatan 6 atas (tahun 1981 - 1984). Ada yang saya sudah hampir lupa langsung nama dan wajah mereka, dan ada yang masih kekal dalam ingatan terutama teman-teman dari generasi pertama, kedua dan ketiga KUSZA. Saya ingat saya tidak akan bertemu lagi mereka setelah meninggalkan KUSZA pada tahun 1984 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1985. Maklumlah, dahulu tidak ramai teman yang rumah mereka memiliki talian telefon, apatah lagi telefon bimbit dan kemudahan IT seperti hari ini. Hubungan yang berlangsung hanyalah melalui surat sahaja.

Bangunan KUSZA di Pulau Kambing, dekat dengan keropok Losong.

Sebelum KUSZA dibuka, pelajar-pelajar cemerlang sekolah agama di Terengganu (hmm.. cemerlang ke saya ni?) akan dihantar untuk menyambungkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang. Pada tahun 1980 - 1981, pelajar-pelajar KUSZA hanya menumpang di Sekolah Menengah Agama (ATAS) Sultan Zainal Abidin di Batu Burok, 4 & 5 Kolej namanya. Kemudian, kami belajar pula di bangunan sementara di Pulau Kambing, bangunan 3 tingkat yang memuatkan asrama, kelas, perpustakaan, dan dewan makan selama 2 tahun hinggalah KUSZA mempunyai kampus tetap di Gong Badak. Sekarang, rasanya nama KUSZA hanyalah tinggal kenangan sahaja kerana KUSZA sudahpun dinaik taraf menjadi universiti dengan nama Universiti Darul Iman dan kemudiannya UNISZA (Universiti Sultan Zainal Abidin)

Rakan-rakan 4 Ibn Khaldun (1981), kelas di Pulau Kambing. Yang manakah satu saya ni??

Melalui FB, saya dapat mengesan dan menyambung ikatan silaturrahim dengan beberapa teman lama yang sudah hampir 26 tahun tidak bersua, antaranya, Anisah Tawang, Anisah Mubin, Rohana Talib, Mariam Sahat, Kak Yuslina Yusof, Aziz Ibrahim (JPN Selangor), Fauzi Muda (UIAM), Ahmad Sunawari Long (UKM), Baharom Said, Ruziah Salim (SMKA al-Masyhoor Pulau Pinang), Ustaz Abdul Manan Ali, Dr. Wan Mat Wan Sulaiman (di Universiti Brunei Darussalam rasanya sekarang), Adinda Ustaz Mohd Shukri Ali (Tanya Ustaz Astro Oasis), adinda Ustaz Abu Khair (Ustaz Rashid), Junaidah Sulong dan ramai lagi. Maaflah teman-teman sekalian kalau ada yang tak tersebut namanya.

Saya juga ingin sekali bertemu dengan rakan-rakan sekelas 4/5 Ibn Khaldun seperti Khatifah Zamani, Wan Nur Izzah, Fauziah, Halimoh Yaacob, Suzana Embong, Tuan Atikah, Sukainah Ismail, Zaimah Mat Hasan, Salina Ismail, Rosmi, habsah Ngah dan ramai lagi yang saya tak tersebut namanya. Saya juga ingin sekali bertemu dengan rakan-rakan yang sama-sama belajar di kelas tingkatan 6 Syariah dan Usuluddin (STP 1984). Oh, maaf, ada yang saya sudah lupa nama mereka, atau mungkin juga yang saya sudah langsung tidak ingat. Ciri-ciri tua atau mungkin saya sudah dijangkiti sindrom amnesia. Ehh.. nama Dr Azmi Omar kenapa boleh lupa ni?

Dan, yang pastinya PTK menemukan dan merapatkan hubungan sahabat saya dengan teman akrab saya, Ustazah Che Jamilah (SMS Dungun), Ustazah Sabariah Yaacob (SMKA Durian Guling), Ustaz Awang Sulong (JPN Terengganu) dan Ustazah Rahmah Zakaria (SMK Cherang Ruku, Pasir Puteh). Walaupun saya berada satu daerah dengan Ustazah Wan Khadijah dan Ustazah Zaleha Deraman, saya jarang sekali bertemu dengan mereka. Saya bersyukur kerana hubungan baik saya dengan Cikgu Khadijah Yusoh sampai hari terus berkekalan dan kami masih saling berkunjung. Sungguh indah mengenangkan zaman remaja kami di KUSZA terutama ketika belajar di bangunan sementara di Pulau Kambing itu. Indah sungguh berkongsi cerita nakal, cinta monyet dan beruk setiap kali kami bertemu.

Untuk teman-teman, saya ingin menguar-uarkan pertemuan bekas pelajar KUSZA (Generasi 1 hingga 5 tahun 1981 - 1985) yang akan diadakan sebagai mana maklumat di bawah:

Tempat:

RI-YAZ HERITAGE MARINA RESORT AND SPA, PULAU DUYONG, KUALA TERENGGANU

Tarikh :

25 Disember 2010

Masa:

2.00 - 5.00 petang

Bayaran : RM 100.00 seorang, bolehlah dimasukkan ke dalam akaun Maybank Ustaz Wan Zakaria Wan Osman, Maybank (1630 8201 7860) - W. Zakaria bin W. Osman. Jangan lupa sms nama dan nombor transaksi kepada telefon bimbit Ustaz Wan, nombor 0139239754. Boleh juga pengesahan dibuat melalui mesej FB W.Zakaria. Kawan-kawan yang sudi untuk menyumbang lebih daripada jumlah yang ditetapkan, kami sangat mengalu-alukannya.

Tarikh Akhir Pengesahan: 20 Disember 2010

Pihak penganjur juga memberi ruang kepada ahli untuk membawa keluarga bagi memeriahkan majlis ini lagi. Semoga usaha kita untuk mengikat tali silaturrahim mendapat keberkatan dan keredhaan daripada- Nya. Insya-Allah jika ada ruang masa dan keizinan, kita akan berjumpa nanti.

(Terima kasih kepada Saudara Mohamad Zamri Musa, Ustaz Zainudin, Ustaz Wan Zakaria dan teman-teman yang mengusahakan pertemuan ini)