Selasa, Mei 24, 2011

Minggu akhir persekolahan

Selamat mengisi borang buat teman-teman yang mengisi borang di atas. Saya tidak cekal, tidak tabah untuk menerima tanggungjawab yang besar itu walaupun sekadar untuk melengkapkan borang itu sahaja. Borang kosong berwarna putih itu dihantar kepada saya secara khusus oleh Encik Nazir untuk saya lengkapi. Maaf tuan, tunggulah untuk suatu masa yang lain.

Semakin tinggi jawatan, semakin banyak tugas dan tanggungjawab yang tertanggung atas pundak kita, yang bukan sahaja memerlukan pengorbanan masa, juga pengertian daripada orang-orang di sekeliling kita. Saya rasa makin jauh.

Peranan Guru Cemerlang perlu difahami oleh warga pendidik sendiri. Peranan mereka lebih menjurus kepada menjadi pakar rujuk, memberi khidmat nasihat dan memberi bimbingan kepada rakan sejawatan. Mereka menjadi suri teladan kepada guru dan pelajar, cara dan strategi pengajaran mereka diikuti dan dicontohi. Mereka tidak perlu mengajar semua kelas dan menjadi tempat untuk ditunjukkan kesalahan apabila berlaku kemerosotan prestasi dalam organisasi. Aduhai... saya perlu menjadi kuat dan lebih tabah.

Isnin, Mei 23, 2011

Tahniah Kak Eina

18 Mei 2011, Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam.


Tahniah atas penganugerahan ijazah pertama Kak Eina. Semoga kejayaan kakak akan menjadi pendorong dan pembakar semangat adik-adik.



berkongsi rasa dengan ibu dan babah



Tahun depan konvo lagi. Heee...



dan Kak Eina,
Hidup kita ini

yang memberikan rasa manis, ceria, dan pahit,
yang menentukan wajah bahagia, sengsara, derita;
Kitalah!!
Selamat ulang tahun kelahiran Kak Eina yang ke-23 (23 Mei 2011)

Selamat menjadi dewasa, kakak demuk!

Semoga meniti masa yang mendatang dengan rahmah dan hidayah-Nya.

Selasa, Mei 17, 2011

Selamat ulang tahun AR...

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-48
buat si peminjam telinga paling setia

yang tak pernah jemu mendengar keluh kesahku

walaupun yang seringnya

aku bukanlah pendengar setia

pada setiap rajukmu

maaf



harap suka ya...

Tahun Ke-23 Menjadi Guru...

Selamat hari guru untuk semua guru.
Selamat hari guru untuk diri sendiri.
Selamat hari guru untuk keluarga guru, keluarga Allahyarham Cikgu Haji Muhammad; Adinda-adinda, Ustazah Jailami, Ustazah Hamilah, Ustazah Insijam, Cikgu Nasirah, Ustazah Rabihah, Cikgu Nuraini, Encik Muhammad Asruf, Cikgu Muhammad Auzan, serta adinda-adinda ipar, Cikgu Wan Abdullah, Ustaz Termizi, Ustaz Amirizal, Cikgu Zainul Abidin, Ustaz Jamiliza, dan Teacher Pazrina Azuriah.

Selamat hari guru buat pendamping paling setia, perajuk paling tegar, Cikgu AR semoga tabah menempuh cabaran dunia pendidikan dan pengurusan pendidikan yang semakin hari semakin racau dan kacau.

Hari guru sepatutnya tidak disambut setahun sekali, tetapi disambut hari-hari dengan memuliakan dan menyanjung tinggi profesionnya. Kita meraikan hari guru dengan menambah ilmu pengetahuan kita pada setiap hari. Dan, tanpa untuk tujuan lulus peperiksaan pun tugas guru perlu terus disanjung tinggi.

Sambutan hari guru bukan diukur dengan hadiah dan cenderamata yang diterima, tetapi ingatan terhadap tugas dan jasa guru dalam mendidik anak bangsa, mengajar mereka daripada yang tidak tahu menjadi tahu, yang tidak mahu menjadi mahu...



Ini hadiah hari guru daripada murid-murid saya. Walaupun tidak semahal hadiah hari guru yang diterima guru-guru di sekolah ibu kota, sudah begitu saya hargai.
Dan, ini hadiah hari guru untuk diri saya sendiri.
Akhir kata, salawat dan salam untuk guru paling mulia, junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah mendidik manusia tentang Tuhannya juga mengajar manusia tentang dirinya.

Saya teringat kata-kata Pak Harfan dalam filem Laskar Pelangi, "Mengajar ini bukan sekadar pelengkap kurikulum, ia mesti datang dari hati". Selamat menjadi cikgu yang baik, bukan baik jadi cikgu...

Ahad, Mei 08, 2011

Sekolah yang maju ditadbir pengurus yang lemah?

Di kantin, di pejabat, di bilik guru, di bilik pengetua, isu yang sama. Si polan bin si polan naik pangkat. Si anu bin si anu jadi penolong kanan. Encik X dah jadi pengetua. Puan T jadi guru kanan. Aiman tak kisah. Datanglah siapa saja, lantiklah orang mana pun sebagai pengurus sekolah, yang penting mesti ada wibawa. Pengurus pendidikan mestilah mempunyai karisma. Bakat kepimpinan tidak boleh diwarisi daripada ayah yang berkuasa, dan tiada di tepian pantai. Iskk.. dah macam lagu Raihanlah pulak!


Bakat kepimpinan memang tidak boleh diwarisi, tetapi boleh dipelajari dan dipupuk sama ada melalui pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan usaha-usaha peningkatan ilmu pengetahuan. Bakat kepimpinan tidak boleh diperoleh di kedai kopi, di kantin sekolah atau di padang golf!

Pelantikan pengurus sekolah tidak boleh dibuat secara tangkap muat, kronisme dan pilih kasih. Pemilihan sepatutnya dibuat secara teliti, melalui proses pemilihan yang terancang. Apa salahnya pemilihan pengurus-pengurus organisasi pendidikan dibuat sebagaimana pemilihan Guru Cemerlang iaitu melalui proses pemantauan, penyeliaan, temu duga, penyemakan dokumen, penilaian rakan sejawat dan bukti rekod kecemerlangan.


Pengurus pendidikan mestilah mempunyai visi yang jelas, punya kemahiran komunikasi dan ilmu kepemimpinan. Cakap mereka cakap yang berhikmah, penuh dengan ilmu dan pedoman, serta rajin membaca.

Pengurus pendidikan menjadi tulang belakang dan nadi kecemerlangan sesebuah sekolah.
Dan, saya akan sentiasa ingat kata-kata Fred Hechinger, Presiden New York Times: “Saya belum pernah melihat sekolah yang maju ditadbir oleh pengetua yang lemah, atau sekolah yang mundur ditadbir oleh pengetua yang cekap. Saya pernah melihat sekolah-sekolah yang mundur berjaya dimajukan. Dan, YANG MENYEDIHKAN, ada sekolah-sekolah yang maju merosot dengan mendadak. Dalam setiap kes, jatuh bangun sesebuah sekolah ialah kualiti pengetuanya."

Dan, saya akan terus teringat-ingat..
tapi apa salahnya saya bersangka baik!

NOTA KAKI:
Maaf, gambar yang di atas itu tiada kaitan dengan siapa-siapa, sekadar "mencuri" gambar kegemaran AR yang terdapat pada dinding Facebooknya.

Ahad, Mei 01, 2011

Jangan hanya kerana jawatan!

Kursus Jurulatih Utama Peningkatan Profesionalisme Guru Tingkatan 6 Zon Timur yang diadakan di Kota Bharu pada 26 hingga 28 April menyebabkan saya berfikir banyak perkara. Tetapi, biarlah segala fikiran, perasaan dan tanggapan saya itu saya simpan sahaja dalam hati. Nanti kalau banyak berkata-kata, nanti dikata orang menyangka diri terlebih pandai. Saya sudah lebih 22 tahun bergelumang dengan dunia pendidikan prauniversiti dan sudah masak dengan susur galur perjalanan pelajar aliran ini.

Walaupun saya tidak terlibat dengan perjawatan baharu yang ditawarkan kepada guru-guru tingkatan 6, saya mengharapkan perjawatan ini dapat membawa satu paradigma baharu kepada perkembangan pendidikan khususnya di peringkat prauniversiti. Usaha untuk meningkatkan profesionalisme guru-guru tingkatan 6 diharapkan tidak dilihat semata-mata untuk mengejar pangkat dan gred tetapi lebih kepada peningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran kelas prauniversiti itu sendiri.

Mari kita kejar kecemerlangan sebelum ajal menerpa, saya masih ingat kata-kata mantan ketua nazir berbelas-belas tahun yang lalu.