Khamis, November 26, 2015

Siri Ceramah Bahasa Melayu Universiti Thaksin, Songkhla

Tarikh: 25 November 2015

Siri Ceramah Bahasa Melayu, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial,  Universiti Thaksin Songkhla Thailand selesailah sudah. Terima kasih atas undangan. Terima kasih semua, terima kasih Profesor Dr Rattia Saleh, Acan Muhammad Salaebing, pensyarah-pensyarah dan mahasiswa Jabatan Pengajian Bahasa Timur atas sambutan dan penerimaan. Kami sentiasa bertemu dengan insan-insan yang baik budi.



Ucapan alu-aluan oleh Profesor Rattiya Saleh, profesor sastera di Universiti Thaksin Songkhla. Beliau ialah tokoh sastera yang banyak mengkaji sastera klasik termasuklah Hikayat Carang Kulin




Acan Muhamad Salaebing, pensyarah Bahasa Melayu Universiti Thaksin Songkhla


Makanan bernama 'bakcang'

Catatan 26 November 2015
Sebuah kedai di Hatyai, ketika dalam perjalanan dai Songkhla ke Lapangan Terbang Hatyai.


Makanan ini dikatakan berasal dari China. Mengikut sejarah, ketika pemerintahan Dinasti Qing, seorang pujangga telah terkorban apabila dia terjun ke dalam sebuah tasik yang penuh dengan ikan. Untuk mengelakkan mayatnya daripada dimakan ikan, penduduk setempat telah menyediakan makanan ini dengan menggunakan daun buluh dan menganyamnya dengan bentuk tiga segi. Bakcang ini berintikan pulut, daging, dan cendawan dan kemudian direbus selama beberapa jam. Bagi memperingati kematian pujangga ini, masyarakat zaman dahulu juga mengadakan pertandingan mengayuh perahu dan pertandingan-pertandingan lain. Perayaan "duanwu" ini disambut pada hari ke-5 pada bulan  ke-5 kalendar Cina. 
"Bak" bermaksud daging dan "cang" ialah pulut rebus di dalam anyaman daun buluh yang juga diikatkan dengan tali daripada daun buluh.Info daripada rakan FB, Tuan CL Tan.

Rabu, November 25, 2015

Sekolah agama rakyat di Hatyai

Catatan 24 November 2015:

Di Wilayah Selatan Thai, sama ada di Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla atau Satun, lebih 90% anak-anak Melayu akan belajar di sekolah-sekolah agama swasta. Mereka belajar dalam dua aliran iaitu aliran akademik dan aliran agama. Bahasa pengantar untuk aliran akademik ialah bahasa Thai. Bahasa Melayu dan bahasa Arab menjadi bahasa pengantar untuk mata pelajaran agama. Mereka juga belajar mata pelajaran Bahasa Melayu sebanyak 3 masa seminggu (120 minit) dan kebanyakan tenaga pengajar ialah guru-guru agama lulusan Indonesia. Ada juga juga guru-guru yang dihantar oleh kerajaan Indonesia untuk mengajarkan bahasa Melayu (Indonesia) termasuklah guru-guru yang menjalani latihan mengajar di sini. Masa belajar mereka adalah antara pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang.

*Sekolah terakhir yang saya lawati petang tadi menjadi bukti bahawa dasar Thesapiban yang dilaksanakan oleh Pibul Songgram telah berjaya menghakis jati diri masyarakat Melayu Pattani hingga kebanyakan guru dan murid di sekolah ini tidak lagi boleh bertutur bahasa Melayu. Bahasa ibunda mereka bukan lagi bahasa Melayu. Mereka juga tidak mengaku berbangsa Melayu, tetapi sebagai Thai Muslim.






Pada waktu petang sebelum pulang, pelajar akan membaca al-Quran secara beramai-ramai selama satu jam.



Rabu, November 18, 2015

Hari orang melihat keputusan...

Catatan 17 November 2015


Hari ini keputusan UPSR 2015 diumumkan. Jangan salahkan ibu bapa di Malaysia yang begitu teruja untuk memastikan anak-anak mereka mendapat keputusan 5A dalam UPSR. Dengan 5A, anak-anak mereka berpeluang ke sekolah-sekolah berasrama penuh, MRSM, SBT dan sekolah-sekolah terpilih. Dengan 5A juga anak-anak mereka akan ditempatkan di kelas-kelas khas dan yang corot akan ditempatkan di kelas-kelas mengikut pencapaian mereka. Maka sudah tentu mereka bimbang anak-anak mereka ditempatkan bersama-sama murid yang berprestasi rendah.

Dah sistem pendidikan kita gitu. Janganlah nak samakan dengan sistem pendidikan di Finland pula!

Di Finland, kebanyakan sekolah dibiayai oleh kerajaan dan tidak banyak sekolah swasta/ persendirian yang pembiayaannya dibimbangi akan membebankan rakyat. Dalam sistem pendidikan Finland, mereka tidak mengejar kecemerlangan akademik tetapi mementingkan kesamarataan. Setiap kanak-kanak mesti diberi kesempatan untuk belajar tanpa mengambil kira latar belakang keluarga, pendapatan atau faktor geografi/ tempat. Pendidikan bagi mereka ialah alat utama untuk menyamakan kesenjangan sosial, bukan untuk menghasilkan individu yang cerdik semata-mata.

Tiada sekolah yang didaftarkan sebagai sekolah terbaik seperti SBP, SBT dan sebagainya. Kecemerlangan pendidikan bukan diukur kepada persaingan antara guru dan antara sekolah. Murid-murid di Finland tidak dikelompokkan mengikut tahap pencapaian mereka sebagaimana amalan di Malaysia. Pemilihan kelas dibuat secara rawak dan tiada istilah kelas cerdik dan kelas corot, atau istilah murid kelas pandai atau murid kelas corot.

Di Finland, tiada peperiksaan awam pada setiap tahap pendidikan sama ada pendidikan rendah atau menengah, yang ada hanyalah Peperiksaan Matrikulasi Nasional yang diambil oleh murid-murid pada usia 16 tahun. Itupun bersifat sukarela.  Di Malaysia, untuk masuk tadikapun perlu menduduki ujian bagi menentukan kelas!

Sekolah di Finland tidak terikat dengan kurikulum pendidikan yang seragam.  Sekolah tidak perlu melaksanakan kurikulum yang sama. Kementerian Pendidikan mereka hanya memberikan panduan umum tentang sesuatu mata pelajaran dan sekolah diberi autoriti untuk menyediakan kurikulum mereka sendiri dan menentukan kaedah dan kecenderungan murid-murid mereka sama ada aliran seni, olahraga, bahasa, atau sekolah multibudaya.

Guru-guru di Finland diberi latihan khusus untuk menilai murid-murid dengan alat pengukuran yang dicipta oleh mereka sendiri. Murid-murid akan menerima kad pelaporan pada setiap akhir semester berdasarkan penilaian yag diberikan oleh guru mereka. Guru menilai murid-murid mengikut kecenderungan dan minat, bukan berdasarkan kemampuan akademik semata-mata-mata. 

Murid-murid di Malaysia dilatih untuk menghafal bagi mendapatkan sebanyak mungkin A dalam UPSR, PT3, SPM hatta STPM. 

Sistem pendidikan Finland diiktiraf oleh dunia. Sistem pendidikan kita diiktiraf oleh pak menteri kita sebagai yang terbaik di dunia.

‪#‎sistempendidikanterbaikdidunia‬