Jumaat, Mac 26, 2010

Penulisan Tugasan Khas PTK: Tulis yang muluk-muluk sahaja!

1. Bagi PPPS Gred DG48 dan ke atas, format penilaian PTK masih mengekalkan 2 bentuk penilaian yang sedia ada, iaitu penulisan Tugasan Khas (Tugasan Individu) dan Penilaian Pemahaman (di pusat-pusat ujian) Bagi penulisan kertas tugasan khas, tuan-tuan dan puan-puan diperuntukkan masa selama 1 bulan untuk menyiapkan sebuah esei (pilih 1 daripada 6 soalan). Markah penuh ialah 100%, tetapi untuk markah kompetensi fungsional, kertas ini mempunyai wajaran 50%.

2. Jumlah halaman kertas TI ini adalah sebagai mana berikut:
DG54/DG52: 20 - 25 halaman
DG48: 15 - 25 halaman

3. Sediakan jadual kerja yang perlu dilaksanakan supaya tuan-tuan dan puan-puan tidak bekerja secara ’last minutes’. Mulakan dengan memilih tajuk esei yang sesuai dan pilihlah tajuk yang berkait rapat dengan bidang tugas tuan-tuan dan puan-puan, sama ada dalam bidang pengurusan dan pentadbiran atau pengajaran dan pemelajaran. Setelah tajuk yang sesuai dipilih, rangka isi esei supaya tidak lari daripada kehendak soalan.

4. Susunan kertas Tugasan Individu adalah sebagai mana berikut:

a. Ringkasan eksekutif - 1 halaman
b. Pendahuluan - 1 atau 2 halaman
c. Definisi konsep - 2 halaman
d. Fakta/isi, sekurang-kurangnya lima (5)
- Huraian bagi setiap isi
- Rumusan setiap isi (1 isi X 5 halaman = 15 halaman)
- Penutup - 1 halaman
e. Rujukan - 1 halaman
f. Lampiran - jika perlu sahaja

(Bilangan halaman: antara 20 - 22 sahaja. Catatan: ini hanyalah cadangan saya sahaja)
5. Untuk huraian konsep, huraikan beberapa konsep utama termasuk 'quotation’ yang dirujuk dalam soalan. Tuan puan boleh menyatakan pandangan terhadap 'quotation’ dan bagaimana mengaplikasikan konsep-konsep tersebut dalam organisasi.

6. Untuk bahagian ISI pula, tulislah 5 isi sahaja. Setiap isi yang dihuraikan mestilah dengan contoh dan dikaitkan dengan dengan organisasi tempat bertugas sama ada di sekolah, IPG, Kolej Matrikulasi, KPM, JPN atau PPD. Setiap huraian mestilah mempunyai kaitan dengan dasar semasa kerajaan, contohnya MBMMBI, LINUS, NKRA, Misi Nasional, dasar pelajaran dan sebagainya. Aplikasi pengetahuan hendaklah diolah dan ditulis pada aras pemikiran tinggi sama ada peringkat analisis (TK4), sintesis (TK5) atau peringkat penilaian (TK6.

7. Setiap isi hendaklah mempunyai kesimpulan kecil, iaitu rumusan atau penegasan terhadap isi yang telah dibincangkan.

8. Pada bahagian akhir, jangan lupa Rumusan Keseluruhan daripada apa yang telah dibincangkan. Di sini tuan-tuan dan puan dikehendaki membuat 'extrapolation" iaitu mengaitkan atau melanjutkan isi-isi yang telah dikemukakan dengan jangkaan-jangkaan masa depan dunia pendidikan kita, contohnya dengan menyimpulkan isi-isi tersebut dengan harapan untuk mewujudkan sitem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, atau untuk mencapai Wawasan 2020, mencapai matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya.

9. Beberapa panduan menulis ISI bagi TK4 (sesuaikan mengikut tahap kecekapan sama ada TK5/TK6)

1.Gaya penulisan dan pengolahan analisis setiap isi mesti mengikut format analisis/ sintesis/ penilaian.
2.Huraian bagi setiap fakta atau langkah yang diberi mestilah berdasarkan pengalaman tugas.
3.Ganti nama ’saya’ perlu digunakan sentiasa untuk menjelaskan setiap perkara, bukan "Guru seharusnya.."
4.Setiap huraian analisis isi mesti menggambarkan perkara yang telah berlaku atau yang telah dilaksanakan, bukan yang belum berlaku atau belum dilaksanakan. Contohnya:
-saya telah merancang dan melaksanakan...
-saya telah menggerakkan ahli pasukan...
-daripada program-program yang telah dilaksanakan, saya telah menjalankan "post-mortem" dan mendapati bahawa...
- saya telah menggubal pelan tindakan dan memastikan bahawa setiap tindakan yang dilaksanakan berjalan dengan baik....
-saya dan guru-guru di sekolah saya/ institusi saya telah melaksanakan...


10. Senarai bibliografi janganlah lebih satu halaman.

KESALAHAN-KESALAHAN YANG SERING SILAKUKAN:

1. Tidak membuat ringkasan eksekutif
2. Penerangan konsep tidak jelas
3. Huraian konsep terlalu panjang
4. Isi tidak cukup atau kurang jelas
5. Isi / huraian berulang-ulang
6. Tidak merujuk kepada organisasi sendiri/ terlalu umum
7. Tidak ada rumusan bagi setiap isi
8. Tidak mempunyai tajuk-tajuk kecil
9. Susunan kertas tidak mengikut tertib
10. Huraian tidak menepati aras TK
11. Esei calon yang sama atau hampir sama (kesan daripada perbuatan meniru atau mengupah orang menulis esei)
12. Memasukkan lampiran-lampiran dan gambar-gambar yang tidak berkaitan kerana perbuatan ini hanya akan menyebabkan bilangan muka surat esei anda akan lebih daripada bilangan yang telah ditetapkan.

Akhir sekali, tulislah yang baik-baik dan muluk-muluk sahaja. Nyatakan sahaja kita mempunyai kepelbagaian kaedah dalam melaksanakan proses P&P yang berkesan walaupun kaedah "chalk and talk" yang menjadi kaedah wajib kita saban hari. Nyatakan sahaja bahawa sebagai pemimpin pendidikan, kita telah menyediakan infrastruktur dan suasana kerja/ belajar yang kondusif kepada ahli organisasi sebagai memberi motivasi dan perangsang kepada mereka berkhidmat dengan baik dan cemerlang, walaupun hakikatnya guru-guru di sekolah masih lagi bersesak di dalam bilik guru yang panas tanpa alat pendingin hawa. Pelajar pula kepanasan kerana kipas yang rosak bertahun-tahun tidak juga dibaiki!!! Kalau tulis yang sebenar? Lu fikirlah sendiri!!

Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan itu bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan memandu kita dalam melaksanakan tugas ke arah yang lebih baik dan berkualiti. Selamat menulis, dan, tulislah sendiri!!!

Jangan lupa ziarah laman sesawang Bahagian Pembangunan Penilaian Kompetensi, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut. KLIK DI SINI!
Bersambung lagi.. panduan menjawab soalan penilaian pemahaman (ujian bertulis)

Tiada ulasan: