MEKAH 7 Januari, 4 jemaah haji kita maut -- 76 disahkan terkorban dalam tragedi asrama runtuh di Mekah. Empat jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang sebelum ini disahkan terkorban dalam kejadian hotel runtuh di Jalan Jundaria kawasan Al Ghazzah dekat Masjidilharam di sini Khamis lepas. Kesemua jemaah yang berasal dari Sabah itu dikenal pasti sebagai Norma Abu, 47, dari Kampung Sapagaya, Jalan Silam, Lahad Datu dan Simin Suliman, 64, dari Kampung Lohan 1, Peti Surat 467, Wakil Pos Ranau, Ranau.
Dua yang lain ialah pasangan suami isteri Panan Awang Saman, 65, dan isterinya Dayang Damit @ Sadiyah Ghani, 63, dari Kampung Pimping, Membakut.
``Mayat mereka dijumpai setelah kami melakukan pemeriksaan di rumah mayat, Mina Muaissim,'' katanya kepada media Malaysia di sini mengenai perkembangan terkini kejadian itu.
Beliau berkata mereka dikenal pasti melalui gelang tangan pengenalan yang dipakai oleh semua jemaah haji Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Operasi Perubatan Tabung Haji Dr. Shuhaimi Ismail berkata, waris mereka sedang dihubungi oleh Konsulat Haji Malaysia Jeddah.
Katanya, usaha juga sedang dilakukan oleh Muasasah Asia Tenggara, yang turut bertanggungjawab terhadap jemaah Malaysia, untuk mengebumikan mayat mereka yang terkorban itu di tanah perkuburan Mina Muaissim, setelah waris masing-masing dimaklumkan.
Dua lagi jemaah haji dari Sabah - Rusli binti Awang, 48, yang mengalami calar-calar di badan dan adiknya, Jamil, 42, yang patah kaki kanan dan luka di dagu dimasukkan ke Hospital King Faisal, selepas kejadian itu Khamis lepas.
Semasa kejadian ini berlaku, tempat kejadian tidaklah jauh dari hotel tempatku menginap, lebih kurang 400 meter sahaja. Apabila diajak teman-teman untuk meninjau tempat kejadian, apatah lagi, persis wartawan, aku terus bergegas ke tempat tersebut siap dengan membawa kamera dan sibuk membuat ulasan selari dan menghantar sistem pesanan ringkas kepada rakan-rakan lain.
Awang Rajuk hampir pengsan mencariku.... Ampun kerana menyebabkan Awang risau...