Sabtu, Jun 17, 2006

Madinatul Munawaarah..


Kesempatan untuk mengunjungi bandar Rasulullah S.A.W, kota bercahaya al-Madinah Munawwarah akhirnya tercapai juga setelah kami akhirnya terpilih menjadi tetamunya pada musim haji yang lepas. Bandar Madinah seolah-olah tersenyum menyambut kami. Madinah, sebuah bandar bersejarah menjadi impian setiap muslim untuk mengunjunginya. Setiap inci buminya mempunyai sejarah, lalu dipilih oleh Allah S.W.T sebagai tempat perpindahan dan persemadian Rasul-Nya, serta para sahabat, juga menjadi tempat tadahan wahyu. Sesungguhnya kota ini mempunyai banyak keistimewannya. Menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W. telah menjadikan Madinah sebagai tanah haram dan berdoa untuk keberkatan ahli-ahlinya.

Cuaca yang dingin, bandarnya yang aman menyejukkan hati.. bandar yang menjadi tempat bersemadinya kekasih Allah ini tetap akan aman dan tenang sampai bila-bila.. Aku akan datang lagi!! Tunggu...

Jumaat, Jun 16, 2006

Tragedi asrama runtuh di Mekah

MEKAH 7 Januari, 4 jemaah haji kita maut -- 76 disahkan terkorban dalam tragedi asrama runtuh di Mekah. Empat jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang sebelum ini disahkan terkorban dalam kejadian hotel runtuh di Jalan Jundaria kawasan Al Ghazzah dekat Masjidilharam di sini Khamis lepas. Kesemua jemaah yang berasal dari Sabah itu dikenal pasti sebagai Norma Abu, 47, dari Kampung Sapagaya, Jalan Silam, Lahad Datu dan Simin Suliman, 64, dari Kampung Lohan 1, Peti Surat 467, Wakil Pos Ranau, Ranau.
Dua yang lain ialah pasangan suami isteri Panan Awang Saman, 65, dan isterinya Dayang Damit @ Sadiyah Ghani, 63, dari Kampung Pimping, Membakut.
``Mayat mereka dijumpai setelah kami melakukan pemeriksaan di rumah mayat, Mina Muaissim,'' katanya kepada media Malaysia di sini mengenai perkembangan terkini kejadian itu.
Beliau berkata mereka dikenal pasti melalui gelang tangan pengenalan yang dipakai oleh semua jemaah haji Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Operasi Perubatan Tabung Haji Dr. Shuhaimi Ismail berkata, waris mereka sedang dihubungi oleh Konsulat Haji Malaysia Jeddah.
Katanya, usaha juga sedang dilakukan oleh Muasasah Asia Tenggara, yang turut bertanggungjawab terhadap jemaah Malaysia, untuk mengebumikan mayat mereka yang terkorban itu di tanah perkuburan Mina Muaissim, setelah waris masing-masing dimaklumkan.
Dua lagi jemaah haji dari Sabah - Rusli binti Awang, 48, yang mengalami calar-calar di badan dan adiknya, Jamil, 42, yang patah kaki kanan dan luka di dagu dimasukkan ke Hospital King Faisal, selepas kejadian itu Khamis lepas.

Semasa kejadian ini berlaku, tempat kejadian tidaklah jauh dari hotel tempatku menginap, lebih kurang 400 meter sahaja. Apabila diajak teman-teman untuk meninjau tempat kejadian, apatah lagi, persis wartawan, aku terus bergegas ke tempat tersebut siap dengan membawa kamera dan sibuk membuat ulasan selari dan menghantar sistem pesanan ringkas kepada rakan-rakan lain.

Awang Rajuk hampir pengsan mencariku.... Ampun kerana menyebabkan Awang risau...

Berguru kepalang ajar!!

KELUARGA GURU!!
Selamat menyambut
Hari Guru 2006___________________

Berburu ke padang dasar,
dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi…

Pantun ini popular dan menjadi bacaan wajib semasa sambutan Hari Guru. Pantun empat kerat di atas mempunyai kekuatan tersendiri, selain menampilkan suggestie bunyi atau paralelisma-carmen, efek pada asonansi dan aliterasi juga diutamakan. Dua aspek yang saling kait-mengait, iaitu kebiasaan penggunaan bunyi dan kebiasaan penggunaan lambang-lambang, menjadikan pantun tersebut sering menyegarkan cuping telinga pendengar dan melunakkan suara si pengucap. Cuma, apa yang ingin diperjelaskan di sini bukan aspek bunyi atau perlambangan, tetapi kekuatan diksinya. Satu perkataan yang begitu menarik dan sangat dominan dalam pantun di atas ialah ‘ kepalang ‘

Ramai yang tidak kekok menyebutnya malah kadang-kala begitu enak mengucapkannya. Tetapi tidak ramai yang mengetahui makna yang terkandung di dalam kata tersebut. Apakah makna ‘ kepalang ‘? Berdasarkan Kamus Dewan terbitan terbaru, perkataan ‘ kepalang ‘ membawa makna sedikit atau tidak memadai, tidak berapa atau tidak cukup. Dalam konteks pantun di atas, berguru kepalang ajar membawa maksud berguru tidak cukup ajar ataupun menutut ilmu yang tidak memadai. Dalam konteks budaya kita, maksud secara umumnya ialah seseorang yang tidak cukup menerima ilmu daripada gurunya ataupun secara tepatnya pelajar yang tidak menamatkan pengajiannya. Maka seseorang pelajar yang pergi menuntut ilmu apabila tidak dapat menamatkan pengajiannya ataupun menimba ilmu separuh jalan sudah tentulah tidak akan mencapai matlamatnya ibarat bunga yang separuh kembang, bunga yang tidak kembang sepenuhnya…

Makkatul Mukarramah, kekal dalam ingatan!

Tempat yang sentiasa dalam ingatan, Makkatul mukarramah.. terus terpahat dalam ingatan. Di sini, angin tak bertiup panas tanda air dari langit akan turun. Mekah, tidak akan ada satu tempatpun di dunia ini yang dapat menandinginya. Walau panas, tapi sejuk, sungguh dingin walaupun panas, ramai penghuninya namun damai terasa. Terbayang satu dunia mengerumuninya. Namun kita tak pernah sedetik berasa diabai dan terabai. Hati kita umpama salju, sejuk, sabar walau ditolak dan dihimpit. Malah kita terasa diri semakin hampir dengan-Nya. Manusia mana yang tidak rindu pada-Nya. Ya Allah, ya zal jalali wal ikram.
7:13 AM

Rabu, Jun 14, 2006

Salam dunia blog!!


Asalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam pertemuan dalam dunia blog dan blogger. Sebagai suatu permulaan, blog ini saya akan saya gunakan sebagai media untuk menyalurkan suara hati, rasa hati, pengalaman-pengalaman saya dalam bidang pendidikan dan juga berkongsi minat dalam bidang landskap dan penanaman kaktus dengan rakan-rakan sekalian. Blog ini hanyalah catatan peribadi saya, tidak berkaitan dengan sesiapa. Semuanya hanya nukilan dan suara hati seorang perempuan yang kadang-kadang dilanda rindu, cinta dan kasih sayang yang tak pernah padam.