Isnin, September 22, 2008

Anakku Umar Abdul Aziz

Anakandaku Umar.. tahukah engkau bahawa namamu ini ibu dan abah namakan sempena nama Khalifah Ke-6 Bani Umaiyyah iaitu Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam, atau lebih dikenali sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Anakku Umar, keperibadiannya yang tinggi disukai ramai dan sangat warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab membuatkan ibu dan abah sangat menyanjungi ketokohannya lalu sepakat menamakan kamu dengan nama tokoh besar ini. Beliau telah menghafaz al-Quran sejak kecil lagi, merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan ramai lagi dan kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Terdapat banyak riwayat yang menceritakan keluhuran budi pekertinya, antaranya ialah :

1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"

2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata : "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu ialah Gabenor Madinah"

3) Umar bin Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"

4)'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah antara mereka."

Sebagai pemimpin, beliau amat mengambil berat tentang kebajikan rakyat miskin. Beliau telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan. Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah menggunakan air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat cermat dan berhati-hati atas alasan harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama. Sebelum Umar, perhatian negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material tanpa memberi penumpuan kepada pembangunan rohani dan keagamaan. Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika. Setelah selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tetapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum muslimin.

Khalifah Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak
agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.

Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mangubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.

Khalifah Umar juga amat menitikberatkan penghayatan agama dalam kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa'Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadis-hadis Rasulullah SAW.

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikiawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani kepada bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam ialah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah S.W.T dan keyakinan terhadap Hari Pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam sehingga ada orang menyatakan bahawa beliau ialah khalifah Islam yang ke-5 daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Tetapi kehendak Tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil menghadap Ilahi setelah 2 tahun 5 bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

BIODATA RINGKAS KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ:

Nama : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab
T/Lahir : 61 Hijriah
Umur : 39 tahun
Tarikh M/Dunia : 101 Hijriah
Jawatan : Khalifah Ke-6 Bani Umaiyyah

BIODATA UMAR ABDUL AZIZ

Nama : Umar Abdul Aziz bin Mohammad Affandi bin Abdul Rahman
Nama Ibu : Fariza Nurbaya binti Muhammad bin Abdullah
T/Lahir : 22 Ogos 1990
Bersamaan: 30 Muharam 1411 Hijriah (Hari Rabu)
Umur : 18 tahun
Profesion : Pelajar Prauniversiti

Anakku Umar Abdul Aziz, walaupun peribadimu mungkin tidak seluhur peribadi Khalifah Umar Abdul Aziz, moga engkau tetap akan menjadi anak yang baik dan taat kepada suruhan-Nya. Moga keperibadian unggul Khalifah Umar Abdul Aziz ini akan menjadi panduan, model ikutan dan teladan kepada anakku, UMAR ABDUL AZIZ BIN MOHAMMAD AFFANDI... anakku nan tersayang..

Tiada ulasan: