Sabtu, Mac 20, 2010

Jangan jadi cikgu seperti ini!


Kisah Satu

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1990. Ketika itu saya dalam tahun 3 di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Seorang guru perempuan yang mengajar Matematik telah mencubit saya di bahagian perut diikuti dengan tamparan di kiri dan kanan pipi saya.

Kesakitannya tidak dapat saya lupakan sehingga hari ini. Puncanya hanya kerana saya tidak menyiapkan kerja rumah. Seterusnya, guru itu melemparkan buku saya dari tingkat tiga terus jatuh ke bawah.

Saya diminta turun ke bawah untuk mengambil buku itu semula. Saya terkejut ketika mengambil buku itu kerana jelas terpampang nama pemiliknya "Fatihatul" sedangkan nama saya ialah "Faziatul".

Jelaslah, bahawa guru itu tersalah orang ketika menjatuhkan hukumannya. Apabila masuk ke kelas semula, saya menunjukkan buku kawan saya itu kepada guru yang berkenaan. Dengan selamba dia mengambil buku itu dan menyuruh saya duduk semula di tempat saya.

Tiada perkataan "maaf" atau apa-apa tindakan lain yang seumpamanya.

Sehingga kini, saya tidak dapat memaafkan kesilapan guru tersebut.


Kisah Dua

Saya datang daripada keluarga yang sangat miskin sehingga pernah makan nasi dengan air garam sahaja. Ketika belajar dalam darjah enam pada tahun 1967, ibu membekalkan saya dengan 11 bungkus nasi lemak. Satu bungkus saya makan sendiri dan yang sepuluh lagi adalah untuk dijual. Hasil jualan itu akan dikumpulkan oleh ibu untuk membeli keperluan sekolah saya.

Ibu saya sendiri telah mendapat keizinan daripada pengusaha kantin sekolah sebelum itu.

Pada suatu hari, seorang guru ternampak bungkusan nasi lemak itu di dalam meja saya dan dia merampas semuanya termasuk bungkusan untuk saya makan pada hari itu. Katanya, menjual nasi lemak itu adalah melanggar peraturan sekolah. Seharian saya berlapar kerana tindakan guru itu.

Yang lebih menyayat hati, saya ternampak guru itu dan beberapa guru yang lain memakan nasi lemak tersebut di kantin sekolah.

Sehingga sekarang saya berasa guru itu tidak layak bergelar GURU!!.

(dipetik daripada naskah PENDIDIK, Bil 20/2006]

1 ulasan:

Guru berkata...

kejam guru2 tersebut ya..