Selasa, November 30, 2010

Al-Fatihah buat arwah Tok Mi (18 Mei 1930 - 30 November 2010)

Sekadar berkongsi rasa sedih, sayu dan hiba atas kembalinya ke rahmatullah bonda mentua yang dikasihi, Hajah Munah binti Saamah hari ini, lebih kurang jam 1.00 petang di rumah adinda ipar, Mohd Fauzi Abdul Rahman di Kampung Limbongan, Bukit Keluang Besut. Arwah mengalami masalah injap jantung dan telah dimasukkan ke Wad CCU Hospital Sultanah Zainab Kota Bharu selama 1 minggu. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan lama Pengkalan Nyireh, Besut. Akhirnya daerahku nan tercinta ini juga yang menjadi tempat terakhir bersemadinya jasad arwah bonda mentuaku ini.

Tok Mi, begitulah panggilan cucu-cucu kepada arwah. Arwah Tok Mi seorang yang pemurah, suka bersedekah dan gemar menghulurkan wang kepada cucu-cucunya dan kanak-kanak yang mengunjunginya. Sebahagian masanya dihabiskan di tikar sembahyang, menunaikan solat sunat, membaca ayat suci al-Quran dan berpuasa sunat.

Dan, tidak dapat saya gambarkan perasaan AR, wanita yang paling disayanginya telah pergi meninggalkan alam yang fana ini. Sabarlah dan tabahlah, AR telah membuat yang terbaik untuk bondanya. Tidak pernah sekalipun saya mendengar AR meninggikan suara atau mengangkat suara kepada Tok Mi. Sepanjang menjaga Tok Mi yang sangat uzur di rumah kami selama lebih 6 bulan, AR melayan karenah Tok Mi dengan begitu sabar sekali. Sudah sampai masanya Allah memanggil Tok Mi pulang, tidak lewat dan tidak cepat walaupun satu detik.

Bagi anak-anak saya, sudah pasti kenangan di rumah Tapang bersama Tok Mi akan menjadi ingatan yang tidak boleh dilupakan oleh mereka. Dulu sewaktu arwah Tok Mi masih lagi tinggal di rumah ini, kami akan pulang menjenguknya 2 kali sebulan. Di sinilah menjadi tempat kami berkumpul terutama pada setiap hari raya. Dan kami akan terus merindui rumah ini yang sekarang akhirnya terbiar tanpa berpenghuni, menjadi semakin usang dan penuh dengan lalang dan semak-samun.


Ya Allah, ampunilah Tok Mi, cucurilah roh Tok Mi dengan rahmat yang berkekalan dan tempatkanlah Tok Mi dalam kalangan mereka yang telah diampunkan segala dosa, dimasukkan di dalam syurga Firdaus dan dipermudah penghisaban alam kubur. Al-Fatihah!

Jumaat, November 26, 2010

Kami kemalingan!!

Oh, kami kemalingan awal pagi tadi dan musibah ini rasanya berlaku kali pertama dalam kehidupan saya sekeluarga dan sepanjang kami tinggal di teratak ini. Saya menyedarinya sebaik sahaja terbangun dari tidur jam 6 pagi setelah terlihat tingkap bilik belakang terbuka dan terdapat kesan diumpil.

Tidak banyak yang hilang, 2 telefon bimbit saya, telefon Kak Eina dan 1 telefon Abang Acan habis dikebasnya. Sejumlah wang dalam RM, Yuan, Dong, Rupiah dan USD juga hilang. Satu cupak "barang kemas" saya juga lesap. Wah, kaya juga Cikgu Za ni hingga ada bercupak-cupak barang kemas ya. Hmm... kasihan pencuri itu, sudah pasti kalau nak dijualnya atau nak digadainya pasti tak laku.

Yang menghairankan kami, bagaimana telefon yang dipegang erat oleh Hasan Ali dalam tidurnya dan telefon Kak Eina yang terletak di bawah dagunya boleh diambil si maling itu? (Mesej: jangan tidur dengan telefon bimbit, dan jangan tidur sambil ber-SMS!)


Sempat lagi si maling yang budiman ini memilih, menyisih dan menyusun barang-barang selepas dikebasnya!!

Ditinggalkannya yang tidak begitu berharga.

Oh, semua yang berwarna emas hilang!!

Tiada kata-kata yang mampu saya ucapkan. Bersyukurlah kami sekeluarga selamat. Wang ringgit boleh dicari. Barang kemas hanya perhiasan dunia. Telefon bimbit? Oh.. penting juga. Semoga si maling itu diberi petunjuk dan hidayah dan kembali ke pangkal jalan.

Ahad, November 14, 2010

Sesi persekolahan 2010 pun berakhirlah...

Dalam kesibukanku yang entah apa-apa, rupa-rupanya minggu ini merupakan minggu terakhir sesi persekolahan untuk tahun 2010. Banyak lagi tugas yang tidak sempat diselesaikan. Rasanya saya masih belum boleh melepaskan pelajar-pelajar saya untuk memasuki dewan peperiksaan STPM dengan hati yang tenang. Persediaan dan kelengkapan mereka untuk bertarung dalam peperiksaan sebenar rasanya masih belum cukup lengkap, parang dan lembing yang mahu digunakan masih lagi berkarat dan tumpul walaupun hari peperiksaan makin hari makin bertambah dekat. Saya masih belum nampak suasana peperiksaan yang boleh menimbulkan "demam' dalam kalangan mereka. Ada dalam kalangan mereka yang boleh bersantai dan menghabiskan masa dengan Facebook dan SMS. Insya-Allah, jika ada ruang, saya akan manfaatkan beberapa hari senggang dalam musim peperiksaan ini untuk mengadakan kelas-kelas tambahan dan kelas ganti bagi membantu pelajar pada saat-saat akhir ini.

Oleh sebab sekolah kita sering terdedah dengan bencana banjir, pesan saya, buatlah persediaan awal. Jika terdapat tanda-tanda akan berlaku banjir, segeralah bergerak ke rumah rakan atau sekolah dengan membawa keperluan untuk peperiksaan seperti slip peperiksaan, kad pengenalan, buku-buku rujukan, pakaian seragam sekolah, alat-alat keperluan peribadi, ubat-ubatan dan sedikit makanan. Jangan bimbang, YB ADUN Hulu Besut, Tuan Haji Nawi dan guru-guru bersedia untuk membantu anda pada bila-bila masa sahaja.

Selamat menghadapi peperiksaan. Masih ada ruang dan luang untuk anda, anak-anakku bagi membaiki segala kelemahan. Kesenangan, kejayaan tidak mudah untuk datang bergolek. Sering dan selalu saya mengingatkan mereka, ilmu yang dicurahkan guru-guru bukan semata-mata untuk peperiksaan tetapi, yang lebih penting, dapat dimanfaatkan dan digunakan dalam kehidupan.

Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Guru hanya menjadi penyampai dan medium sahaja. Selamat menduduki peperiksaan dunia, yang harapnya akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Semoga berjaya dan mencapai impian ke puncak menara!

Isnin, November 01, 2010

"Nate mano maghi tu?"

Hari ini berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Pelbagai isu dan masalah dibincangkan, program-program terakhir peningkatan prestasi peperiksaan, program pembangunan staf, termasuklah disiplin, dan perihal kelakuan pelajar yang semakin tidak mendengar kata. Mengeluh guru-guru, masing-masing mengadu hal anak-anak murid yang semakin biadab. Seorang guru menceritakan kebiadaban pelajarnya yang mengungkapkan kata-kata "Nate mano maghi tu?" (binatang apa yang datang tu?) ketika dia berjalan ke kelasnya untuk mengajar hari ini. Guru itu terkedu tidak terkata.

Kalau mahu diperincikan satu persatu nistaan dan kebiadaban yang pernah dilontarkan oleh anak-anak pedalaman ini kepada guru-guru mereka, rasanya ramai yang tidak akan percaya bahawa perkara seperti ini boleh berlaku terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar yang kononnya masih tekal dan masih tinggi menjunjung adat budaya pusaka bangsa yang lembut berhemah dan berbudi bahasa. Di manakah silapnya? Ibu bapa? Sekolah? Persekitaran? Atau sistem pendidikan kita?

Inilah realitinya yang harus dihadapi oleh guru-guru di sekolah luar bandar hari ini. Aku yang mendengarnya pula rasa tersentuh dan tersebak seketika, bersimpati dengan masalah yang dialami oleh rakan-rakan. Sebagai guru kelas prauniversiti, saya jarang berdepan dengan perangai pelajar seperti ini.

Mengajar di sekolah luar bandar memerlukan guru-guru yang tabah dan tahan diuji. Mereka datang ke sekolah tanpa matlamat dan hala tuju dan sebahagian daripada mereka mengalami masalah penguasaan asas 2M yang menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti isi pelajaran dengan baik. Malang sungguh, mereka hilang dan rugi dalam banyak perkara, tiada ilmu dunia, kurang ilmu akhirat, miskin budi bahasa, miskin harta benda. Lalu apa lagi yang tinggal untuk mereka? Tidak hairanlah, gejala penyalahgunaan dadah, anak luar nikah, sumbang mahram, pergaulan bebas bukan lagi perkara yang luar biasa berlaku di sini.

Kadang-kadang, kasihan melihat cikgu-cikgu di sini. Mereka kadang-kadang hampir putus asa dalam usaha mengubah haluan dan perubahan hidup pelajar-pelajarnya. Sikap degil, malas, biadab menyebabkan kesabaran dan kekentalan itu menjadi begitu tipis sekali. Sesungguhnya kita hamba Tuhan yang lemah, amat lemah.

Semoga kita semua akan terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk mendidik anak-anak desa ini. Walaupun bukan untuk menghasilkan pelajar yang mampu mendapat sekian banyak A tapi sekurang-kurangnya, walaupun mereka agak kurang cerdik, tapi mempunyai budi pekerti yang baik. Malangnya mereka tiada kedua-duanya!!

Betullah kata Cikgu Jimie:
Jika hari ini kita kehilangan erti SABAR seorang guru dek kenakalan muridnya,
jika hari ini, kita kehilangan SEMANGAT seorang guru dek kemalasan muridnya,
ingatlah, masih ada murid yang ingin berjaya.

Teruskanlah USAHA dan IKHLASkan diri untuk memajukan anak bangsa. Insya-Allah, Allah akan berikan ganjarannya. Guru insan paling bertuah lantaran menaburkan ilmu yang bermanfaat, bakal dituai hasilnya di negeri akhirat kelak. Amin.