Rabu, April 06, 2016

Kepimpinan Intruksional

Pemimpin pendidikan mestilah dipilih daripada guru yang mampu mengaplikasikan konsep kepemimpinan instruksional. Mereka sendiri boleh membimbing guru dalam memahami teori pembelajaran dan menyesuaikannya dengan kaedah dan teknik pengajaran terkini yang akhirnya dapat mempertingkat kualiti pengajaran dan pembelajaran murid.

Pengurus pendidikan yang mengetuai mana-mana organisasi sama ada sekolah, PPD atau JPN mestilah dipilih daripada mereka yang telah mencapai tahap yang terbaik dalam amalan p&p, berupaya untuk menggerakkan orang lain untuk bertindak, menjadi model teladan serta pemandu jalan, bahkan mampu menggerakkan hati orang yang dipimpin untuk bekerja. 

Mereka harus meletakkan peranan secara seimbang, bukan sahaja dalam menguruskan organisasi yang bersifat rutin, malah meluangkan masa yang saksama untuk menggerakkan dirinya sebagai pemimpin instruksional. Pemimpin mungkin memiliki segala idea besar atau wawasan agung tetapi jika tindakan tidak diambil atau dilaksanakan, tiada apa yang boleh dihasilkan. Pemimpin instruksional mampu melaksanakan pelbagai tugas seperti pencerapan di bilik darjah, pembangunan staf dan pembangunan kurikulum.


Peranan yang penting dan bermakna sebagai pemimpin instruksional ialah mereka perlu memberi tumpuan kepada arahan dan tunjuk ajar, berkongsi bersama dalam membuat keputusan, pembimbing dan pembantu secara langsung kepada guru, membangunkan kelompok, menggerakkan perkembangan staf, membangunkan kurikulum dan menggerakkan kajian tindakan.  Pemimpin instruktional harus menterjemahkan peranan utama mereka sebagai pemimpin kecemerlangan pembelajaran.


Bagi mencapai hasrat ini, pemimpin instruksional perlu memahami dan menghayati kemahiran-kemahiran yang kait-mengait yang memberi sumbangan kepada keberkesanan sesebuah organisasi pendidikan iaitu kepimpinan yang mantap dan positif, pengharapan yang tinggi, pemantauan kemajuan murid, tanggungjawab dan penglibatan murid dalam kehidupan sekolah, ganjaran dan insentif kepada guru, penglibatan ibu bapa di sekolah, perancangan bersama dan pendekatan-pendekatan yang konsisten kepada murid dan penekanan kepada aspek pencapaian akademik melalui satu kaedah penilaian yang berterusan.


Persoalannya, mampukah pemimpin/ pengurus pendidikan yang dilantik sekarang memenuhi fungsi-fungsi di atas? Atau, masihkah pemilihan dibuat atas dasar kronisme atau atas dasar 'warna' apa yang mereka anuti?
Sekian.
‪#‎edisibebel‬

Tiada ulasan: