Jumaat, Ogos 21, 2009

Salam Ramadan 1430!!

Syukurlah kerana kita masih bernafas untuk menunaikan dan memuliakan bulan Ramadan 1430 Hijrah yang akan bermula esok. Semoga saya diberikan kudrat dan tenaga untuk sama-sama mengimarahkan keberkatan ini. Semoga Ramadan kali ini dapat mengubah keinginan melampau duniawi saya kepada usaha untuk meningkatkan keimanan yang belakangan ini tewas dan kalah oleh hasutan dunia penuh material ini.

Semoga kita diberi hidayah dan rahmat dari-Nya. Semoga diri ini terus diberi nikmat kekuatan, nikmat kesihatan dan kegembiraan untuk menyempurnakan rutin sepanjang bulan Ramadan ini untuk keluargaku dan bonda mentuaku yang aku sering gagal untuk melunaskannya.

Selamat berpuasa dan merebut janji-janji Allah SWT. Salam...

Jumaat, Julai 24, 2009

Merisik khabar teman-teman Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya Sesi Pengajian 1985-1988.


Kemelut dan nasib yang melanda bahasa Melayu menyebabkan hati menjadi rindu akan teman-teman seperjuangan yang pernah sama-sama menuntut dan mendalami ilmu-ilmu bahasa di Universiti Malaya 24 tahun yang lampau. Ke mana mereka?? Adakah tanggapan dan kasih sayang mereka terhadap bahasa Melayu masih lagi utuh seperti dahulu? atau sudah makin berkurangan sebagaimana berkurangnya kasih orang Melayu terhadap bahasa ibunda mereka sendiri?
Semasa menjadi mahasiswa dahulu, kami pelajar-pelajar Rancangan Bahasa Melayu Universiti Malaya berguru dan dididik oleh tokoh-tokoh besar bahasa dan sastera seperti Prof Dr Nik Safiah Karim, Prof Dr Hashim Haji Musa, Dr Abu Hasan Sham, Dr Ismail Husein, Dr Mukhtarudin, Puan Raminah Haji Sabran, Encik Nuwairi Haji Khazaai, En Lutfi Abas(mungkin sekarang sudah bergelar profesor/ profesor madya) dan ramai lagi. Kami dipupuk rasa cinta akan bahasa, mendalami dan menguasai ilmu tentang linguistik dan sistem bahasa termasuklah tatabahasa normatif bahasa Melayu, laras bahasa, linguistik perbandingan, sosiologi dan pelbagai cabang ilmu bahasa yang lain. Dari situ, saya makin kuat berpegang dan berkeyakinan penuh dengan keupayaan bahasa Melayu dalam memperkatakan pelbagai bidang dan ranah ilmu. Dan sampai hari ini, cinta ini masih lagi kekal....

Setelah menyelusuri ruang siber, saya dapat menemukan beberapa maklumat tentang rakan-rakan RBM dan diharapkan kepada sesiapa yang terjumpa blog ini dan mengenali individu di bawah, dapat memberi maklum balas kepada saya. Mungkin melalui ruang siber ini kita dapat bertemu kembali dan mengingati segala nostalgia yang pernah kita lalui dahulu.

1.ABDUL WAHID BIN TAKAT, PENGETUA, SMK TELOK DATOK, BANTING SELANGOR
2.FARIZA NURBAYA BINTI MUHAMMAD – GURU CEMERLANG (BM) SMK PUTRA, JERTEH, TERENGGANU
3.ISMAIL BIN ARSHAD @ MD SAHAD – NAZIR SEKOLAH, JEMAAH NAZIR NEGERI SEMBILAN
4.KATHIRASAN AL/ DORAISAMY – PHd AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UNIVERSITI MALAYA
5.ROS HAPIZAWATI SULONG – GURU SMK LELA SEGARA, MARANG
6.SARUL ZAMAN BIN HAJI MOHD LAZIM- GPK KOKO SMK BANDAR TASIK KESUMA, BERANANG SELANGOR
7.YAHYA BIN AWANG – PENGETUA, SMK JENGKA PUSAT 2, PAHANG
8.ABDUL RAHIM BIN ABDUL RASHID (Mc Gyver)– PENSYARAH INSTITUT AMINUDIN BAKI, CAWANGAN UTARA
9.AHMAD HOURMAIN BIN SULAIMAN, GPK1 SMK PALONG TIMUR, SEGAMAT
10.FARIDAH BINTI HAJI NORDIN – GURU, SMK ENGKU HUSAIN, SEMENYIH, SELANGOR
11.KHUSNAIMAH BINTI HAMDAN – GPK KOKO, SMK METHODIST (ACS) PARIT BUNTAR, PERAK
12.MOHAMMAD AFFANDI BIN ABDUL RAHMAN – macam pernah kukenal nama ini.. hehehe
13.MOHD SABRY BIN MAHMOOD – SMK Melor, kota Bharu Kelantan
14.NORMA BINTI OMAR – GURU SMK CHERANG RUKU, PASIR PUTEH, KELANTAN
15.RAUDAH BINTI MUSTAFA - GPK1 SMK SYED MASYHUR, BATANG KALI, SELANGOR
16.RAZMI BIN ABDUL RAZAK – PENOLONG KANAN AKADEMIK, SM SAINS ALAM SHAH, KUALA LUMPUR
17.RUSINA BINTI ABDULLAH – SMK KOMPLEKS GONG BADAK, KUALA TERENGGANU - al-Fatihah buat Allahyarhamah Rusina yang telah kembali ke rahmatullah pada 6 Disember 2009.
18.SITI HALIJAH BINTI HAJI LAUNGENG – SMK TAMAN UNIVERSITI, SEKUDAI, JOHOR
19.SITI LATIFAH BINTI MISRI – GPK HEM, SMK DATO’ ABDUL RAHMAN YASSIN, JOHOR BAHRU
20.WAN MAIZATUL AKMAL BT WAN ZAKI – SMKA SHEIKH ABDUL MALIK, KUALA TERENGGANU
21.ZARINA BINTI MD ZAIN – GPK1, SM TEKNIK ARAU, PERLIS
22.ALLAHYARHAM ISMAIL BIN ADAM – telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah...
23. MARHAINI BINTI MULIM - GURU, SMK TELOK DATOK, BANTING SELANGOR
24. ZARINA NORAINI BINTI ISMAIL - GURU, SMK HAMZAH, MACHANG KELANTAN
Dan beberapa orang lagi rakan yang tidak dapat ditemukan maklumatnya iaitu:

25.LIM CHU AIK – Melaka
26.NONG AHMAD BIN MAT YASIN –
27.NOOR AZMAN BIN ZAINAL ABIDIN- GPK1, KE Taiping
28.WEE PANG YEW –
29.RAZALI BIN AYOB – Pensyarah Bahasa Melayu, UPSI (Terima kasih buat pelajarku Rosmaiza Hasan yang memaklumkan perkara ini)
30.ROSMAH BINTI HAMDAN – Batu Gajah,Perak
31.ROSNIAH BINTI ALI – Bukit Mertajam
32.SAHRIR BIN SUKIRMAN – SMK raja Muda Musa K.Kangsar
33.SAIMAH BINTI MOHD SAID –
34.SITI FATIMAH BINTI CHE SAAD –
35.UMMI HANI BINTI MOHAMED ZAID – Petra Jaya, Sarawak
36.V LEELAVATHY A/P M VIRAVAN –

Terima kasih buat sahabatku Ahmad Hourmain atas maklumat-maklumat di atas. Semoga kita semua akan bersua kembali...

Khamis, Julai 16, 2009

8 Julai 2009 : PPSMI dimansuhkan mulai 2012.. kenapa perlu tunggu 3 tahun??

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas Jemaah Menteri, waktu itu Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dimulai dengan Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah.

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 100,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara, didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu merumuskan bahawa dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75% murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dan menganggap PPSMI sebagai dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "Salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Profesor Ungku Aziz pula menyifatkan bahawa tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai tindakan gila.

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Sedikit gusar di hati hamba, mengapa perlu menunggu sehingga 3 tahun? Apa sahaja boleh terjadi dalam masa selama itu. Sudah banyak nasib anak-anakku di desa pedalaman ini yang rosak dan musnah termasuk anak-anakku sendiri. Kenapa sekolah jenis kebangsaan Cina diberi izin khas untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Cina sehinggakan prestasi kelulusan UPSR (2008), pangkat A dalam subjek-subjek ini jauh lebih tinggi daripada Sekolah Kebangsaan. Kenapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diberi keistemewaan, dan siapa yang membenarkannya? Kenapa?? Kenapa PPSMI dilanjutkan untuk pelajar matrikulasi dan tingkatan 6 dan kenapa pengajaran di universiti dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu?

Isnin, Julai 06, 2009

Terima Kasih Tuhan!!!!

5 Julai 2009: Semoga Allah memberkati hidup saya dan keluarga. TERIMA KASIH, YA ALLAH. Terima kasih Tuhan. Syukur yang tidak terhingga kerana dalam usia ini saya masih diberikan ruang dan kesempatan untuk menghirup udara segar dan nikmat kehidupan ini. Terima kasih, terima sayang buat Awang Rajuk... Hari ini aku menjadi semakin tua.....

Jumaat, Julai 03, 2009

Dari Kuala Terengganu ke Summit USJ Subang Jaya...

Seronok juga bersama teman-teman di Permai Inn Kuala Terengganu selama 4 hari kerana berkhidmat untuk Kerajaan Malaysia dan mengenali rakan-rakan guru yang hebat seperti Puan Zanariah Abdol, GC dari SMS Johor, Puan Siti Sara Sarawak, Rubi Melaka, Kak Melia, Tuan Haji Halim dan Tuan Haji Mat Ali Penang, Kak Rohaida Kelantan dan beberapa orang lagi. Seperti tulisan Kak Zana dalam portalnya, hebat juga Ganu Kite... berkembang maju seiring zaman. Ada ICT, UCT, SCT dan KCT. Kuala Terengganu dilanda era digital dengan batik digitalnya. Maka terbanglah berkeping-keping fulus teman-teman ke poket tauke batik digital. Namun, dalam keghairahan mengejar arus digital dan ICT-nya (Ikan Celup Tepung) sempat juga kami meninjau stadium runtuh di Gong Badak. Nanti kecil hati pula YAB Datuk MB kita kalau tak menjenguk dan bertanya khabar. Memang teruk, macam bangunan dilanggar raksasa dalam cerita-cerita Ultraman yang saya tonton sejak kecil dulu. Kalau ditanya angkara dan silap siapa berlakunya bencana ini, nanti sensitif pula. Dari Stadium Gong Badak, kami ke rumah Puan Salwa. Terima kasih buat Puan Salwa SK Gong Badak dan suami yang sudi menjamu teman-teman dengan ICT, SCT, satar dan otak-otak. Orang Ganu memang berbudi.
Posing lagi sebelum pulang.... Dah kenyang makan, sempat pula bergambar. Kak Rohaida pula dapat melepaskan rindunya kepada kucing-kucingnya. Terima kasih juga buat Kak Nor Khatimah dan suami, Tuan Haji Yusuf yang bersusah lelah menguruskan pembelian keropok lekor Seberang Takir tempahan rakan-rakan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. Moga murah rezeki Kak Nur sekeluarga terutama selepas dapat GC DG54 ni, moga rezeki makin berlimpah-rauh. Hari ini, selesai tugas untuk negara, bersama Awang Rajuk dan anak-anak ke Shah Alam untuk menghantar Kak Eina dan bermalam di Summit USJ, Subang Jaya. Kenapa tak bermalam di Shah Alam saja? Kata Kak Eina, kat sana tidak ada panggung wayang. Kasihan Abu Zar dan Husin yang kempunan nak menonton wayang. Maklumlah, Teranung Kite tak ada panggung! Teringin betul mereka nak menonton Jangan Pandang Belakang Congkak dan Ice Age 3. Awang Rajuk pula nak menonton Drag Me To Hell. Menonton sakanlah mereka malam ini. GSC Cinemas di bangunan sebelah saja. Tapi, yang hebatnya Kak Eina telah menonton 3 filem dalam satu malam!!!
P/S.. maaf Kak Zana kerana "mencuri" gambar-gambar dari portal Kak Zana harap halalkan.

Ahad, Mei 17, 2009

Selamat Menyambut Hari Guru.. selamat ulang tahun Awang Rajuk!!!

Tangal 16 Mei setiap tahun, seperti tahun-tahun lalu warga pendidik seluruh negara akan bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru. Tema sambutan hari guru Tahun ini ialah "Guru Pembina Negara Bangsa". Kalau tanya cikgu-cikgupun mereka sendiri pun mungkin tidak faham sangat tentang konsep dan gagasan negara bangsa ni. Saya mempunyai sedikit pengetahuan tentang gagasan inipun kerana PTK. Komponen yang terkandung konsep negara bangsa ialah usaha memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan, memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, merakyatkan seni, warisan dan budaya bangsa, dan yang terakhir ialah memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari.. Hmmm..... malaslah saya nak komen panjang tentang konsep negara bangsa ini. Sebagai guru bahasa Melayu, sudah jenuh saya menjelaskan dan memberi pemahaman kepada anak-anak didik saya tentang sejarah kegemilangan dan keupayaan bahasa Melayu. Pelbagai usaha telah dibuat untuk memupuk rasa cinta akan bahasa kita. Terpulanglah.... Apa yang penting, hari ini saya dan rakan-rakan diraikan dalam satu majlis sambutan Hari Guru oleh pelajar-pelajar saya.

Seperti biasa, selepas mendengar perutusan, kami nyanyi-nyanyi lagu Guru Malaysia dan lagu tema, kemudian baca ikrar, kemudian ada acara sukaneka, ada makan-makan dan majlispun bersurai. Entahlah, selepas lebih 20 tahun bergelar guru, masa menyanyikan lagu Guru Malaysia ini, sampai je bahagian lirik ... amanah yang diberi, kami tak persiakan. Apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan.. pasti akan mengalirlah air mataku ini. Terasa terlalu besar amanah yang dipertanggungjawab ke atas bahu guru-guru. Dan... tahun depan kita sambut lagi Hari Guru dengan acara dan agenda yang sama, sampailah kita pencen. Itupun kalau usia kita panjang dan diberi peluang dan nikmat oleh Ilahi untuk mencapai usia 58.

Saya teringat pada satu dialog antara dua orang guru yang saya baca daripada laman sesawang jenaka;

Cikgu Zaman Dulu :Dasyhat-dasyhat...masa dulu2 mane ade murid2 sambut hari guru.... tapi semua murid hormat pada guru.. diorang ingat kat guru..

Cikgu Zaman Sekarang : Sebab murid2 sekarang semua lupakan guru... Hari guru tu cuma nak bagi murid2 ingatkan guru je...besok2 diorang lupalah balik...

Jika difikirkan, betul juga dialog di atas. Masa saya bersekolah rendah dulu, kami tak pernah menyambut atau diperkenalkan dengan Hari Guru tapi kami sangat menghormati guru. Ajaran mereka masih terpahat dengan kuat dalam ingat sampai sekarang. Tak berani kami bercakap semasa guru mengajar. Sepenuh tumpuan kami berikan walaupun pada waktu itu mereka hanya menggunakan kaedah "chalk and talk" saja, tiada komputer, tiada perisian yang macam-macam. Kami diajar mengira dan mencongak dengan cepat walaupun tanpa PPSMI. Kerjaya guru cukup dihormati pada waktu dulu.

Hari ini, kerjaya guru hanyalah dianggap sebagai kerjaya makan gaji semata-mata. 25 hari bulan setiap bulan menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh kita untuk "menuai" hasil tanaman kita yang hasilnya entahkan bermutu atau tidak. Pada saya perumpamaan guru itu bagai lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain tidak lagi sesuai untuk dijadikan simile terhadap peranan guru hari ini. Guru tidak harus menerima ungkapan semalang ini atas sumbangan dan peranan mereka serta meletakkan diri mereka umpama lilin yang menerangi orang lain tetapi pada masa yang sama membiarkan diri mereka musnah terbakar.

Betullah kata Cikgu Bashid, perumpamaan guru bagai lilin bertentangan dengan tugas mereka sebagai pendidik (murabbi) yang dikatakan oleh Saidina Ali a.s. yang lebih kurang mafhumnya: Ilmu yang dicurahkan akan semakin bertambah; sedangkan harta yang dibelanjakan akan semakin berkurangan. Guru sepatutnya menjadi mentari pada siang hari dan bulan purnama pada malamnya. Dalam sebahagian besar masanya, ia memainkan peranan ulama’: membimbing, memimpin dan menjadi contoh; dan dalam sebahagian besar masanya yang lain, ia ialah seorang ‘abid yang khusyuk yang menyerahkan dirinya kepada Allah sambil bermuhasabah tentang peranan dan tanggngjawab yang telah dilaksanakannya.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU buat semua insan bergelar guru di seluruh Malaysia terutama kepada guru-guru yang pernah mengajar saya dari sekolah rendah SK Bukit Puteri, SK Pusat Jerteh, SMA Maarif, KUSZA,dan Universiti Malaya. Maaf jika tidak mampu menyebutnya satu persatu.. Tanpa tuan-tuan guru, siapalah saya pada hari ini. Berbanggalah kerana menjadi guru dan berjaya melahirkan ribuan insan yang berjaya dan disegani. Jasa guru-guru sekalian tidak akan saya lupakan dan hanya Allah S.W.T juga yang dapat membalasnya. Selamat hari guru buat Awang Rajuk yang sentiasa menjadi guru terbaikku, saya mendoakan agar Allah sentiasa meletakkan diri tuan di tempat yang sentiasa dilimpahi hidayah, dimurahkan rezeki dan dirahmati Allah SWT selama-lamanya.

Doakan agar saya akan menjadi seorang guru yang baik yang tidak pernah terlupa untuk terus berperanan menjadi guru yang berkesan, amanah dan ikhlas, guru yang mursyid nabi kata arwah ayahandaku.

Selasa, April 21, 2009

Telefilem "Kekasih" dan kekuatan bahasa Indonesia.

Saya kasihan akan adinda-adinda saya, adinda Jay dan Adinda Milah yang sudah jemu menatap blog saya yang tidak dikemas kini sekian lama. Kali ini saya tidak mahu bercakap tentang PPSMI, tentang isu bahasa ataupun tentang politik. Semuanya isu yang berat dan tak selesai-selesai dan sering membuatkan saya juak dan muak. Kali ini saya ingin bercakap tentang sesuatu yang santai sahaja iaitu tentang sebuah filem Indonesia yang saya tonton bersama-sama Awang Rajuk melalui saluran 122 Astro Kirana beberapa hari lalu bertajuk "Kekasih". Temanya hanyalah tentang cinta antara dua darjat tetapi mampu membuatkan kami tercongok di depan televisyen selama hampir 2 jam. Kisah cinta antara Jiwo Samudro dengan kekasihnya yang telah saya lupa namanya itu tidaklah menarik sangat tetapi setelah tamat cerita, Awang Rajuk menanyakan saya tentang kekuatan filem ini sehingga mampu membuatkan saya tidak tertidur seperti kebiasaan.
Mudah saja jawapannya, filem ini terasa hebat kerana kekuatan bahasanya, dialognya indah dan penuh makna serta membelai perasaan tanpa sedikitpun campur aduk dengan bahasa Inggeris. Filem ini menggunakan bahasa Melayu@Indonesia seratus peratus. Meskipun keluarga kekasih Jiwo dari golongan aristokrat berdarah istana, mereka tidak perlu mencampuradukkan bahasa Indonesia dengan bahasa Inggeris semata-mata untuk menunjukkan status/ kedudukan mereka. Ini berbeza sekali dengan drama dan filem-filem Malaysia yang tidak sah sekiranya tidak diselitkan dengan dialog daripada bahasa Inggeris. Inilah masalahnya apabila karyawan filem kita masih lagi bermentaliti penjajah yang menganggap bahawa bahasa Inggeris bahasa golongan atasan, korporat dan terhormat. Bahasa Melayu pula hanyalah bahasa untuk pak tani, kisah pondok buruk dan kisah orang miskin sahaja. Tanggapan negatif tentang bahasa Melayu inilah mungkin menjadi salah satu punca saya jarang menonton drama@filem Melayu. Cukuplah kita dimomok-momokkan dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, sekarang filem dan drama kita juga ingin di-PPSMI-kan....

Ahad, Februari 15, 2009

Sains Dan Matematik Tidak Semestinya Diajar Dalam Bahasa Inggeris!!!


KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Subjek Matematik dan Sains boleh diajar dalam mana-mana bahasa dan tidak semestinya hanya dalam bahasa Inggeris, kata Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini.

Beliau berkata kedua-dua subjek itu boleh dipelajari dalam mana-mana bahasa kerana tujuan utama ialah untuk mempelajari subjek tersebut dan bukan bahasa Inggeris. “Anda boleh buat (belajar Sains dan Matematik) dalam bahasa Melayu agak baik, anda boleh buat dalam bahasa Cina juga sangat baik, anda boleh buat dengan baik dalam bahasa Jerman, tidak ada istimewanya mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa tertentu,” katanya kepada pemberita selepas memberikan Syarahan mengenai ‘Mencari Kejayaan’ pada Siri Syarahan Anugerah Merdeka di sini.

Katanya ramai yang memperoleh pengetahuan malah dalam bahasa Melayu dan Matematik sebagai satu bahasa simbolik yang boleh dipelajari dalam mana-mana bahasa. “Pada 1974, kita mengambil masuk pelajar Melayu di Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya. Kini graduan Pusat Asasi Sains merupakan pakar dalam bidang masing-masing dan mereka mendapat gaji lebih RM40,000 sebulan dan mereka mempelajarinya semua dalam bahasa Melayu. Sehubungan itu, bahasa bukanlah isunya,” katanya.

Ungku Aziz berkata juga bahasa Melayu boleh menjadi alat untuk memastikan pencapaian perpaduan nasional. “Anda hanya boleh mempunyai perpaduan nasional jika setiap orang boleh memahami seseorang dalam satu bahasa. Jika orang ramai boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil tetapi mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu dan ini kita tidak boleh ada perpaduan nasional,” kata beliau.

Beliau juga berkata sistem pelajaran negara tidak mempromosikan pemikiran kreatif dan selagi sistem mengamalkan pilihan pelbagai dalam peperiksaan, orang ramai tidak akan kreatif. “Sekurang-kurangnya anda mesti mempunyai satu subjek mengenai pemikiran sama ada pemikiran kreatif atau pemikiran sisian pada peringkat sekolah sehingga pengajian tinggi,” kata beliau.

Syarahan ini adalah siri ketiga daripada enam siri Syarahan Anugerah Merdeka untuk 2008/2009 yang dianjurkan bersama Petronas, ExxonMobil dan Shell....BERNAMA

Catatan saya...
Sehingga hari ini saya tetap mengagumi ketokohan dan pemikiran Ungku Aziz. Saya masih terbayang-bayang kelibatnya semasa berjoging sekitar kampus ketika saya menuntut di Universiti Malaya [pada tahun 1985/ 1988 dulu) dan bergerak di dalam kampus dengan Volvo 740-nya. Pada ketika itu, di bawah pimpinan beliau sebagai Naib Canselor, Universiti Malaya berada pada kedudukan antara sepuluh universiti terbaik dunia. Semua mahasiswa belajar dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua fakulti dan jurusan tidak kira pelajar perubatan, undang-undang, kejuruteraan, ekonomi dan sebagainya. Pada masa yang sama, kami juga mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik walaupun kadang-kadang terkebil-kebil dan terkial-kial menterjemah karya-karya bahasa Inggeris klasik tentang Josseline de Jong. Masih terbayang senyum sinis Si Awang Rajuk apabila melihat saya yang sering menjadi punca kemarahan dan sindiran Profesor Abu Hasan Sham kerana terjemahan yang merapu dan "tertinggal" kelas hampir maghribnya.. Ahhh... manisnya bila terkenang waktu itu....

Rabu, Februari 11, 2009

Belajarlah bahasa Inggeris!

Petikan dari Blog Profesor Abdullah Hasan

Tidak ada orang yang waras fikirannya menentang murid belajar bahasa Inggeris. Tidak juga ada orang yang waras fikirannya menentang sesiapa belajar sains dan matematik.

Belajarlah, belajarlah, belajarlah. Kita lebih setuju daripada penyokong PPSMI.

Bagi mengajarkan bahasa Inggeris kepada murid, eloklah dilakukan melalui pelajaran bahasa Inggeris, bukan sains dan matematik. Dan gurunya perlulah mahir pula berbahasa Inggeris. Kita juga setuju murid belajar sains dan matematik. Dan ilmu kognitif mengatakan murid belajar ilmu dengan berkesan melalui bahasa ibundanya.

Apabila sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris kepada murid yang tidak pun tahu berbahasa Inggeris, tentulah itu tidak wajar. Ini bertambah buruk apabila gurunya pun ada yang tidak mahir berbahasa Inggeris. Dalam sebuah pencerapan selama tiga hari, seorang guru sains biologi di sebuah sekolah di Kelantan, hanya menggunakan 83 buah perkataan Inggeris!

Kita menyokong murid belajar bahasa Inggeris, tetapi hendaklah diajar oleh guru yang mahir berbahasa Inggeris dalam kelas bahasa Inggeris.

Kita juga menyokong murid belajar sains dan matematik, tetapi hendaklah diajar oleh guru sains dan matematik, dan juga dalam bahasa yang difahami oleh murid (dan guru!) iaitu bahasa ibunda.

Namun, kita juga mengetahui, ada murid yang dapat memahami sains dan matematik melalui bahasa Inggeris, terutama sekali mereka yang sudah belajar berbahasa Inggeris di tadika dan di rumah. Dasar PPSMI ini sesuai untuk mereka. Itu satu persoalan lain.

Isnin, Februari 02, 2009

Februari datang, Januari berlalu pergi....

Pejam celik, pejam celik rupa-rupanya bulan Februari sudahpun menjelma. Baru sahaja rasanya Januari 2009 datang dan sekarang sudahpun berlalu pergi. Terlalu cepat masa berlalu dan sampai hari ini, apakah perkara baik yang telah kita berjaya laksanakan tahun ini? Adakah azam baru kita untuk membuat perkara yang baik-baik sahaja telahpun berjaya kita lunaskan.

Minggu lepas pelajar-pelajar prauniversiti sekolahku melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Gaza dengan menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM1000.00 daripada warga SMK Putra dan sedihnya, apabila seminggu berlalu kutipan hanya mencapai RM 250.00 sahaja dan dicampurkan dengan kutipan daripada guru menjadikan jumlah kutipan sebanyak RM 500. 70 sahaja. Terdetik juga di fikiranku, tidak adakah sedikit ruang simpati dan belas kasihan dalam jiwa murid-muridku ini. Yang hairannya mampu pula mereka membeli 'top-up', rokok, bedak dan lipstik tetapi berkira untuk menghulur sesen dua. Malang sungguh bagi orang Islam yang masih mampu diam membatu diri dan tersenyum menyaksikan penderitaan masyarakat Islam Gaza. Sekurang-kurangnya dengan menghulurkan derma seringgit dua kita telah berbuat sesuatu membantu sesama Islam. Untuk turut sama berperang, kita tidak mampu. Yang mampu kita buat di samping memberi sedikit sumbangan, memboikot mana yang patut terutama barangan Amerika, marilah kita sama-sama berdoa agar rakyat Palestin terus diberi kekuatan untuk berjuang dan mempertahankan tanah air mereka dan Israel segera dihukum dan dibinasakan.

Di bawah saya perturunkan surat dari Gaza untuk bacaan dan renungan bersama…. maaf ya Awang Rajuk, curi dari blog Awang ni!

Januari 2009:
Kepada saudara dan saudari seimanku, di sini aku ingin mengambil sedikit waktu untu mengirimkan pesan kepada kalian dari kami di Gaza. Tolong dengarkan dan perhatikan sitasi kami dan beritakan kepada siapa saja yang anda kenal dan tidak anda kenali. Keadaan kami sangat mengerikan tetapi insya-Allah keimanan kami masih kuat , Alhamdulillah.

Walaupun kami tidak mempunyai air untuk diminum, jikapun ada, ia sudah tercemar dan kami tidak mempunyai wang untuk membeli air lagi. Jika kami mempunyai wang dan ada orang yang menjualnya, namun keadaan begitu bahaya untuk kami keluar mendapatkannya. Kami tidak mempunyai bahan bakar sejak empat bulan kebelakangan ini. Kami memasak menggunakan api dari kayu bakar yang telah kami persiapkan sebelumnya.

Saudara-saudara kami kehilangan pekerjaan mereka. Mereka hanya menghabiskan sisa waktu mereka di rumah saja. Suamiku telah menghabiskan banyak waktunya hanya untuk keluar dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari air. Dan sering dia pulang hanya dengan tangan kosong.

Di sini tiada sekolah, tiada bank, dan hampir tidak ada rumah sakit yang dibuka. Dan kami harus terus berhati-hati dengan segala risiko kematian apabila kami pergi atau berada di luar rumah. Mereka (tentera Israel) hanya memberi kami waktu dari jam 1-4 petang. Kami dapat keluar, kata mereka , dalam keadaan selamat untuk mendapat bekalan persediaan kami, tetapi mereka BOHONG! Mereka hanya mahu menggunakan kesempatan tersebut untuk menambah daftar para Syuhada ke dalam senarai mereka.

Kami hanya makan sekali sehari nasi dan keesokannya roti. Daging dan susu merupakan makanan yang sangat mewah saat ini. Mereka menggunakan senjata kimia di setiap kawasan di perbatasan sehingga bekalan makanan tercemar oleh racun. Setelah semua ini… kami ingin menyatakan bahawa manusia seluruh dunia telah berdemonstrasi.. Masya-Allah… Pada kenyataannya kalian pergi ke setiap kedutaan besar dan meninggalkan rumah kalian, ini membuatkan kami merasa bahwa kami tidak sendiri dalam perjuangan ini. Tetapi pada malam hari kalian pulang ke rumah dan mengunci pintu rumah kalian. Kami tidak dapat melakukan itu! Aku telah meninggalkan rumahku dan tinggal bersama saudariku pada malam hari di rumahnya yang terletak di tingkat bawah. Jika terjadi serangan, kami harus cepat-sepat meninggalkan rumah tersebut. Betul, kami sangat penat! Apabila kami mendengar roket dan bom dan melihat pesawat terbang begitu dekat dengan rumah kami, aku dan anak-anakku yang masih kecil menjerit dan suami ku merasa tidak berdaya.

Dalam semua ini tiada yang dapat membantu tetapi Allah akan tetap menyelamatkan kami. Ummah ini bertanya, di manakah para tentera? di manakah pertolongan? Tolong jangan lupakan kami kerana hanya kalianlah yang kami punya sekarang. Bantuan-bantuan dari kalian tidak sampai kepada kami, dan apabila mereka membuka perbatasan, yang sampai hanya sedikit sekali. Teruslah bekerja untuk ALLAH dan berdoa agar pertolongan Allah akan turun tidak lama lagi..Insya-Allah…
Wassalam.
Saudari kalian, Umm Taqi


Catatan:
Kutipan Tabung Kemanusiaan Gaza yang terakhir hari ini diperoleh daripada Cikgu Jo dan Tuan Haji Mohamad Hamdan dengan pesanan, sampaikan sumbangan ini kepada wakil Hamas ya…. kalau boleh sumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan yang sesuai dan dipercayai sebab kutipan derma tu Insya-ALLAH diyakini akan terus diberikan kepada pemimpin Hamas. Kalau tabung kutipan anjuran pihak lain, kemungkinan besar akan diserahkan kepada Duta Palestine di Malaysia. Faham-faham sajalah, kata Cikgu Jo. Kira macam bagi kat Fatahlah tu.... Insya-Allah saya akan pastikan sumbangan kalian akan disalurkan melalui saluran yang sah kepada dua pemimpin Hamas iaitu Sami Abu Zuhri dan Dr. Abu Husam.

Jumaat, Januari 09, 2009

Selamat pagi Malaysia


Minggu kedua persekolahan. Aku mulakan dengan penuh rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk terus menghirup udara nyaman negeri tercinta ni. Hari yang indah ini bermula dengan rutin mingguan iaitu perhimpunan pagi. Melihat anak-anak muridku yang berbaju lusuh di depanku menyanyikan lagu Negaraku dan Selamat Sultan dengan tidak bersemangat dan lesu turut menjadikan semangat dan otak saya turut menjadi lesu dan layu. Teringat saya zaman persekolahan dahulu, lagu Negaraku dan Selamat Sultan pasti akan dinyanyikan dengan penuh semangat patriotik dan dengan rasa bangga kerana menjadi anak Malaysia. Kami akan berdiri dengan tegak dan begitu menghormati lagu kebangsaan. Saya melihat situasi sekarang cukup berbeza kerana murid-murid saya masih boleh berjalan dan bergurau-gurau semasa lagu kebangsaan dikumandangkan. Nampaknya sistem persekolahan kita masih gagal untuk membentuk semangat patriotik dan jati diri dalam kalangan pelajar. Beginilah jadinya apabila sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan menjadi pegangan menyebabkan pelajar menjadi jumud dan beku. Mereka datang ke sekolah semata-mata untuk lulus peperiksaan dan mendapat sijil. Pelajar cemerlang akademik disanjung dan ibu bapa mereka akan kembang hidung. Ibu bapa yang anak-anak mereka tidak cemerlang dalam peperiksan-peperiksaan awam menjadi sedih dan malu dan dianggap sebagai ibu bapa yang gagal. Pihak JPN dan PPD pula dengan bangganya menguar-uarkan bilangan pelajar yang mampu mendapat 5A dan 8A/9A sedangkan begitu ramai pelajar yang masih lagi gagal dan E dalam semua mata pelajaran tidak diendahkan. Entah bilalah situasi ini akan berlanjutan kerana yang menjadi mangsa ialah anak-anak kita, mereka cemerlang akademik tetapi gagal dalam ujian sahsiah, moral dan rohani.

Melihat semangat anak-anak di depan saya, terlintas juga di fikiran, bagaimana agaknya kalau peristiwa yang berlaku di Gaza juga berlaku di Malaysia. Nauzubillah.. Mampukah anak-anak kita tabah berani melawan sampai ke titisan darah terakhir tanpa menyerah; berhari-hari dan bertubi-tubi diserang dari atas udara, laut dan daratan, dan menyaksikan isteri , suami dan anak-anak kita putus kepala, kaki atau tangan sebagaimana yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam di Palestin? Bayangkanlah.... Sistem pendidikan kita mampukah menghasilkan warganegara berani menentang musuh, semangat juang yang degil serta gigih dan mampu survive dalam semua keadaan? Bersukurlah, dalam keadaan anak-anak di Gaza belajar dalam suasana perang dan peluru, kita di sini masih leka dan bersenang-lenang dan anak-anakku di depanku ini, anak-anak di desa pedalaman ini, semoga ada masa depan yang gemilang dan cemerlang menunggu. Kesenangan dan keselesan yang kita alami hari ini janganlah menjadikan kita leka kerana Tuhan akan menduga orang yang lalai, dan juga alpa kepada-Nya

Beberapa hari ini SMS teman-teman bertalu-talu masuk minta dibacakan Surah al-Ikhlas dan al-Fiil. Surah al-Fiil terkandung kisah serangan burung ababil terhadap tentera bergajah yang menyerang tanah Ka'abah. Dengan bantuan tentera Allah, iaitu burung-burung ababil yang membawa batu panas maka seluruh bala tentera kerajaan jahat itu hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. Kebesaran surah ini hingga boleh dijadikan doa dan perkara inilah yang dilakukan oleh sebahagian para sufi ketika zaman kerajaan Othmaniah menentang kristian di Turki. Doa yang diamalkan oleh pejuang Islam itu;
"Ya Allah, sebagaimana Engkau pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah musyrikin, maka kami memohon kepada-Mu, Ya Allah, turunkanlah bantuan-Mu kali ini kepada orang orang Islam. Hancurkanlah mereka yang menentang dan menghalalkan perang kepada agama-Mu. Amin."
Marilah kita sama-sama membaca surah Al-Fill sambil membayangkan kehancuran tentera Yahudi - dengan Izin Allah. Lipat gandakan doa ini, kemudian mintalah 7 orang rakan kita yang lain melakukannya juga . Maka 7 X 7 X 7 X 7 X 7 X 7 X 7 = 823453 orang akan berdoa, kemudian 823453 X 7 = 5.8 juta orang. Insya-Allah akan ikut berdoa berjuta-juta lagi ramainya umat Islam dan memberikan sokongan ikhlas terhadap perjuangan rakyat Palestin ini.

Semoga Allah terus memelihara mereka di sana dan mereka yang terkorban mati sebagai mati syahid. Segetir mana kita di sini tidak sama dengan apa yang mereka alami. Bersyukur dan moga kita terus berada dalam lindungan Ilahi.

Rabu, Disember 31, 2008

Salam Tahun Baharu Hijriah 1430 dan Selamat Tahun Baharu Masihi 2009

Tahun baharu 2009 Masihi akan menjengah beberapa detik lagi dan telah 3 hari tahun baharu 1430 Hijriah berlalu. Terlalu cepat rasanya masa berlalu dan usiapun juga semakin meningkat. 2008 ditinggalkan dengan pelbagai rencam perisitiwa, sedih, masam, manis terutama isu-isu yang berkaitan dengan bahasa dan pendidikan. Isu PPSMI yang tak sudah-sudah, isu yuran, keciciran pelajar, disiplin, komitmen guru, PIPP, PTK, perjawatan guru dan entah apa lagi yang bakal muncul pada tahun 2009 ini. Namun dalam kita membuat persediaan menyambut tahun baharu, janganlah kita lupa nasib saudara seagama kita iaitu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza berjumlah 1.5 juta orang yang menyambut tahun baharu hijrah dengan darah dan dan bermandi peluru... Mereka diasak dari segenap penjuru, bom dan peluru berpandu serta pelbagai sekatan dan penderitaan. Mereka mengalami kelaparan, kesakitan berpanjangan, pengangguran dan kesusahan yang tidak boleh digambarkan oleh masyarakat dunia khususnya di Malaysia

Dalam perjalanan pulang dari Shah Alam menghantar anakanda Huwaina 2 hari yang lalu, SMS teman-teman bertalu-talu menjengah mengingatkan saya agar tidak lupa membaca doa akhir tahun 1429H dan doa awal tahun 1430H. Rasanya sudah 2 tahun berturut-turut kami membaca doa-doa tersebut di Lebuh Raya Karak dan doa yang dibaca Awang Rajuk sentiasa menyebabkan hati menjadi sebak. Semoga tahun 1430H ini akan bermula dengan baik, berjalan dengan baik dan berakhir dengan baik. Semoga kami sekeluarga sentiasa berada di bawah payung rahmat dan hidayah daripada-Nya.

Hati menjadi rawan mengingatkan betapa Rasulullah S.A.W dan para sahabat bersusah-payah berkorban menyeberangi bahang padang pasir, meninggalkan Makkah menuju Madinah dan akhirnya menegakkan Daulah Islamiyah yang pertama, 1430 tahun yang lalu. Hari ini segala yang ditegakkan oleh Baginda kita biarkan begitu sahaja, darah umat yang dicintai Rasulullah S.A.W kita biarkan tertitis dan tertumpah ke bumi tanpa pembelaan, malah seolah-olah kita tidak berupaya melakukan apa-apa, cuma menjadi penonton yang bisu dan bacul.

Ketika rakyat Palestin sedang bermandi darah, sebahagian rakyat Malaysia berpesta sakan meraikan kedatangan tahun baru Masehi dengan pelbagai macam konsert dan pesta, menari dan minum-minum, berseronok seakan-akan dunia ini mereka yang punya. Mereka tidak mengenal erti persaudaraan Islam, tidak mengenal erti rasa prihatin dan cakna. Bagi mereka ini, dalam kepala mereka ialah-seronok, seronok, seronok dan jangan terkejut jika berita utama esok pagi.... PESTA SEKS DAN KONSERT ROCK MENCEMARKAN SAMBUTAN TAHUN BAHARU 2009 DI MALAYSIA!!!!!!!

Selamat mewarnai tahun 2009 dan meninggalkan 2008 dengan penuh rasa keinsafan.

Ahad, Disember 21, 2008

Selamatkanlah anak bangsaku di pedalaman ini....

Setiap kali membuka komputer dan melayari internet, sudah pasti blog Profesor Abdullah Hasan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI akan menjadi pilihan utama saya. Membaca posting beliau yang bertajuk "Cabul Sungguh Mulutmu, Tuan" benar-benar mencabar kesabaran saya sebagai seorang pendidik yang bertugas mengajarkan Bahasa Melayu di sebuah sekolah biasa di luar bandar.

.... lalu seorang pegawai Melayu Kementerian Pelajaran Malaysia berkata dengan menghina, lebih kurang begini “Orang luar bandar ini dalam bahasa Inggeriskah, Melayukah serupa sahaja!” Maksudnya ‘jangan diambil kira Melayu di luar bandar ini, mereka itu tidak penting. Biarkan mereka gagal.’ Untuk membaca petikan penuh, sila klik di sini.

Kata-kata di atas yang terhambur keluar dari mulut seorang pegawai KPM cukup membuatkan hati saya menjadi marah dan luka lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu bahasa, orang Melayu, dan tentang PPSMI. Hina sangatkah anak-anak Melayu di luar bandar sehingga dianggap demikian rupa oleh pegawai tersebut? Perkara seperti ini sering berlaku kepada kami guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah pedalaman. Pertengahan tahun ini misalnya, seorang pegawai di jabatan yang melawat ke sekolah saya tanpa rasa malu menudingkan jari ke arah guru Bahasa Inggeris di sekolah saya dan menyalahkan guru-guru tersebut kerana kegagalan pelajar-pelajar PMR sekolah saya yang begitu tinggi dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Kalaulah subjek Bahasa Inggeris sendiripun tidak boleh dikuasai oleh mereka, apatah pula dengan mata pelajaran Sains dan Matematik yang terpaksa diikuti oleh mereka dalam Bahasa Inggeris. Ini bukan bermakna saya bersetuju dengan pendapat pegawai KPM tersebut, tetapi kita semua sudah lama maklum tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar Melayu di luar bandar terutama di pantai timur sangat rendah. Kalau nak ditingkatkan penguasaam bahasa Inggeris, kenapa tidak diperkemas dan dipertingkat sahaja segala kelemahan yang terdapat dalam P&P bahasa Inggeris? Inilah yang kita namakan, lain yang sakit, lain pula yang diubati...

Saya melihat puak-puak PPD, JPN dan KPM sendiri sangat pilih kasih terhadap sekolah-sekolah di luar bandar. Dengan penubuhan sekolah-sekolah kluster, elit, premier, sekolah-sekolah luar bandar terus terpinggir sementelahan pula kelemahan mereka dalam bahasa Inggeris sudah diketahui seantero negara. Saya menyedari dan melihat sendiri kesulitan para guru di sekolah saya untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ditambah pula dengan prasarana dan kemudahan yang jauh ketinggalan berbanding dengan sekolah-sekolah mewah di ibu kota dan sekolah-sekolah elit dan kluster yang dilimpahi dengan pelbagai macam kemudahan. Dan, yang pastinya, setiap kali selesai peperiksaan maka akan mengeluhlah para guru Sains dan Metematik di sekolah saya kerana markah pelajar mereka lebih banyak yang merah daripada yang biru!!! Ya Allah, selamatkanlah anak-anakku di luar bandar ini"

Tentang PPSMI, setelah 5 kali bersidang mengenai nasib PPSMI, KPM merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, iaitu:
1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain. Berita Harian 17 Disember 2008).

Sudah pasti tuan-tuan dan puan-puan dapat menduga nombor berapa yang akan menjadi pilihan kerajaan. Rasanya tidak guna bermeja bulat, bujur dan beremapt persegi kalau keputusannya masih yang itu-itu juga. Namun, pilihan saya, Pilihan 8: Bagaimana kalau kita hapuskan sahaja PPSMI?

Ya Allah, selamatkanlah sistem pendidikan negara dan nasib bangsa dan bahasaku ini di negaraku nan tercinta ini!!!

Rabu, Disember 17, 2008

Buang bayi, kisah kasut terbang.....

Cuti persekolahan seperti ini seronok juga kerana saya mempunyai banyak masa untuk melakukan kegiatan masa lapang yang saya gemari, melayari internet, meladeni pokok-pokok bunga terutamanya orkid dan kaktus yang telah sekian lama terbiar dan menonton HBO bersama anak-anak. Minda saya tidak perlu memikirkan apa yang nak diajar esok, tidak perlu menyemak tugasan pelajar, menyediakan bahan pengajaran, tidak perlu untuk bangun seawal pagi, menyediakan sarapan untuk anak-anak dan bergegas ke sekolah dan melalui perjalanan ke sekolah yang cukup menjemukan.
Membelek helaian suratkhabar, berita-berita tentang kemalangan, bunuh sana bunuh sini, artis kahwin dan bercerai, buang bayi dan banyak lagi cukup membuatkan hati jadi resah. Belakangan ini, kes buang bayi makin berleluasa di mana-mana saja dan dan yang terbaru, seorang bayi dijumpai masih hidup yang dibuang di dalam lubang tandas awam di Pasar Basah, Lembah Keriang, Changlunn (gambar). Siapakah manusia yang tergamak melakukan perkara terkutuk ini? Melayukah dia? atau Cinakah? India atau Siam, tidak pula diketahui. Yang pasti, makhluk walau bergelar haiwan sekalipun tidak akan memperlakukan sedemikian rupa kepada anak kandungnya. Kes-kes seperti ini menggambarkan suatu petanda yang sangat membimbangkan terhadap keadaan sosial masyarakat kita hari ini. Adakah sistem pendidikan kita telah melahirkan suatu generasi manusia yang tiada lagi pertimbangan akhlak dan adab, yang sudah ridak punya sekelumit roh keimanan dalam jasad mereka?
Bayi yang tidak berdosa ini kebanyakannya adalah hasil daripada perhubungan luar nikah dilakukan pasangan muda. Tanpa rasa belas kasihan, ibu atau pasangan yang terbabit sanggup membuang bayi ke dalam tong sampah, semak, dan di tepi sungai untuk mengelakkan diri mereka dikesan. Ini antara yang dapat dikesan, bagaimana pula dengan sekian banyak bayi yang dibuang dan akhirnya menjadi mangsa gonggongan anjing liar, hanyut dan hilang di sungai-sungai, tertanam di dalam tanah atau di perbetungan?

Apabila perkara ini dibincangkan, masing-masing saling menyalahkan satu sama lain, ibu bapa, sekolah, masyarakat, kerajaan tanpa cuba mencari jalan penyelesaian. Institusi agama, pendidikan dan semua pihak yang terlibat dalam membentuk akhlak masyarakat (sama ada ibu bapa, sekolah, masjid dan lain-lain) perlu memainkan peranan masing-masing. Setiap hari pula kita dihidangkan dengan pelbagai macam maksiat dan perkara-perkara yang melalaikan terutama melalui televisyen, majalah, akhbar dan sebagainya. Apabila kita longgar dan lalai dalam aspek agama, kita terlalu mengejar kebendaan dan kejayaan dunia, tiada lagi pertimbangan dosa dan pahala, manusia menjadi individualistik, agama, nilai dan peradaban dicampak ke tepi maka inilah yang akan berlaku. Marilah kita sama-sama menginsafi perkara ini dan bersama berusaha membaiki dan mengambil langkah menyelesaikannya di mana sahaja kita ada kesempatan dan peluang untuk melakukannya.

Ini pula kisah sensasi dalam sehari dua ini, kisah baling kasut. Sebelah kasut pertama terbang di atas kepala Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq 14 Disember, dalam sidang media bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik. Wartawan Iraq, Muntazer Al-Zeidi membalingkan kasutnya kepada Presiden George W Bush pada sidang akhbar di Baghdad pada hari Ahad, lalu, sambil melaung dalam bahasa Arab: “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” Jerit Muntazer Al-Zeidi wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq yang berpangkalan di Kaherah, lalu membaling kasut yang dipakainya. “Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq”.
Bush berjaya mengelak kasut tersebut dengan menundukkan kepalanya dan kasut pertama mengenai bendera-bendera AS dan Iraq di belakang kedua-dua pemimpin, manakala kasut kedua tersasar. “.. saiz no 10” Katanya sambil bergurau, walaupun disahut oleh beberapa orang saja.. dan akhirnya Muntazer segera dihukum oleh pengawal keselamatan dan dibawa keluar dari bilik itu. (Anda boleh lihat juga dalam Youtube..)

Pada saya, tindakan wartawan tersebut terhasil secara spontan kesan daripada gelojak dalam emosi, dan emosi itu lahir dari rasa benci dan kesedihannya terhadap peristiwa dan tekanan yang berlaku di Iraq. Dia melihat rakyat di negaranya tak kira orang tua, wanita dan kanak-kanak mati di depan matanya dek kerana kezaliman tentera Amerika. Begitu jugalah lahirnya rasa dendam kesumat terhadapnya. Apa agaknya yang berlaku kepada wartawan tersebut. Mungkin dia sekarang teruk dibelasah di dalam penjara oleh US Secret Agents dan bakal dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan Iraq sendiri. Bagaimana agaknya kalau perkara seperti itu berlaku kepada pemimpin kita di Malaysia, sudah pasti wartawan tersebut kena ISA gamaknya...

Rabu, Disember 03, 2008

Musim tengkujuh, musim kahwin dan musim berkhatan...

Hujan lebat dan musim tengkujuh yang melanda daerahku ini sering menyebabkan aku bernostalgia mengingat zaman lampau yang cukup manis untuk selalu dikenang dan disebut. Musim banjir merupakan waktu yang sangat kami adik beradik nanti-nantikan. Aduhai sungguh indah zaman zaman kecilku di Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Besut. Hujan yang berhari-hari akan menyebabkan Sungai Jerteh akan melimpah dan menyebabkan jambatan Jerteh lama tenggelam dan jalan ke bandar Jerteh terputus. Seluruh kampungku tenggelam tetapi kami adik-beradik pula bersorak riang. Pelbagai rancangan telah diatur tanpa pengetahuan pa; menahan tauk, menjala ikan, mengail, menauk ikan darat dan sebagainya semuanya kami lakukan mengalahkan budak-budak lelaki. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh. Kadang-kadang apabila terfikir segala kenakalan kami waktu kecil ada banyak baiknya kerana mengajar kami adik-beradik menjadi kuat, sabar, tabah dan penuh jati diri. Pacat, lintah, luka dan darah kami tak takut. Ini cukup berbeza dengan anak-anakku, digigit semutpun, boleh menyebabkan mereka menangis berhari-hari.

Musim tengkujuh begini juga pasti ma akan merebus ubi kayu dan dimakan dengan kelapa muda parut dicampur gula bersama kopi O panas kegemaran pa. Kadang-kadang menu ubi kayu bakar cukup menyelerakan. Musim hujan begini ma pasti akan menanak pulut dan dimakan bersama ikan tambang kering yang dibakar dan baunya yang menusuk-nusuk hidung masih lagi kuingati.

Sesekali berkumpul pasti kami adik-beradik, ading Aming, adik Lah, adik Jam, adik Rah, adik Rabi akan bercerita tentang zaman kecil kami dulu dan kami adik-beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali cerita tersebut diulang. Sering kali cerita-cerita tersebut mengundang gelak dan ketawa kami sekeluarga. Sungguh indah mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan apabila terkenang kembali nostalgia itu.