Rabu, Disember 31, 2008

Salam Tahun Baharu Hijriah 1430 dan Selamat Tahun Baharu Masihi 2009

Tahun baharu 2009 Masihi akan menjengah beberapa detik lagi dan telah 3 hari tahun baharu 1430 Hijriah berlalu. Terlalu cepat rasanya masa berlalu dan usiapun juga semakin meningkat. 2008 ditinggalkan dengan pelbagai rencam perisitiwa, sedih, masam, manis terutama isu-isu yang berkaitan dengan bahasa dan pendidikan. Isu PPSMI yang tak sudah-sudah, isu yuran, keciciran pelajar, disiplin, komitmen guru, PIPP, PTK, perjawatan guru dan entah apa lagi yang bakal muncul pada tahun 2009 ini. Namun dalam kita membuat persediaan menyambut tahun baharu, janganlah kita lupa nasib saudara seagama kita iaitu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza berjumlah 1.5 juta orang yang menyambut tahun baharu hijrah dengan darah dan dan bermandi peluru... Mereka diasak dari segenap penjuru, bom dan peluru berpandu serta pelbagai sekatan dan penderitaan. Mereka mengalami kelaparan, kesakitan berpanjangan, pengangguran dan kesusahan yang tidak boleh digambarkan oleh masyarakat dunia khususnya di Malaysia

Dalam perjalanan pulang dari Shah Alam menghantar anakanda Huwaina 2 hari yang lalu, SMS teman-teman bertalu-talu menjengah mengingatkan saya agar tidak lupa membaca doa akhir tahun 1429H dan doa awal tahun 1430H. Rasanya sudah 2 tahun berturut-turut kami membaca doa-doa tersebut di Lebuh Raya Karak dan doa yang dibaca Awang Rajuk sentiasa menyebabkan hati menjadi sebak. Semoga tahun 1430H ini akan bermula dengan baik, berjalan dengan baik dan berakhir dengan baik. Semoga kami sekeluarga sentiasa berada di bawah payung rahmat dan hidayah daripada-Nya.

Hati menjadi rawan mengingatkan betapa Rasulullah S.A.W dan para sahabat bersusah-payah berkorban menyeberangi bahang padang pasir, meninggalkan Makkah menuju Madinah dan akhirnya menegakkan Daulah Islamiyah yang pertama, 1430 tahun yang lalu. Hari ini segala yang ditegakkan oleh Baginda kita biarkan begitu sahaja, darah umat yang dicintai Rasulullah S.A.W kita biarkan tertitis dan tertumpah ke bumi tanpa pembelaan, malah seolah-olah kita tidak berupaya melakukan apa-apa, cuma menjadi penonton yang bisu dan bacul.

Ketika rakyat Palestin sedang bermandi darah, sebahagian rakyat Malaysia berpesta sakan meraikan kedatangan tahun baru Masehi dengan pelbagai macam konsert dan pesta, menari dan minum-minum, berseronok seakan-akan dunia ini mereka yang punya. Mereka tidak mengenal erti persaudaraan Islam, tidak mengenal erti rasa prihatin dan cakna. Bagi mereka ini, dalam kepala mereka ialah-seronok, seronok, seronok dan jangan terkejut jika berita utama esok pagi.... PESTA SEKS DAN KONSERT ROCK MENCEMARKAN SAMBUTAN TAHUN BAHARU 2009 DI MALAYSIA!!!!!!!

Selamat mewarnai tahun 2009 dan meninggalkan 2008 dengan penuh rasa keinsafan.

Ahad, Disember 21, 2008

Selamatkanlah anak bangsaku di pedalaman ini....

Setiap kali membuka komputer dan melayari internet, sudah pasti blog Profesor Abdullah Hasan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI akan menjadi pilihan utama saya. Membaca posting beliau yang bertajuk "Cabul Sungguh Mulutmu, Tuan" benar-benar mencabar kesabaran saya sebagai seorang pendidik yang bertugas mengajarkan Bahasa Melayu di sebuah sekolah biasa di luar bandar.

.... lalu seorang pegawai Melayu Kementerian Pelajaran Malaysia berkata dengan menghina, lebih kurang begini “Orang luar bandar ini dalam bahasa Inggeriskah, Melayukah serupa sahaja!” Maksudnya ‘jangan diambil kira Melayu di luar bandar ini, mereka itu tidak penting. Biarkan mereka gagal.’ Untuk membaca petikan penuh, sila klik di sini.

Kata-kata di atas yang terhambur keluar dari mulut seorang pegawai KPM cukup membuatkan hati saya menjadi marah dan luka lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu bahasa, orang Melayu, dan tentang PPSMI. Hina sangatkah anak-anak Melayu di luar bandar sehingga dianggap demikian rupa oleh pegawai tersebut? Perkara seperti ini sering berlaku kepada kami guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah pedalaman. Pertengahan tahun ini misalnya, seorang pegawai di jabatan yang melawat ke sekolah saya tanpa rasa malu menudingkan jari ke arah guru Bahasa Inggeris di sekolah saya dan menyalahkan guru-guru tersebut kerana kegagalan pelajar-pelajar PMR sekolah saya yang begitu tinggi dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Kalaulah subjek Bahasa Inggeris sendiripun tidak boleh dikuasai oleh mereka, apatah pula dengan mata pelajaran Sains dan Matematik yang terpaksa diikuti oleh mereka dalam Bahasa Inggeris. Ini bukan bermakna saya bersetuju dengan pendapat pegawai KPM tersebut, tetapi kita semua sudah lama maklum tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar Melayu di luar bandar terutama di pantai timur sangat rendah. Kalau nak ditingkatkan penguasaam bahasa Inggeris, kenapa tidak diperkemas dan dipertingkat sahaja segala kelemahan yang terdapat dalam P&P bahasa Inggeris? Inilah yang kita namakan, lain yang sakit, lain pula yang diubati...

Saya melihat puak-puak PPD, JPN dan KPM sendiri sangat pilih kasih terhadap sekolah-sekolah di luar bandar. Dengan penubuhan sekolah-sekolah kluster, elit, premier, sekolah-sekolah luar bandar terus terpinggir sementelahan pula kelemahan mereka dalam bahasa Inggeris sudah diketahui seantero negara. Saya menyedari dan melihat sendiri kesulitan para guru di sekolah saya untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ditambah pula dengan prasarana dan kemudahan yang jauh ketinggalan berbanding dengan sekolah-sekolah mewah di ibu kota dan sekolah-sekolah elit dan kluster yang dilimpahi dengan pelbagai macam kemudahan. Dan, yang pastinya, setiap kali selesai peperiksaan maka akan mengeluhlah para guru Sains dan Metematik di sekolah saya kerana markah pelajar mereka lebih banyak yang merah daripada yang biru!!! Ya Allah, selamatkanlah anak-anakku di luar bandar ini"

Tentang PPSMI, setelah 5 kali bersidang mengenai nasib PPSMI, KPM merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, iaitu:
1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain. Berita Harian 17 Disember 2008).

Sudah pasti tuan-tuan dan puan-puan dapat menduga nombor berapa yang akan menjadi pilihan kerajaan. Rasanya tidak guna bermeja bulat, bujur dan beremapt persegi kalau keputusannya masih yang itu-itu juga. Namun, pilihan saya, Pilihan 8: Bagaimana kalau kita hapuskan sahaja PPSMI?

Ya Allah, selamatkanlah sistem pendidikan negara dan nasib bangsa dan bahasaku ini di negaraku nan tercinta ini!!!

Rabu, Disember 17, 2008

Buang bayi, kisah kasut terbang.....

Cuti persekolahan seperti ini seronok juga kerana saya mempunyai banyak masa untuk melakukan kegiatan masa lapang yang saya gemari, melayari internet, meladeni pokok-pokok bunga terutamanya orkid dan kaktus yang telah sekian lama terbiar dan menonton HBO bersama anak-anak. Minda saya tidak perlu memikirkan apa yang nak diajar esok, tidak perlu menyemak tugasan pelajar, menyediakan bahan pengajaran, tidak perlu untuk bangun seawal pagi, menyediakan sarapan untuk anak-anak dan bergegas ke sekolah dan melalui perjalanan ke sekolah yang cukup menjemukan.
Membelek helaian suratkhabar, berita-berita tentang kemalangan, bunuh sana bunuh sini, artis kahwin dan bercerai, buang bayi dan banyak lagi cukup membuatkan hati jadi resah. Belakangan ini, kes buang bayi makin berleluasa di mana-mana saja dan dan yang terbaru, seorang bayi dijumpai masih hidup yang dibuang di dalam lubang tandas awam di Pasar Basah, Lembah Keriang, Changlunn (gambar). Siapakah manusia yang tergamak melakukan perkara terkutuk ini? Melayukah dia? atau Cinakah? India atau Siam, tidak pula diketahui. Yang pasti, makhluk walau bergelar haiwan sekalipun tidak akan memperlakukan sedemikian rupa kepada anak kandungnya. Kes-kes seperti ini menggambarkan suatu petanda yang sangat membimbangkan terhadap keadaan sosial masyarakat kita hari ini. Adakah sistem pendidikan kita telah melahirkan suatu generasi manusia yang tiada lagi pertimbangan akhlak dan adab, yang sudah ridak punya sekelumit roh keimanan dalam jasad mereka?
Bayi yang tidak berdosa ini kebanyakannya adalah hasil daripada perhubungan luar nikah dilakukan pasangan muda. Tanpa rasa belas kasihan, ibu atau pasangan yang terbabit sanggup membuang bayi ke dalam tong sampah, semak, dan di tepi sungai untuk mengelakkan diri mereka dikesan. Ini antara yang dapat dikesan, bagaimana pula dengan sekian banyak bayi yang dibuang dan akhirnya menjadi mangsa gonggongan anjing liar, hanyut dan hilang di sungai-sungai, tertanam di dalam tanah atau di perbetungan?

Apabila perkara ini dibincangkan, masing-masing saling menyalahkan satu sama lain, ibu bapa, sekolah, masyarakat, kerajaan tanpa cuba mencari jalan penyelesaian. Institusi agama, pendidikan dan semua pihak yang terlibat dalam membentuk akhlak masyarakat (sama ada ibu bapa, sekolah, masjid dan lain-lain) perlu memainkan peranan masing-masing. Setiap hari pula kita dihidangkan dengan pelbagai macam maksiat dan perkara-perkara yang melalaikan terutama melalui televisyen, majalah, akhbar dan sebagainya. Apabila kita longgar dan lalai dalam aspek agama, kita terlalu mengejar kebendaan dan kejayaan dunia, tiada lagi pertimbangan dosa dan pahala, manusia menjadi individualistik, agama, nilai dan peradaban dicampak ke tepi maka inilah yang akan berlaku. Marilah kita sama-sama menginsafi perkara ini dan bersama berusaha membaiki dan mengambil langkah menyelesaikannya di mana sahaja kita ada kesempatan dan peluang untuk melakukannya.

Ini pula kisah sensasi dalam sehari dua ini, kisah baling kasut. Sebelah kasut pertama terbang di atas kepala Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq 14 Disember, dalam sidang media bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik. Wartawan Iraq, Muntazer Al-Zeidi membalingkan kasutnya kepada Presiden George W Bush pada sidang akhbar di Baghdad pada hari Ahad, lalu, sambil melaung dalam bahasa Arab: “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” Jerit Muntazer Al-Zeidi wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq yang berpangkalan di Kaherah, lalu membaling kasut yang dipakainya. “Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq”.
Bush berjaya mengelak kasut tersebut dengan menundukkan kepalanya dan kasut pertama mengenai bendera-bendera AS dan Iraq di belakang kedua-dua pemimpin, manakala kasut kedua tersasar. “.. saiz no 10” Katanya sambil bergurau, walaupun disahut oleh beberapa orang saja.. dan akhirnya Muntazer segera dihukum oleh pengawal keselamatan dan dibawa keluar dari bilik itu. (Anda boleh lihat juga dalam Youtube..)

Pada saya, tindakan wartawan tersebut terhasil secara spontan kesan daripada gelojak dalam emosi, dan emosi itu lahir dari rasa benci dan kesedihannya terhadap peristiwa dan tekanan yang berlaku di Iraq. Dia melihat rakyat di negaranya tak kira orang tua, wanita dan kanak-kanak mati di depan matanya dek kerana kezaliman tentera Amerika. Begitu jugalah lahirnya rasa dendam kesumat terhadapnya. Apa agaknya yang berlaku kepada wartawan tersebut. Mungkin dia sekarang teruk dibelasah di dalam penjara oleh US Secret Agents dan bakal dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan Iraq sendiri. Bagaimana agaknya kalau perkara seperti itu berlaku kepada pemimpin kita di Malaysia, sudah pasti wartawan tersebut kena ISA gamaknya...

Rabu, Disember 03, 2008

Musim tengkujuh, musim kahwin dan musim berkhatan...

Hujan lebat dan musim tengkujuh yang melanda daerahku ini sering menyebabkan aku bernostalgia mengingat zaman lampau yang cukup manis untuk selalu dikenang dan disebut. Musim banjir merupakan waktu yang sangat kami adik beradik nanti-nantikan. Aduhai sungguh indah zaman zaman kecilku di Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Besut. Hujan yang berhari-hari akan menyebabkan Sungai Jerteh akan melimpah dan menyebabkan jambatan Jerteh lama tenggelam dan jalan ke bandar Jerteh terputus. Seluruh kampungku tenggelam tetapi kami adik-beradik pula bersorak riang. Pelbagai rancangan telah diatur tanpa pengetahuan pa; menahan tauk, menjala ikan, mengail, menauk ikan darat dan sebagainya semuanya kami lakukan mengalahkan budak-budak lelaki. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh. Kadang-kadang apabila terfikir segala kenakalan kami waktu kecil ada banyak baiknya kerana mengajar kami adik-beradik menjadi kuat, sabar, tabah dan penuh jati diri. Pacat, lintah, luka dan darah kami tak takut. Ini cukup berbeza dengan anak-anakku, digigit semutpun, boleh menyebabkan mereka menangis berhari-hari.

Musim tengkujuh begini juga pasti ma akan merebus ubi kayu dan dimakan dengan kelapa muda parut dicampur gula bersama kopi O panas kegemaran pa. Kadang-kadang menu ubi kayu bakar cukup menyelerakan. Musim hujan begini ma pasti akan menanak pulut dan dimakan bersama ikan tambang kering yang dibakar dan baunya yang menusuk-nusuk hidung masih lagi kuingati.

Sesekali berkumpul pasti kami adik-beradik, ading Aming, adik Lah, adik Jam, adik Rah, adik Rabi akan bercerita tentang zaman kecil kami dulu dan kami adik-beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali cerita tersebut diulang. Sering kali cerita-cerita tersebut mengundang gelak dan ketawa kami sekeluarga. Sungguh indah mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan apabila terkenang kembali nostalgia itu.

Sabtu, November 29, 2008

Belasungkawa buat keluarga Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran.


PEMERGIAN tokoh pendidik yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, (1949-2008) ke rahmatullah di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Pahang secara mengejut kira-kira jam 6.30 petang semalam amat mengejutkan terutama bagi warga pendidik di Terengganu. Saya mula mengenalinya ketika beliau berkhidmat sebagai Pengarah Maktab Perguruan Kuala Terengganu dan kebetulan beliau antara kenalan arwah ayahanda saya. Ketika mengajar di SMK Kuala Besut pada tahun 2002, saya pernah ditugaskan untuk menjadi pengacara majlis pada Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah dan beliau pada ketika itu datang untuk merasmikan majlis tersebut. Selesai majlis, beliau mendekati saya dan berkata, "Sedap suara, boleh pinjam?". Kembang juga hidung apabila dipuji tuan pengarah. Itulah sahaja kenangan peribadi saya terhadap allahyarham kerana selepas itu saya hanya mendengar dari jauh tentang kehebatannya berpidato dan kepintaran bahasanya. Seingat saya, beliaulah satu-satunya pengarah pelajaran di Terengganu yang mampu berwacana dengan sempurna dan menggunakan sebutan bahasa Melayu baku yang baik.

Sesungguhnya, pemergian beliau suatu kehilangan kepada pendidikan negara yang masih teraba-raba mencari hala tuju dan berdepan dengan seribu satu macam masalah dan isu. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. Hidup itu memang, mati itu pasti.

Khamis, November 20, 2008

Meratap nasib bahasa dan bangsa yang lara di negara sendiri....

Musim tengkujuh yang melanda desa dan negeri tercinta sekarang ini menyebabkan hati kerap menjadi sedih dan lara. Hujan menyebabkan rumah burukku terkena tiris dan tempias kerana bumbungnya yang sudah bocor. Dalam seminggu dua ni banyak perkara yang mengejutkan berlaku dalam dunia pendidikan dan politik negara kita. Hari ini, di corong radio dan tayangan berita di dada televisyen juga catatan muka depan akhbar amat meresahkan jiwa saya. Cerita pemilihan dan perebutan kuasa dalam UMNO, keputusan UPSR, cerita nasib Bahasa Melayu dalam situasi pengajaran dan pembelajaran sistem pendidikan negara, nasib mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Sejarah masih belum selesai meski kita telah menikmati usia kemerdekaan 51 tahun. Hati bertambah rawan mengenang nasib bahasa yang makin terpinggir di negara sendiri dan isu PPSMI yang tak sudah-sudah.

Bagi meneruskan kelangsungan PPSMI, dengar cerita markah lulus UPSR untuk 3 subjek iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains hanyalah 20% sahaja. Apalah akan jadi kepada nasib anak-anak bangsaku ini. Angkara siapakah ini, bangsaku dan bahasaku hampir hancur lebur dan jadi cacamerba. Ke mana lap top dan wang rakyat berbilion ringgit semata-mata untuk PPSMI? Guru-guru masih mengajar menggunakan bahasa Melayu sedangkan mereka dibayar elaun untuk itu.

Sering sangat fikiran jahatku ini merasuk dan bertanya, apakah yang dikehendaki oleh para jemaah menteri dan pemimpin dan pembesar KPM? Di manakah kredibiliti mereka? Apa yang dibuat oleh mereka? Adakah setakat menghadiri mesyuarat sini dan sana, berseminar yang entah apa-apa tetapi hasilnya masih yang itu-itu juga. Bagaimanakah cara mereka berfikir? Isu bahasa dan budaya yang menjadi teras perlembagaan negara selama ini pun masih belum selesai. KPM kini berhadapan pula dengan isu sejarah bangsa. Masakan mereka tidak sedar akan sukatan dan nasib mata pelajaran Sejarah di sekolah hari ini? Apabila timbul isu kontrak sosial, makanya sukatan pelajaran itu terpaksa dinilai untuk dirombak semula. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Adakah sejarah yang dipelajari di sekolah hari ini itu satu sejarah yang tidak jujur atau dalam makna ilmiahnya ialah 'pemesongan sejarah' telah atau sedang berleluasa? Siapakah yang perlu dipersalahkan?

Saya teringat pada zaman saya bersekolah rendah dan menengah dahulu. Saya belajar mata pelajaran Tawarikh, Ilmu Alam, Sains Paduan, Ilmu Hisab dalam Bahasa Melayu. Saya tidak pernah menuntut lebih daripada itu sebab saya diberikan jati diri yang baik dan kental oleh guru saya ketika itu. Tetapi sistem pendidikan hari ini yang dibekalkan oleh guru-guru yang sekerat Melayu, sekerat Inggeris dan sekerat lagi buta budaya maka yang terlahir daripada sistem itu ialah generasi yang kosong dan hilang punca jati diri. Yang dilahirkan oleh guru-guru hari ini ialah generasi yang keliru kontrak sosial dan sejarah bangsa mereka, generasi mat rempit dan minah bohsia...

Sebagai guru bahasa, saya sering mengingatkan anak-anak murid saya bahawa mereka perlu belajar Bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia. Saya juga sering menyedarkan mereka bahawa mereka juga perlu belajar banyak bahasa, bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Jepun, Arab mahupun Tamil. Apabila saya mengajar mereka tentang sejarah dan asal usul bahasa, saya tegaskan bahawa bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa lingua franca sejak kurun ke-7 lagi dan menjadi wahana ilmu sejak kurun ke-13 lagi. Saya berjaya menimbulkan rasa bangga kepada mereka tentang keupayaan bahasa Melayu dan percaya bahawa bahasa Melayu sudah lama mampu menjadi bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa moden dan bahasa perpaduan. Bahasa Melayu telah diletakkan di tempat yang selamat dalam Perlembagaan dan bertaraf bahasa kebangsaan di negara ini. Apabila sesuatu bahasa itu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan tetapi bukanlah dalam situasi yang rasmi. Tetapi malangnya, ada pihak yang tanpa rasa bersalah mahu melanggar kedudukan bahasa Melayu dan cuba “memartabatkan” bahasa lain. Kepada siapa lagi kita mahu mengadu dan merayu?? Marilah kita segera mengubat kesilapan yang sedang membusung dalam perjalanan bangsa dan bahasa Melayu hari ini.

SEBAGAI CATATAN: ISU KONTRAK SOSIAL:
Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.

klik http://ms.wikipedia.org/wiki/Kontrak_sosial_(Malaysia)

Rabu, November 05, 2008

Musim menulis esei PTK datang lagi

Membaca esei-esei PTK yang ditulis teman-teman guru, aduhai, terasa bergemerlapan dan bercahaya sistem pendidikan kita. Dengan bertugas penuh dedikasi berasaskan Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam, dengan kepelbagaian teknik dan strategi P&P, memanfaatkan kemahiran TMK, melaksanakan program kokurikulum secara berkesan dan terancang, melaksanakan sistem penilaian dan pentaksiran yang sesuai... rasanya sistem pendidikan Malaysia ini sudah lama mencapai tahap bertaraf dunia mengalahkan sistem pendidikan di semua negara maju seperti Amerika Syarikat, UK dan Jepun. Alangkah indahnya jika apa yang ditulis dan apa yang dibincangkan di dalam esei-esei PTK tersebut direalisasikan di alam nyata. Rasanya, jika semua antara kita para guru mampu melaksanakan tugas mendidik anak-anak pelajar generasi masa depan negara dengan penuh komitmen dan tanggungjawab, hasrat untuk melahirkan modal insan cemerlang bukan lagi satu mimpi dan anganan semata. Semoga penulisan esei PTK tuan-tuan dan puan-puan bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi jauh daripada itu, memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah diri dan memandu kita dalam melaksanakan tugas ke arah yang lebih baik dan berkualiti.

Isnin, Oktober 27, 2008

Demam peperiksaan


Salam. Hari ini sudah 27 Syawal. Setelah meninggalkan Awang Rajuk selama 4 hari kerana berkhidmat untuk negara di Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek, Sepang, baru hari ini saya mempunyai ruang dan kesempatan untuk mengemaskinikan blog ni. Kalau dah namanya blog, diari digital, kalau tak di'up date'kan malu juga. Orang ada blog kita pun nak ada blog juga, orang kemaskinikan blog, kita pula tidak. Kononnya sibuk le saya ni seolah-olah sayalah orang paling sibuk di dunia ini mengalahkan PM pula. Sebenarnya saya tidaklah sibuk, penyibuk atau pura-pura sibuk tetapi ada urusan lain yang perlu kita dahulukan. Perkataan 'sibuk' hanya dimiliki oleh manusia-manusia yang tidak pandai menguruskan masa.

Tidak lama lagi pelajar-pelajar saya akan menduduki peperiksaan STPM dan SPM. Saya masih belum nampak suasana peperiksaan yang boleh menimbulkan "demam' dalam kalangan mereka. Rata-rata masih lagi hanyut dalam dunia fantasi dan urusan harian yang entah apa-apa. Harapnya dalam seminggu dua ini suasana demam telah mula menyelubungi mereka, tapi jangan sampai demam periksa menjadi demam campak atau demam denggi atau demam kura-kura pula.

Walau apapun, selamat menyediakan diri untuk peperiksaan. Bertindaklah sekarang kerana mungkin masih ada ruang dan luang untuk anda membaiki segala kelemahan. Pastikan anda boleh berjaya. Tapi mengertilah, seperti yang selalu diingatkan, ilmu bukan hanya peperiksaan tetapi lebih daripada itu adalah untuk kehidupan. Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Guru hanya menjadi penyampai sahaja. Sentiasalah bersyukur dan beringatlah supaya kita berada di landasan yang benar. Selamat menghadapi peperiksaan dunia yang akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Jadilah seperti padi yang kian berisi kian tunduk bukan lalang yang terus berdiri meski kosong tak berisi.
Salam.

Rabu, Oktober 01, 2008

Salam Aidilfitri 1429H

Salam Aidilfitri buat semua rakan dan taulan. Ampun dan maaf dipinta atas segala silap dan khilaf sama ada sengaja atau tak disengajakan terutama buat Awang Rajuk, ibunda tersayang, Hajah Hasmah Awang yang kini masih berada di bumi anbiya', Makkatul Mukarramah, adinda-adindaku yang disayangi, Jailami, Hamilah, Insijam, Nasirah, Rabihah, Muhammad Asruf, Nuraini, Muhammad Uzaini, Muhammad Auzan dan Abdul Muqit. Juga buat adinda-adinda iparku, Wan Abdullah, Termizi, Amirizal, Zainal Abidin, Zulkifli, Fazryna Azuriah, dan Jamiliza. Juga buat Kekanda iparku, Hajah Rafeah, Hajah Ruhana, Norizan, Normah dan Norehan. Juga buat adinda iparku Mohd Nasri dan Mohd Fauzi serta isteri dan anak-anak. Maaf.. maaf... sekiranya ada tutur kata dan tingkah yang tersilap. Terima kasih yang tak terhingga buat sahabat, rakan dan sahabat juga buat pelajar-pelajar dan bekas-bekas pelajar yang telah mengirimkan ucapan hari raya lewat SMS, kad raya, friendster, tagged, facebook dan myspace saya. Salam takzim daripada kami sekeluarga buat Encik Hashim Shahbudin, Pejabat Keselamatan Universiti Malaya yang tak pernah jemu melayangkan kad hari raya kepada kami saban tahun selama hampir 20 tahun. Ramadan 1429H berlalu pergi, pasti kami akan merindui Ramadan ini.

Isnin, September 22, 2008

Anakku Umar Abdul Aziz

Anakandaku Umar.. tahukah engkau bahawa namamu ini ibu dan abah namakan sempena nama Khalifah Ke-6 Bani Umaiyyah iaitu Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam, atau lebih dikenali sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Anakku Umar, keperibadiannya yang tinggi disukai ramai dan sangat warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab membuatkan ibu dan abah sangat menyanjungi ketokohannya lalu sepakat menamakan kamu dengan nama tokoh besar ini. Beliau telah menghafaz al-Quran sejak kecil lagi, merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan ramai lagi dan kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Terdapat banyak riwayat yang menceritakan keluhuran budi pekertinya, antaranya ialah :

1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : "Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan"

2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata : "Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu ialah Gabenor Madinah"

3) Umar bin Asid telah berkata :"Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :"Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu". Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya"

4)'Atha' telah berkata : "Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha' setiap malam. Mereka saling ingat memperingati antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah antara mereka."

Sebagai pemimpin, beliau amat mengambil berat tentang kebajikan rakyat miskin. Beliau telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan. Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah menggunakan air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat cermat dan berhati-hati atas alasan harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama. Sebelum Umar, perhatian negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material tanpa memberi penumpuan kepada pembangunan rohani dan keagamaan. Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika. Setelah selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tetapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum muslimin.

Khalifah Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak
agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.

Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mangubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.

Khalifah Umar juga amat menitikberatkan penghayatan agama dalam kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa'Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadis-hadis Rasulullah SAW.

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikiawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani kepada bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam ialah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah S.W.T dan keyakinan terhadap Hari Pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam sehingga ada orang menyatakan bahawa beliau ialah khalifah Islam yang ke-5 daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Tetapi kehendak Tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil menghadap Ilahi setelah 2 tahun 5 bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

BIODATA RINGKAS KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ:

Nama : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu : Laila binti 'Asim bin Umar bin Al-Khatab
T/Lahir : 61 Hijriah
Umur : 39 tahun
Tarikh M/Dunia : 101 Hijriah
Jawatan : Khalifah Ke-6 Bani Umaiyyah

BIODATA UMAR ABDUL AZIZ

Nama : Umar Abdul Aziz bin Mohammad Affandi bin Abdul Rahman
Nama Ibu : Fariza Nurbaya binti Muhammad bin Abdullah
T/Lahir : 22 Ogos 1990
Bersamaan: 30 Muharam 1411 Hijriah (Hari Rabu)
Umur : 18 tahun
Profesion : Pelajar Prauniversiti

Anakku Umar Abdul Aziz, walaupun peribadimu mungkin tidak seluhur peribadi Khalifah Umar Abdul Aziz, moga engkau tetap akan menjadi anak yang baik dan taat kepada suruhan-Nya. Moga keperibadian unggul Khalifah Umar Abdul Aziz ini akan menjadi panduan, model ikutan dan teladan kepada anakku, UMAR ABDUL AZIZ BIN MOHAMMAD AFFANDI... anakku nan tersayang..

Sabtu, September 20, 2008

Malam Lailatul Qadar dan PTK

Dalam mengharungi hari-hari terakhir Ramadan dan merebut malam Lailatul Qadar, ada sesetengah daripada kita yang mula pening memikirkan kursus PTK yang bakal mereka hadiri dan penulisan tugasan khas PTK ulangan yang perlu dihantar selepas Aidilfitri nanti. Maka bermulalah era Pening, seakan-akan mahu pengsan, Tidak Keruan, tension, tertekan, kacau, keluh-kesah, kelam-kabut dan pelbagai P, T dan K lagi.

Hari ini, ramai rakan guru kita telah menerima keputusan kursus PTK DG44 Kohot 6 dan 7 tahun 2008. Ada yang melompat-lompat kegembiraan apabila mendapati mereka lulus dengan Aras Cemerlang (IV). Ada yang sugul apabila menerima keputusan yang menghampakan dan tersasar daripada impian mereka. Bersyukurlah jika mendapat Aras III kerana sekurang-kurangnya telah melayakkan diri anda untuk naik ke gred jawatan yang lebih tinggi. Semoga dengan keputusan yang diperolehi tidak akan menjejaskan kerja buat kita sebagai guru dan kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang, semoga akan bertambahlah semangat untuk bekerja lebih gigih dalam mendidik anak bangsa kita.

Sebagai panduan untuk menghilangkan segala panik, tension dan kerungsingan, saya perturunkan beberapa panduan asas bagi menangani masalah penulisan tugasan khas PTK terutama bagi guru-guru yang akan menghadapi kursus PTK DG44 dan Ulangan PTK Bil 2/2008. Kita telah sedia maklum bahawa antara komponen yang dinilai untuk tahap kompetensi guru-guru pada tahap TK3 dan TK4 ialah Kertas Tugasan Khas (Esei 20 muka surat), Persembahan Individu, Pengucapan Awam dalam Bahasa Inggeris, Persembahan Berkumpulan, dan Ujian Akhir Kursus. Markah untuk setiap satu komponen ialah 100 markah tetapi mempunyai skor atau wajaran yang berbeza.

Bagi penulisan tugasan khas, tuan-tuan dan puan-puan diperuntukkan masa selama 1 bulan untuk menyiapkan esei sepanjang 18 hingga 20 muka surat. Sediakan jadual kerja yang perlu dilaksanakan supaya tuan-tuan dan puan-puan tidak bekerja secara ’last minutes’. Mulakan dengan memilih tajuk esei yang sesuai dan pilihlah tajuk yang berkait rapat dengan bidang tugas tuan-tuan dan puan-puan. Biasanya Soalan 1 berkisar tentang Nilai dan Etika Perkidmatan Awam yang perlu dikaitkan dengan tugas seharian tuan-tuan dan puan-puan sama ada dalam bidang pengurusan dan pentadbiran atau pengajaran dan pembelajaran. Setelah tajuk yang sesuai dipilih, rangka isi esei supaya tidak lari daripada kehendak soalan.

Ringkasan Eksekutif (lebih kurang sinopsis) mestilah ditulis dalam satu halaman diikuti oleh pendahuluan. Ringkasan eksekutif ialah gambaran awal perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam esei. Selepas pendahuluan, jangan lupa membuat interpretasi frasa dan konsep-konsep penting yang terdapat dalam soalan. Untuk bahagian pendahuluan dan tafsiran frasa, seelok-eloknya ditulis tidak lebih 3 halaman.

Untuk bahagian ISI pula, anda digalakkan untuk menulis 6 isi kerana biasanya 5 isi terbaik akan diambil kira. Satu isi sebaik-baiknya dihuraikan dalam 3 halaman yang merangkumi fakta, huraian/ analisis/ contoh dan kesimpulan kecil. Huraian dan contoh mestilah berkisar dengan perkara yang telah anda laksanakan dalam organisasi. Kesimpulan kecil ialah rumusan atau penegasan terhadap isi yang telah dibincangkan. Pada bahagian akhir, jangan lupa Rumusan Keseluruhan daripada apa yang telah dibincangkan. Di sini tuan-tuan dan puan dikehendaki membuat 'extrapolation" iaitu mengaitkan atau melanjutkan isi-isi yang telah dikemukakan dengan jangkaan-jangkaan masa depan dunia pendidikan kita, contohnya dengan menyimpulkan isi-isi tersebut dengan harapan untuk mewujudkan sitem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, atau untuk mencapai Wawasan 2020, mencapai matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya.

Beberapa panduan menulis ISI bagi TK3 DG44:

1.Gaya penulisan dan pengolahan analisis setiap isi mesti mengikut format aplikasi.
2.Huraian bagi setiap fakta atau langkah yang diberi mestilah berdasarkan pengalaman tugas.
3.Ganti nama ’saya’ perlu digunakan sentiasa untuk menjelaskan setiap perkara
4.Setiap huraian analisis isi mesti menggambarkan perkara yang telah berlaku atau yang telah dilaksanakan, bukan yang belum berlaku atau belum dilaksanakan. Contohnya:
-saya telah merancang dan melaksanakan...
-saya telah menggerakkan ahli pasukan...
-saya telah menggubal pelan tindakan...
-saya dan guru-guru di sekolah saya/ institusi saya telah melaksanakan...

5.Pastikan kesimpulan kecil ditulis bagi setiap isi. Kesimpulan kecil seharusnya ditulis dalam satu perenggan (6-7 ayat) dan pengakhiran bagi setiap kesimpulan kecil perlu dikaitkan dengan kehendak soalan.
6. Jangan lupa membuat rumusan keseluruhan pada bahagian akhir esei. Pastikan anda membuat rumusan dalam satu halaman.
7. Senarai bibliografi janganlah lebih satu halaman.

Anda tidak perlu memasukkan lampiran-lampiran dan gambar-gambar yang tidak berkaitan kerana perbuatan ini hanya akan menyebabkan bilangan muka surat esei anda akan lebih daripada bilangan yang telah ditetapkan. SELAMAT MENULIS ESEI!

Lailatul Qadar

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: 'Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir pada bulan Ramadan"

Perkataan 'Lailatulqadar' tidak boleh dipisahkan dengan bulan Ramadan. Setiap kali tibanya bulan Ramadan pastinya semua umat Islam ternanti-nanti dan berharap akan dapat menemui malam tersebut yang hanya muncul sekali sahaja dalam setahun pada bulan yang mulia ini, datu malam yang cukup istimewa sehingga Allah menjanjikan ganjaran pahala yang begitu tinggi, menyamai ibadah beriktikaf selama 1000 bulan atau 83 tahun bagi orang yang beramal pada malam tersebut.

Walaupun Allah tidak memberitahu secara tepat bila malam tersebut akan muncul, namun sebagai umat Islam kita seharusnya berusaha untuk merebut peluang keemasan itu setiap malam. Paling tidak pada bulan Ramadan kita penuhi dengan aktiviti-aktiviti ibadah terutamanya pada waktu malam. Tentu tidak rugi jika kita beramal pada malam itu sekali pun kita bukan orang yang terpilih menemui malam Lailatulqadar kerana kita tetap akan mendapat ganjaran pahala yang tidak kurang hebatnya berbanding dengan hari-hari biasa.

Sebenarnya, kedatangan malam Lailatulqadar bukan perkara mudah untuk kita mendapatkannya. Semuanya bergantung kepada rezeki dan keikhlasan seseorang itu ketika mereka melakukan ibadah. Hanya orang yang terpilih sahaja diberi kesempatan oleh Allah menemui malam tersebut yang sekali gus akan memperolehi ganjarannya.
Persoalannya bagaimana kita hendak mengenali malam tersebut. Apakah ada tanda-tanda atau ciri-cirinya. Menurut Hasan al-Basri, antara tanda-tanda turunnya malam Lailatulqadar ialah suasana malam alam pada malam itu tenang, damai, tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin. Cahaya matahari keesokan harinya tidak terik.
Rasulullah s.a.w. sangat menggalakkan umatnya supaya berusaha mencari peluang untuk beriktikaf pada malam Lailatulqadar. Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Carilah malam Lailatulqadar pada bilangan ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadan". (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

ALLAH Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran Malam Al-Qadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut): Sejahtera malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!".

Malam Al-Qadar ialah satu malam yang sangat tinggi nilainya antara malam-malam yang utama dalam Islam, malam yang penuh dengan keberkataan. Satu malam pada malam Al-Qadar lebih utama nilainya daripada seribu bulan. Andainya kita beramal pada malam tersebut dan berkebetulan malam Al-Qadar maka pahalanya akan dilipatkaligandakan seolah-olah kita beramal selama seribu bulan iaitu kira-kira 83 tahun 4 bulan bahkan lebih lagi daripada itu. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Qadar ayat 3 yang bermaksud, "Malam Al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan."

Pada malam Al-Qadar malaikat akan turun ke dunia untuk memberikan penghormatan kepada orang-orang yang berpuasa dan menyaksikan amal ibadat mereka. Dari Anas Radiallahuanhu, Rasulullah S. A. W bersabda yang bermaksud: "Pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar) maka turunlah Jibril a. s ke dunia dengan sekumpulan malaikat, lalu berdoa memohon rahmat ke atas setiap hamba Allah yang mereka lihat sedang beribadat berdiri atau duduk sambil berzikir kepada Allah." (Riwayat Imam Al-Baihaqi). Bagi mereka yang melakukan ibadat bersungguh-sungguh pada malam Ramadan, mereka telah dijanjikan dengan rahmat dari Allah Subhanahu Wataala.

Dalam sebuah hadis ada menyebutkan doa yang baik jika kita mendapati malam Al-Qadar itu. Pada satu malam dalam bulan Ramadan, Aisyah isteri Rasulullah S.A.W bertanya kepada baginda "Wahai Rasulullah, andainya aku ditakdirkan bertemu malam Al-Qadar, apa yang seharusnya aku ucapkan dalam doaku? Rasulullah S. A. W bersabda, "Ucapkanlah: "Ya Allah, Sesungguhnya Engkau maha pemaaf dan Engkau juga menyukai kemaafan, maka berikanlah kemaafan ke atasku."

Doa ini merangkumi segala-galanya, iaitu seseorang itu memohon kepada Allah agar menerusi rahmat-Nya mengampuni dosa-dosanya dan juga kesalahan yang telah dilakukannya.

Menurut pendapat yang sahih, malam atau masa lailatulqadar itu adalah antara malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi yang bermaksud:
"Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan."

Dalam mencari malam Al-Qadar yang tidak kita ketahui secara tepat bilakah berlakunya, kita digalakkan untuk melakukan ibadat dengan lebih tekun lagi terutamanya pada malam-malam terakhir bulan Ramadan dengan mendirikan ibadah-ibadah malam, melakukan pelbagai solat sunat, tadarus, berzikir, berdoa dan sebagainya.
Sepertimana menurut Imam Al-fakh Ar-Razi mengatakan adapun antara sebab Allah merahsiakan malam Al-Qadar itu bertujuan supaya umat-Nya akan terus beribadah bukan sahaja pada waktu-waktu yang tertentu. Janganlah dibiarkan malam berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk merebut peluang yang telah disediakan oleh Allah S.W.T yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.

Khamis, September 04, 2008

Apabila ajal tiba...Sajak Kematian Untuk Semua Yang Masih Hidup

Sakaratul maut.. maut.. maut.. maut.. maut..!

Di hari itu seorang OB rebah di kamar mandi
Diserang lemah jantungnya
Yang menggugat nyawanya
Tengah malam
Pulang dari sebuah hotel di KL
Bersama puan mudanya
Bersama mulut dan lidahnya
Yang dinajisi alkohol
Dan banglonya di atas bukit

Tuan muda menelofon doktor peribadi OB
Dan doktor berkejaran bersama beg perubatannya
Dan sebatang jarum injeksen
Dibenamkan ke urat OB

Dan berombak-ombaklah nafasnya
Bergelombang dadanya
Dilambung nazak
Hempas-menghempas

Tujuh hari tujuh malam
OB bergeletekkan
Golek gelentang di pembaringan
Dan suluruh dunia dan isinya berkumpul di dalam kepalanya

Bangloku, Mercedesku, wangku dalam bank Bumi
Saham-sahamku di syarikat-syarikat
Rumah-rumah sewaku
Pengarah-pengarah
Kuda-kudaku di padang Gombak
Padang golfku
Anak-anakku di luar negeri
Dan isteri mudaku

Nazak hempas-menghempas
Pulas-memulas
Dan pintal-memintal

Makan? Geleng kepala
Minum? Geleng kepala
Arak? Geleng kepala
Isteri muda? Geleng kepala
Mau ke padang lumba kuda? Geleng kepala
Mau pergi ke Genting Highland? Geleng kepala
Melancong ke Eropah? Geleng kepala
Ke mekah naik haji? Geleng kepala

Apa yang kau mahu?!

Oh Tuhan..
Panjangkan umurku..

Panjang umur?
Berapa tahun engkau mahu?
100 tahun? Cukup?
Ya 100 tahun

63 tahun tidak cukup?
Tak puas hidup?
Tidak kenyang makan maksiat
Belum bosan mengumpul dosa
Kau mahu panjang umur lagi

Sedetik lagi sakaratul maut datang
Sedetik lagi Izrail datang
Sedetik lagi malaikatul maut datang
Kau diambang sakaratul maut
Kau nazak sekarang wahai OB

Aku makin tegang
Dan makin sendat nafas di dada
Kedinginan mulai memanjang
Dan merayap kaki
Perlahan-lahan menjalar ke seluruh jasad dan.. tubuhku

Aku dilambung resah, gelisah, keluh kesah
Keluhan dan rintihan..

Panas!!!!!!! !!
Dahaga!!!!!! !
Haus!!!!
Panassss!!!! !!!!

Air 7 lautan mau diteguk
Sebesar 7 dunia kelaparan merobek usus-usus
Syaitan-syaitan datang berbondong-bondong
Menginjak-injak aku
Menggudah aku
Mau memurtadkan aku

Nenekku datang.. nenek!

Kau dahaga cucu?
Kau lapar cucu?
Mau air?
Ini bijana penuh air madu
Kalau cucu mau masuk syurga
Minum air ini

Ibu!!!!!!!!! !

Ibuku menggoyangkan buah susunya
Ini ibumu
Air susu ini membesarkan kau, nak
Buangkan Islam
Matilah dalam agama Yahudi

Ayah!!!!!!!! !!!!

Kau datang ayah?
Matilah dalam agama Yahudi wahai anakku
Matilah dalam agama Kristian
Itulah agama yang membawa kaumasuk ke syurga katanya

Ucaplah!
Laaaaaaaaaaaaaaaaaa ilaaaaaaaaaaahai llallaaaaaaaah!
Tidak! Tidak! Tidaaaaaaaaaaaaaaaa k!

Ucaplah!
Laaaaaaaaaaaaaaaaaa ilaaaaaaaaaaahai llallaaaaaaaah!
Tidak! Tidak! Tidaaaaaaaaaaaaaaaa aaaaaaaaak!

Rumahku
Mercedesku
Wangku dalam bank
Saham-sahamku
Kuda-kudaku
Kolam mandiku
Padang golfku
Isteri-isteriku
Dan duniaku!

Sakaratul maut pun datang
Pak lebai dari rumah setinggan
Dipanggil oleh pemandu dengan Mercedes
Dan memanjat bukit ke bangloku di puncak desir angin
Tapi lidahku telah kelu
Dan sakaratul maut kian detik tiba

Manusia-manusia berjubah hitam datang
Mari ikut kami!

Manusia-manusia berjubah hijau datang membawa payung hijau
Katanya..
Mari ikut kami!

Cahaya putih datang
Datang sinar kuning
Datang kiratan hitam
Cahaya merah datang

Apa ini?!
Apa ini?!

Aku sakaaaaaratul mauuuuuuuuuuuuuuuuu uuuuut!

Kedinginan menjalar merayap perlahan-lahan
Dari hujung kaki ke hujung rambut
Dan kini seluruh jasadku diseliputi sejuk
Dan dingin singgah ditengkorokkan

Kemudian datanglah malaikatul maut di hujung kepalaku

Hai!!! Jiwa yang keji!
Keluarlah kepada kemurkaan Allah!

Rohku berselerak ke seluruh tubuhku
lalu..

Inna lillahi wainna ilaihi rajiuuuuunn

Malaikat-malaikat yang menunggu sesayup mata memandang
Dan menghemburlah bau bangkai sebusuk-busuknya

Tuliskan! Suratannya dalam sektor pada bumi yang terbawah

Roh aku dicampakkan
Dikembalikan ke dalam jasad
Lalu datang dua orang malaikat
Dan didudukinya aku

Siapa Tuhanmu!
Hah hah hah aku tidak tahu!!!!!!!! !

Apa engkau mahu?!
Hah hah hah aku tidak tahu!!!!!!!!

Siapa lelaki ini yang diutus kepadamu?!
Ah ah ah aku tidak tahu!!!!!!!!

Datanglah kepadaku seorang lelaki yang hodoh wajahnya
Buruk pakaiannya
Busuk baunya

Siapa engkau?

Akulah amalanmu yang kejiiii…

Kini aku diazab dan disiksa di dalam kubur
Menunggu..
Menunggu doa anak yang soleh

Mana doa anakku seorang peguam?
Mana doa anakku seorang doktor?
Mana doa anakku seorang jurutera?
Mana doa anakku seorang arkitek?
Manaaaa doa anakku seorang profesor?

Manaaaa?!
Manaaaaaaaaaaaa? !
Manaaaaaaaaaaaaaaaa aaaaaaaaaaaaaaaa aaaaaaaa? !

Rabu, September 03, 2008

Isu Bahasa dan PPSMI

Dari Shamsuddin Othman, UPM.

Salam Ramadhan kepada seluruh warga KPM,
Saya teruja untuk melontarkan sedikit pandangan meskipun pahit untuk ditelan. Izinkan saya bercakap kembali soal bahasa Melayu kerana beberapa hari ini, isu tentang bahasa Melayu khususnya tentang program PPSMI mula dibincangkan di meja bulat KPM. Malah isu ini turut terbawa-bawa ke meja di rumah saya juga ke meja warung kopi.

Saya hanya cuba menimbulkan beberapa pandangan sahaja dan tidak semestinya pandangan saya itu perlu dijawab. Atau, sekiranya jawapan itu telah sedia ada, makanya perkiraan saya ini boleh dibuang atau dilupakan sahaja.

i.
Mencari kesudahan ataupun keputusan yang dilakukan oleh kerajaan tidak semudah memetik jari. Hal ini kerana sekirannya jawapan yang diberikan tidak berpihak kepada mereka, makanya mereka akan berasa kehilangan maruah. Mereka menafikan hak patriotisme, akar jati diri dan konsep sebuah tamadun bangsa. Kerana 'maruah mereka', perasan rasa untuk memohon maaf tidak pernah terlintas dalam kotak fikir mereka meski mereka telah melakukan dosa yang amat besar kepada bangsa sendiri. Kajian para sarjana, budayawan dan sasterawan tempatan seakan tidak didengari. Lontaran idea mereka dikatakan berbahu hasutan. Adalah malang sekali, apabila orang yang memperjuangkan nasib bahasa Melayu itu dikatakan tidak mempunyai dan memahami konsep perpaduan nasional. Pejuang ini dikatakan juga tidak memiliki intergriti malah lebih teruk lagi apabila dikatakan ketinggalan zaman atau kolot. Siapakah yang tidak patriotisme sebenarnya?

ii.
Kejumudan percaya kepada bahasa Inggeris yang keterlaluan menyebabkan wujudnya pemikiran yang kolot. Para juak ini tidak pernah melihat sejarah bangsa Jepun, Perancis, Jerman, Korea, Sepanyol, China dan Arab. Jika mereka melihat pun sekadar memandang dengan mata kasar, bukannya dengan mata hati atau kalbu atau juga fikiran. Justeru diikat oleh momokan bangsa Inggeris yang keterlaluan, mereka memikirkan adalah malang jika rakyat negara ini menolaknya.

iii.
Pertanyaan saya sebelum ini masih belum terjawab atau tiada jawapan daripada pihak KPM; persoalan saya ialah; APAKAH YANG SEDANG MELANDA KELEMAHAN P&P BI HARI INI? TEKNIK, PEMAHAMAN, TEORI, KONSEP, KOMUNIKASI ATAU APA?
Jawapan yang perlu dicari ialah menyelesaikan kepada pengertian istilah-istilah itu. Bukannya untuk mencari jawapan terbaik daripada permasalahan itu, lalu semua sistem yang sedia ada itu dimusnahkan.

iii.
Adakah sistem pendidikan negara pada era 60-an hingga 80-an itu gagal? Jika gagal kenapa tidak pernah dijelaskan kepada umum sedangkan kita semua tahu bahawa sistem pendidikan pada era itulah yang dapat melahirkan ribuan saintis juga bijak pandai dalam pelbagai bidang. Penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), MRSM dan lain-lainnya itu bukankah telah berjaya melahirkan ramai bijak pandai Melayu Islam.

Inilah yang dikatakan kerana marahkan seekor nyamuk habis kelambu dibakar.

Kita sebenarnya tidak berjiwa merdeka. Kerana itulah kita lebih sanggup menjadi bangsa yang mengikut. Kita selesa menjadi bangsa yang menumpang dan mengampu. Oleh itu, dalam bulan yang serba mulia ini, saya ingin mengingatkan diri saya bahawa perjuangan mendaulatkan bahasa sebenarnya telah sedia ada dan termaktub dalam akta Perlembagaan 152 juga dalam seluruh prinsip kerja 'Akta Pelajaran'. Jika kita sendiri yang tidak menghormati prinsip kerja itu, apatah lagi bangsa lain yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap bahasa Melayu. Tentunya, dengan sikap yang tidak patriotisme ini kita akan berhadapan dengan agenda lain yang mengelirukan. Oleh itu, sama-samalah kita menjernihkan kembali cara berfikir dan bebrtindak kita supaya yang kejar akan dapat dan yang sedang dikendong ini tidak keciciran.

Selamat mengimarahkan ramadhan al-mubarak. Moga amalan kita diterima oleh Allah SWT.
Amin.

Isnin, September 01, 2008

Kerana nama...

Pemikiran yang Hebat - Suka bercakap tentang idea
Pemikiran yang sederhana - Suka bercakap tentang peristiwa
Pemikiran yang lemah - Suka bercakap tentang orang lain
Pemikiran yang sempit - Suka bercakap tentang diri mereka/ diri sendiri

Saya bukan ingin bercakap tentang pemikiran, tetapi ingin memperkatakan sesuatu yang simple dan santai sahaja iaitu perihal nama. Nama yang saya maksudkan di sini bukanlah nama tempat atau nama yang melambangkan kemasyhuran tetapi nama panggilan manusia yang tertera pada kad pengenalan kita.

Kita mengenal seseorang melalui nama mereka. Ada nama-nama yang biasa dan lazim yang dipilih orang seperti Abdullah, Muhammad, Kasim, Yusof, Daud, Awang, Kalsom, Fatimah, Salmah, Hasmah, dan Maimunah. Namun begitu, nama-nama Islam dan membawa makna yang baik akan menjadi pilihan utama. Menurut sebuah hadis dari Rasulullah SAW, nama yang baik diberikan kepada anak-anak dari kaum muslimin ialah nama para nabi. Yang lebih afdhal (utama) dan disukai oleh Allah SWT ialah Abdullah dan Abdur Rahman. Nama yang paling tepat ialah Harith dan Hammam. Nama yang paling buruk pula ialah Harb (perang) dan Murrah (pahit). Oleh itu, menjadi kewajipan bagi ibu bapa untuk memberikan nama yang baik kepada anak-anaknya. Pada dasarnya, memberikan nama yang baik kepada anak-anak bukanlah wajib hukumnya. Namun, jika ditinjau dari segi kesan dan akibat yang timbul daripadanya, maka hukumnya akan beralih menjadi wajib secara sendirinya. Pilihlah nama yang dianjurkan oleh Islam atau sekurang-kurangnya nama yang membawa maksud yang baik.

Di sekeliling kita, terdapat banyak nama yang unik dan jarang didengar. Seingat saya, semasa di sekolah rendah dahulu ada rakan-rakan yang bernama Bulat dan Pek. Mengikut cerita adinda Jay, ada rakannya yang bernama Yumi Jubageli (cerita ini telah diceritakannya kepadaku 30 tahun yang lalu tapi masih kekal dalam ingatan... harapnya cerita ini benar, bukan rekaannya semata-mata). Ada rakan-rakan saya dahulu ayah mereka lebih gemar menamakan anak mereka dengan nama bintang filem pada masa itu seperti Latifah, Norkumalasari, Saadiah dan Normadiah. Kerana polis tersilap tulis dan pengaruh dialek, nama Zaitun boleh berubah menjadi Zaitong, atau Razali menjadi Razalaik. Ada juga teman-teman yang memiliki nama perempuan sedangkan mereka lelaki, contohnya Rohani, Fariza dan Norizan.

Sebagai guru, biasanya pelajar yang mempunyai nama yang unik akan lebih mudah diingati. Kadang-kadang saya lebih mengingati nama bapa mereka berbanding dengan nama mereka. Contohnya, nama Sarnua, Remali, Raizizon akan lebih mudah diingati dan kekal dalam ingatan dalam jangka masa yang lama. Ketika bertugas di luar daerah minggu lepas, saya berkenalan dengan seorang pengetua sebuah sekolah menengah di Kota Bahru, Puan Norani namanya. Beliau sangat peramah dan mempunyai banyak cerita yang menarik dan lucu. Sepanjang 1 jam lebih perjalanan dari Morib ke KLIA, kami tak henti-henti ketawa mendengar cerita beliau tentang keunikan nama suaminya. Menurut Puan Norani, nama suaminya dipilih daripada nama yang terdapat di dalam sebuah hikayat Jawa. Kerana keunikan nama tersebut, suami beliau pernah dihantar berkhidmat sebagai pengetua di salah sebuah estet di pedalaman Pahang. Bil rumah mereka juga lebih tinggi berbanding dengan rumah-rumah lain semata-mata kerana syarikat air menyangkakan rumah tersebut milik kilang membuat air batu. Yang lebih melucukan, di dalam senarai nama buku telefon, nama suaminya terkelompok bersama-sama dengan nama bangsa India seperti Jaya Kumar, Jayarama. Namun begitu, sangkaan Puan Norani bahawa hanya suaminya sahaja pemilik mutlak nama tersebut meleset kerana nama JAYAMARA rupanya juga dimiliki oleh beberapa orang Melayu yang lain!!!!

Salam 1 Ramadan 1429 Hijrah


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Ibadat berpuasa telah di syariatkan kepada ummat sebelum kita dan antara matlamat berpuasa ialah لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ iaitu supaya kamu bertaqwa. Taqwa ialah sifat muslimin yang tinggi dan terpuji yang menjadi bekalan untuk mendapat syurga Allah.
وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَمَثُوبَةٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertakwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui. A(Surah Al-Baqarah)

Marilah kita berdoa agar kita termasuk dalam golongan orang yang mengerjakan ibadat puasa dengan ikhlas dan sempurna untuk mendapat keredhaan Allah dan menjadi muslim yang bertaqwa yang mendapat pahala berganda dari Allah. Amin.....

Ahad, Ogos 17, 2008

Dunia blog kita....

Salam dan tahniah buat rakan-rakan dan anak beranakku yang berjaya menghasilkan blog masing-masing. Nampaknya nangka dah berbuah cempedak. Selepas menyampaikan ceramah tentang manfaat blog kepada P&P yang berkesan kepada guru-guru di salah sebuah kluster di daerah ini beberapa minggu yang lalu, yang berlaku bukan guru-guru di sekolah tersebut yang berjaya menghasilkan blog masing-masing tetapi adinda-adindaku pula yang naik semangat untuk memiliki blog sendiri.

Tahniah buat adinda Lah dan adinda Jay kerana tulisan santai dalam blog-blog kalian. Nampaknya sifu dah hampir kalah ni. Awang Rajuk pulak bukan main advance lagi nih!! Kalau nak baca artikel tentang disiplin pelajar bolehlah menjenguk Blog disiplin Awang Rajuk di http://fandidisiplin.blogspot.com/ (klik di sini). Ustaz Zul Omarpun dengar cerita dah ada blog sendiri. Kepada teman-teman, jangan lupa ziarah Blog Ustaz Zul Omar di URL http://zulkislam.blogspot.com.(klik di sinipun boleh) yang membincangkan Islam Syumul (bukan Islam Hadhari) Canggih ustaz dan ustazah kita sekarang. Tapi, Ustaz Mizi dan Ustaz Wan Abdullah bila lagi. Ustaz Wan Abdullah mungkin boleh menulis perihal ayam serama. Dengar cerita ayam serama Malaysia dah tersohor di peringkat global.

Teman-teman sering bertanya, apa gunanya blog ni? apa yang nak ditulis? Pelbagai perkara dan isu boleh diperkatakan. Tentang pendidikan sahaja berjuta isu boleh dikupas. Isu PPSMI, isu disiplin pelajar, disiplin guru, penyebaran video lucah melalui telefon bimbit, cerita guru gila pangkat, isu sekolah kluster, isu sekolah cap ayam. Kalau nak cerita tentang politik pun apa salahnya, tapi hati-hati, silap tulis, nanti kena tukar ke Sungai Rejang. Cerita tentang pokok-pokok bunga pun seronok juga. Kalau yang gemar memasak, bolehlah bagi petua dan resipi masakan mudah. Tulislah apa saja tapi sebagai guru, gunakanlah bahasa Melayu yang sesuai dan tepat. Elakkan daripada menggunakan bahasa slanga dan bahasa rojak. Usaha memartabatkan bahasa Melayu yang makin pupus ini sepatutnya menjadi tugas kita walaupun kita tidak dibayar elaun khas!! Guru ialah suri teladan kepada anak muridnya.

Semoga kita dapat menggunakan ruang-ruang dalam dunia tanpa sempadan untuk saling ingat-mengingatkan, membawa manusia berfikir dan bermuhasabah... bersambung.. ada gangguan pulak dah. Selamat menulis!

Jumaat, Ogos 15, 2008

Cuti sekolah pun bermula....

Hari ni cuti pertengahan penggal dua bermula. Anak-anak murid sibuk bertanya mana cikgu nak pergi cuti ni. Aikk... depa ni dah lupa ke yang cuti ni cikgu dia ni kena buat kelas kat depa, kena jadi fasilitator lagi untuk kem elit.. nak memenuhi undangan menyampaikan ceramah peperiksaan dan bengkel teknik menjawab soalan lagi... Berkhidmat untuk kerajaan Malaysia nan tercintalah katakan!!!! Awang Rajuk masam mencuka. Katanya, masa cuti ni sepatutnya gunakanlah masa untuk anak-anak. Setiap hari dari jam 7.30 pagi hingga 4 petang sibuk mengasuh anak orang. Masa cuti inilah ruang terbaik untuk bersama anak-anak. Memanglah, kalau difikirkan kasihan anak-anak. Ucin tak sampai sebulan akan menempuh UPSR, Acan pula PMR... aduhai, kalaulah guru-guru mereka seperti aku, rasanya anak2ku tidak lagi perlu kuhantar ke kelas tuisyen atau tutorial yang ratusan ringgit belanjanya saban bulan. Walau apapun, cuti ini pasti akan ada masa untukku bersama anak-anak dan si Awang Rajuk..

Isnin, Ogos 11, 2008

Masihkah kauingat?

Buat Awang Rajuk, masihkah kau ingat, pada waktu itu sekuntum bunga mekar, kuselit ke rambutmu? Masihkah kau ingat, ia menjadi mimpi dan menjadi rindu. Masihkah kau ingat? Masihkah kau ingat, kita berlari-lari, di kaki langit, mencari pelangi, lalu hujan turun kita basah bersama. Masihkah kau ingat? Masihkah kau ingat? Masihkah kauingat, sekuntum bunga itu, di tapak tangan ini, ia menjadi layu. Lalu kugenggam ia menjadi debu. Masihkah kau ingat? Masihkah kauingat? Masihkah kauingat, kita berlari-lari, di kaki langit mencari pelangi, lalu hujan turun kita basah bersama. Masihkah kauingat? Masihkah kauingat? Masihkah kauingat, sekuntum bunga itu, di tapak tangan ini, ia menjadi layu, lalu kugenggam, ia menjadi debu. Masihkah kau ingat?.... asrama za'ba, universiti malaya, 1985/1988

Bosan, boring...


Bosan, boring...

Kesibukan tugas hakiki menyebabkan saya rasa malas dan tidak berkesempatan untuk mengemaskinikan blog ini dalam seminggu dua ini. Bosan melihat gelagat manusia yang terlalu memikirkan pangkat dan kuasa, bosan melihat perangai anak-anak muda yang kian hilang jati diri, harga diri. Bosan menatap media arus perdana yang hari-hari bercakap perkara yang sama tentang politik, masa depan negara yang kemudiannya hanya menjadi buih-buih yang akhirnya akan hilang begitu sahaja. Bosan betul dengan sandiwara-sandiwara dan lakonan-lakonan yang dipertontonkan saban hari dan waktu, isu-isu liwat, lewat dan lawat..bosan.. bosan... Kebosanan yang melanda diriku ini semoga akan menjadi masa terbaik untukku bermuhasabah dan mengenal diri. Terima kasih buat Awang Rajuk yang sentiasa tidak pernah bosan melayan rasa kebosananku.

Sabtu, Julai 26, 2008

KURSUS PTK: PERSEMBAHAN BERKUMPULAN :
Satu lagi komponen yang dinilai sepanjang kursus PTK ialah Persembahan Berkumpulan. Jadi, tulisan ini akan cuba menghuraikan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dalam menghasilkan tugasan Persembahan Berkumpulan dengan baik, menarik dan lancar. Sebagaimana komponen-komponen lain, 100 markah diperuntukkan untuk bahagian ini dengan wajaran 10%. Ahli kumpulan biasanya terdiri daripada 7 - 8 orang. Setiap kumpulan akan diberi satu soalan atau tajuk beberapa hari sebelum persembahan.

Persembahan Berkumpulan (Group Presentation)yang menarik memerlukan beberapa kriteria penting yang perlu dimasukkan semasa persembahan. Pertamanya, kita perlu meneliti soalan yang diberi. Daripada soalan itu kita akan dapat menjangkakan apakah situasi yang sesuai digunakan.

Persembahan Berkumpulan memerlukan anda menjawab soalan yang diberi dalam bentuk simulasi berkelompok. Apakah Situasi? Bagaimana memilih situasi yang paling sesuai dan menarik? Simulasi Berkelompok akan melibatkan lakonan semula berdasarkan fungsi dan peranan yang anda dan kumpulan anda pilih. Fungsi anda dan peranan yang akan dibawa memerlukan satu situasi yang baik dan menarik. Berbincanglah dengan ahli-ahli kumpulan yang lain untuk memilih situasi yang paling tepat dengan kehendak soalan. Antara situasi yang popular ialah mesyuarat, forum, talk show, dialog, lakonan dan banyak lagi. Situasi boleh bersifat setempat; sekolah atau daerah. Boleh juga menjangkau sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Contohnya, jika soalan menanyakan faktor-faktor bagi mengatasi masalah penempatan pelajar di universiti atau kaedah paling sesuai bagi mengatasi masalah pangangguran dalam kalangan siswazah sudah tentu situasi setempat tidak sesuai. Untuk contoh soalan seperti di atas, situasi yang boleh saya cadangkan ialah mesyuarat pengurusan peringkat universiti atau antara universiti. Contoh soalan lain; sebab-sebab kemerosotan prestasi akademik pelajar Situasi paling sesuai untuk soalan ini ialah mesyuarat pihak sekolah dengan PIBG. Ini situasi setempat. Agak mudah dan menarik untuk dipersembahkan. Jika soalan meminta cadangan bagi mengatasi masalah kemerosotan akhlak, situasi forum atau 'talk show' boleh digunakan. Apapun situasi yang hendak dipilih, anda perlu mendapat persetujuan semua ahli kumpulan. Ahli kumpulan paling ramaipun 7-8 orang. Semua orang mesti mengambil bahagian. Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi.

Sabtu, Julai 19, 2008

Sedikit Panduan Persembahan Individu untuk Kursus PTK DG44 dan ke atas.
Salam bertemu lagi. Tulisan ini dibuat atas permintaan teman-teman yang kepingin panduan yang jelas tentang aspek Persembahan Individu (PI) iaitu salah satu daripada komponen penilaian untuk PTK. Untuk pengetahuan semua, peruntukan markah bagi item PI ialah 100 markah (Wajaran 10%)dan masa yang diperlukan untuk PI ialah 10 minit. Aspek yang dinilai ialah
- fakta
- pemahaman konsep
- isi yang bersesuaian
- ketrampilan
- komunikasi

PI hendaklah dibuat dengan baik dan lancar. 10 - 12 slaid powerpoint sudah memadai kerana masa amat terhad untuk bercakap panjang. Mulakan dengan pengenalan tajuk atau soalan, diikuti dengan sedikit huraian tentang takrifan frasa dan konsep. Jangan ambil masa yang lama untuk ini, satu minit saja sudah mencukupi. Terdapat sebilangan calon yang begitu seronok bercakap tentang takrif dan konsep hingga mengambil banyak masa dan tidak sempat untuk menghuraikan isi. Semasa membentangkan tugasan, elakkan daripada membaca apa yang ada tulis pada skrin komputer kerana kalau dah namanya powerpoint, maka huraian terperinci bagi setiap point seharusnya anda huraikan tanpa merujuk kertas atau pada skrin. Struktur persembahan mestilah mengandungi:
-pendahuluan,
-isi kandungan,
-cadangan,
-penutup


ISI KANDUNGAN:
Untuk isi, seelok-eloknya 5 isi dihuraikan dengan dinyatakan aplikasinya dalam organisasi tapi, jangan terlalu menampakkan egoistik dan meninggi diri dalam menyatakan kejayaan yang dicapai oleh organisasi. Fikirkan sesuatu yang luar biasa dalam membuat penghuraian isi seperti mengaitkannya dengan isu-isu sebenar dunia pendidikan. Pastikan huraian anda berakhir dengan rumusan akhir. Sebelum menutup persembahan, bolehlah diselitkan juga pantun atau puisi yang sesuai.

KETRAMPILAN:
Ketrampilan diri dinilai berdasarkan pakaian yang sesuai – selesa (first impression)dan adress, iaitu pembukaan dan penutup. Sampaikan PI dengan bersahaja, tanpa gementar dan dengan begitu meyakinkan. Suara mestilah jelas dan kuat. Laras bahasa mestilah sesuai dan gunakanlah sebutan baku dan elakkan daripada menggunakan dialek. Wajah yang tenang, gaya yang bersahaja serta bercakap dengan spontan antara seni yang terdapat pada seorang yang pemidato yang hebat. Aspek 'body language' juga diambil kira. Mimik muka, pergerakan badan dan tangan, gerak geri, pertembungan mata dengan audiens mesti sesuai. Bahasa badan dan mimik muka yang sesuai akan membantu kita menyampaikan mesej dengan berkesan. Audiens akan mudah boring jika si pembentang hanya berdiri kaku seperti ‘robot” ketika menyampaikan hujah dan tidak langsung menggerakkan badan dan wajah yang masam mencuka semasa berucap lebih-lebih lagi jika anda peserta yang terakhir. Kepakaran menggunakan anggota badan sangat penting untuk mempengaruhi audiens seperti senyum, bermain dengan wajah sama ada marah, sedih dan sebagainya. Audiens akan lebih mudah faham jika kombinasi hujah dan bahasa badan anda disepadukan bersama. Kalau boleh wujudkan komunikasi dengan peserta-peserta lain. Unsur kecindan(lelucon) juga diambil kira. Bagi peserta lain, berikan tumpuan kepada apa yang disampaikan oleh rakan-rakan anda, elakkan daripada berbual-bual atau menggunakan telefon atau kerap keluar dari dewan. Jika terpaksa berbuat demikian, minta kebenaran daripada penilai terlebih dahulu.

PERSEDIAAN AWAL:
Perkara-perkara berikut perlu dilaksanakan beberapa hari sebelum berlangsungnya PI.
-Menyemak isi perlu
-Pembahagian masa
-Latihan yang kerap untuk mengenal pasti kelemahan
-Cuba nada suara, kelantangan, pergerakan badan, mimik muka
-Latihan di depan rakan, cermin
-Menggunakan nota pendek/ q-card


Sekian dulu.. jumpa lagi untuk panduan melaksanakan tugasan Persembahan Berkumpulan pula.

Selasa, Julai 08, 2008

PTK lagi....
Sedikit tips untuk menghadapi Pengucapan Awam dalam Bahasa Inggeris bagi peserta kursus PTK TK3 dan ke atas. Bukanlah saya ni pandai sangat dalam bahasa penjajah ni, cukup sekadar pandai menyebut i love u, thank you dan beberapa kerat perkatan mat salih ni saja diharapkan dapat membantu anda sekalian. Tiga bahagian utama dalam pengucapan awam iaitu intro, isi kandungan (content) dan kesimpulan. untuk kandungan (content), 3 isi diperlukan (3 points with detailed elaboration)Manakala terdapat juga penilaian untuk aspek non-verbal dan self confident. Aspek suara juga diberi markah (voice ; clear and loudly) Suara mesti jelas dan sebutan mesti tepat dan betul.

Anda perlu menyelesaikan pengucapan dalam tempoh yang diberi iaitu 10 minit sahaja. Markah isi akan rendah jika huraian yang diberi dangkal.Untuk mendapat markah yang tinggi dalam isi, anda perlu memperluas isi dengan terperinci dan menarik. Pastikan masa selama 10 minit digunakan dengan secukup-cukupnya.

Bagi calon yang penguasaan bahasa Inggerisnya sederhana dan lemah, jangan bimbang, melalui latihan yang kerap dan bersungguh-sungguh, anda pasti akan berjaya, u must well prepared, u have to train very seriously,..Ingerislah pulok!! sebulan masa diberi untuk anda bersedia. Gunakan masa sebulan itu untuk melatih lidah anda bertutur dalam bahasa Inggeris dengan kaedah yang betul, elakkan daripada memakan atau memamah makanan Melayu seperti budu, jering atau petai. Sebaik-baiknya mulakan hari anda dengan roti dan keju..

Untuk memulakan pengucapan, jangan terlalu serius. Tenangkan fikiran dan cuba beri tumpuan. Kuasai keadaan dan suasana. Anda tidak perlu panik kerana anda telah membuat persediaan yang cukup rapi. Tidak ada calon yang tidak bersedia. Malahan peserta yang bahasa Inggeris menjadi makanan hariannya pun masih ada q-card di tangan. Jadi, mengapa kita perlu panik?? Bercakap secara bersahaja tetapi serius. Kalau ada unsur humor atau kecindan, anda akan mendapat markah bonus! Anda boleh melihat q-card sebagai panduan, bukan sebagai bahan bacaan. Ingat, ini 'public speaking', bukan "public reading' Tetapi kalau keadaan terpaksa, kalau lutut dah jadi goyah dan menggigil baca sajalah apa yang tercatat di tangan.

Jumaat, Julai 04, 2008

Demam...
Seminggu ini kesibukanku dengan urusan duniawi yang entah apa-apa telah membuatku demam teruk. Badan terasa lesu dan merimaskan, tekakku perit dan kepalaku sakit. Rasa kesakitan yang sedikit ini ialah ujian Tuhan kepadaku sebagai peringatan bahawa sakit dan mati itu boleh datang bagai cahaya tetapi perginya bagai kura-kura. Ya Allah, telah banyak anugerah dan kebaikan yang Kauberikan kepadaku selama ini....

Rabu, Jun 25, 2008

PTK oh PTK.....!!!!
PTK”: Penilaian Tahap Kecekapan atau Panik, Tertekan, Kacau??? Bagi saya, maksud PTK membawa makna tersendiri buat saya, Pasti Terganggu Kehidupanku. Kenapa pulak terganggu kehidupanku ni?? Entahlah... Rata-rata guru yang menerima surat untuk menduduki kursus PTK sama ada TK3 DG44 atau TK4 DG48 akan mula berasa pening, seakan-akan mahu pengsan, tidak keruan, tension, tertekan, kacau, keluh-kesah, kelam-kabut dan pelbagai P, T dan K lagi, lebih-lebih lagi apabila memikirkan tugasan individu dan pengucapan awam dalam Bahasa Inggeris.

Sebagai panduan untuk menghilangkan segala panik, tension dan kerungsingan, saya perturunkan beberapa panduan asas bagi menghadapi kursus PTK nanti. Bukan bertujuan untuk menunjuk pandai tetapi sekadar berkongsi pengalaman menduduki kursus yang sama 4 tahun yang lalu. Kalau boleh saya mahu rakan-rakan guru sekalian lulus dengan baik dalam Kursus PTK, sebaik-baiknya mendapat keputusan Aras Cemerlang IV. Tahu sajalah habuan yang bakal anda terima apabila menerima keputusan Aras Cemerlang. Tetapi, bersyukurlah jika mendapat Aras III kerana sekurang-kurangnya telah melayakkan diri anda untuk naik ke gred jawatan yang lebih tinggi.

Kita telah sedia maklum bahawa antara komponen yang dinilai untuk tahap kompetensi guru-guru pada tahap TK3 dan TK4 ialah Kertas Tugasan Khas (Esei 20 muka surat), Persembahan Individu, Pengucapan Awam dalam Bahasa Inggeris, Persembahan Berkumpulan, dan Ujian Akhir Kursus. Markah untuk setiap satu komponen ialah 100 markah tetapi mempunyai skor atau wajaran yang berbeza.

Bagi penulisan tugasan khas, tuan-tuan dan puan-puan diperuntukkan masa selama 1 bulan untuk menyiapkan esei sepanjang 18 hingga 20 muka surat. Sediakan jadual kerja yang perlu dilaksanakan supaya tuan-tuan dan puan-puan tidak bekerja secara ’last minutes’. Mulakan dengan memilih tajuk esei yang sesuai dan pilihlah tajuk yang berkait rapat dengan bidang tugas tuan-tuan dan puan-puan. Biasanya Soalan 1 berkisar tentang Nilai dan Etika Perkidmatan Awam yang perlu dikaitkan dengan tugas seharian tuan-tuan dan puan-puan sama ada dalam bidang pengurusan dan pentadbiran atau pengajaran dan pembelajaran. Setelah tajuk yang sesuai dipilih, rangka isi esei supaya tidak lari daripada kehendak soalan.

Ringkasan Eksekutif (lebih kurang sinopsis) mestilah ditulis dalam satu halaman diikuti oleh pendahuluan. Ringkasan eksekutif ialah gambaran awal perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam esei. Selepas pendahuluan, jangan lupa membuat interpretasi frasa dan konsep-konsep penting yang terdapat dalam soalan. Untuk bahagian pendahuluan dan tafsiran frasa, seelok-eloknya ditulis tidak lebih 3 halaman.

Untuk bahagian ISI pula, anda digalakkan untuk menulis 6 isi kerana biasanya 5 isi terbaik akan diambil kira. Satu isi sebaik-baiknya dihuraikan dalam 3 halaman yang merangkumi fakta, huraian/ analisis/ contoh dan kesimpulan kecil. Kesimpulan kecil ialah rumusan atau penegasan terhadap isi yang telah dibincangkan. Pada bahagian akhir, jangan lupa Rumusan Keseluruhan daripada apa yang telah dibincangkan. Di sini tuan-tuan dan puan dikehendaki membuat 'extrapolation" iaitu mengaitkan atau melanjutkan isi-isi yang telah dikemukakan dengan jangkaan-jangkaan masa depan dunia pendidikan kita, contohnya dengan menyimpulkan isi-isi tersebut dengan harapan untuk mewujudkan sitem pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, atau untuk mencapai Wawasan 2020, mencapai matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya.

Beberapa panduan menulis ISI bagi TK3 DG44:

1.Gaya penulisan dan pengolahan analisis setiap isi mesti mengikut format aplikasi.
2.Huraian bagi setiap fakta atau langkah yang diberi mestilah berdasarkan pengalaman tugas.
3.Ganti nama ’saya’ perlu digunakan sentiasa untuk menjelaskan setiap perkara
4.Setiap huraian analisis isi mesti menggambarkan perkara yang telah berlaku atau yang telah dilaksanakan, bukan yang belum berlaku atau belum dilaksanakan. Contohnya:
-saya telah merancang dan melaksanakan...
-saya telah menggerakkan ahli pasukan...
-saya telah menggubal pelan tindakan...
-saya dan guru-guru di sekolah saya/ institusi saya telah melaksanakan...

5.Pastikan kesimpulan kecil ditulis bagi setiap isi. Kesimpulan kecil seharusnya ditulis dalam satu perenggan (6-7 ayat) dan pengakhiran bagi setiap kesimpulan kecil perlu dikaitkan dengan kehendak soalan.

Bersambung lagi untuk tips yang berikutnya.. salam!

Selasa, Jun 17, 2008

Catatan 2:Berwisata di Bandar Sunda Kelapa
Pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa Jakarta, ibu negara Indonesia, bandar raya kesebelas terbesar di dunia, dahulunya dikenali sebagai Sunda Kalapa(397-1527), Jayakarta (1527-1619), Betawi(1619-1942), dan Djakarta(1942-1972). Dari Jakarta kami bergerak ke Bandung dan perjalanan memakan masa selama hampir 4 jam. Terdapat banyak masjid dan musolla sepanjang perjalanan tetapi hati-hati jika singgah di musolla, tidak ada batas antara ruang solat untuk wanita dan lelaki, semuanya bercampur.
Bandung, sejuk dan dingin... teringat si Awang rajuk yang pastinya akan suka cuaca begini dan pepohon yang subur merimbun.Keesokannya, kami bertolak ke Puncak melalui Cipanas untuk ke Gunung Tangkuban Perahu. Mengikut Pak Insep, Tangkuban Parahu mempunyai legendanya yang tersendiri iaitu Legenda Sangkuriang yang dikatakan jatuh cinta dan ingin mengahwini ibunya sendiri iaitu Dayang Sumbi. Menyedari bahawa Sangkuriang ialah anak kandungnya, Dayang Sumbi telah membuat pelbagai helah dan syarat untuk membatalkan hasrat anaknya itu, antaranya membuat sebuah tasik dan perahu. Gunung Tangkuban yang menyerupai sebuah perahu yang terlangkup dikatakan berasal daripada perahu yang ditendang oleh Sangkuriang setelah menyedari bahawa dia telah ditipu oleh Dayang Sumbi. Tidak jauh dari tempat itu terdapat tunggul pohon sisa dari tebangan Sangkuriang yang dikenali sebagai Bukit Tunggul. Takungan yang dibuat Sangkuriang menyebabkan seluruh bukit dipenuhi air dan membentuk sebuah danau iaitu tempat Sangkuriang dan Dayang Sumbi menenggelamkan diri dan tidak terdengar lagi
kabarnya hingga sekarang. Begitulah ceritanya. Sebenarnya malas nak berkisah panjang-panjang cerita ni.. boring.. PTK!!!!

Isnin, Jun 16, 2008

Catatan 1: Berwisata di Tanah Soekarno Hatta
2-7 Jun, sepulang dari berkumpul pada Hari Keluarga Haji Muhammad, terus berangkat ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Air Asia yang asyik 'delay'.. boringnya dan paginya berangkat ke jakarta. Sesampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Cengkareng, kami ditunggui Bapak Insep, terus dibawa ke Monumen Nasional yang terkenal dengan panggilan Tugu Monas, terletak di Jakarta Pusat. Tahu sajalah, di Indonesia banyak sekali penggunaan akronimnya sehingga menjadi tidak terkawal perkembangannya. Pada malamnya, selepas menonton siaran televisyen, barulah diketahui bahawa di tempat itu pada waktu kami di sana berlaku 'unjuk rasa' besar-besaran yang digelar Tragedi Monas, yang menyebabkan ramai yang cedera. Oleh sebab berita tersebut dalam bahasa Indonesia, sukar sekali difahami butir ceritanya, rasanya ada kaitan dengan agama, atau isu kenaikan minyak yang dipanggil BBM di sana.

Hari kedua semasa di Bandung, SMS dari rakan-rakan bertalu-talu masuk membuat perkhabaran kenaikan harga minyak di Malaysia dan meminta supaya diisi minyak penuh-penuh sebelum tengah malam iaitu jam 12.01 pagi 5 Jun., sebelum harga naik. Macamlah minyak yang diisi malam tu boleh bertahan bertahun-tahun! Puan Hazizah SMS memberitahu stesen minyak di Jerteh penuh dengan deretan kereta, terpaksa dia masuk barisan, katanya. Pening juga ni kerana baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri pada 25 Februari 2008 menyebut bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan selepas pilihan raya dan beberapa hari yang lepas Datuk Shahrir Samad menyatakan harga petrol tidak akan naik dan hanya akan naik selepas bulan Ogos. Kata PM kalaupun berlaku kenaikan, perkara ini tidak akan membebankan rakyat. Tup-tup, kerajaan mengumumkan kenaikan petrol sebanyak 78 sen kepada RM2.70 seliter, iaitu kenaikan melebihi 40 peratus. Bisa gawat ni buk! Terbayang wajah-wajah petani dan para NGO (Noreh Getah Orang)di lembah Darau tempatku bertugas, bagaimana mereka nak menghadapi saat-saat ini, selepas ni harga barang apa yang akan naik lagi? Gula, beras, telur, tepung, bawang, minyak masak, kicap, budu, lada, garam, sayur, ayam, petai, buah kerdas, jering dan lain-lain akan mencanak naik juga akhirnya. Tempiasan daripada kenaikan harga minyak akan menyebabkan semua orang naik minyak. Jadinya, yang akan terus menderita dan kecewa ialah RAKYAT marhaen!!! Anak-anakku, kaubelajarlah bersungguh-sungguh agar kelak akan mendapat pekerjaan yang baik-baik dan tidak mewarisi kemiskinan keluargamu yang akan terus miskin dan terus miskin.

Ahad, Jun 15, 2008

Suatu catatan> Sambutan Hari Keluarga Haji Muhammad Kali ke-2 2008

TEMPAT: SUDARA BEACH RESORT, BACHOK, KELANTAN

Hari Keluarga ialah hari penyatuan hati dan cita rasa kita sekeluarga. Alangkah bahagianya jika arwah Pa masih ada.. tentu dialah orang yang paling gembira dan bahagia. Tapi, malangnya tiada siapa yang terdetik dan terfikir untuk mengusahakan penyatuan keluarga kita ketika arwah masih ada dulu. Tak mengapalah, Ma kita masih ada. Padanyalah kita tumpahkan segala kasih sayang sejati, padanyalah kita alirkan segala ingatan rindu kita terhadap Pa. Memang, tiada kata yang terdaya diucapkan ketika ini untuk menggambarkan hati dan perasaan. Tiada apa yang boleh menggambarkan betapa amat terkilannya kita kerana gagal mempamerkan penyatuan hati dan perasaan kita ketika arwah masih ada. Penyatuan hati dan perasaan memang selalu ada dan telahpun ada sejak dari dahulu lagi. Tetapi kita tidak jelmakan dalam bentuk yang lebih padu dan mesra seperti yang terdapat pada hari keluarga.

Mengapa Hari Keluarga itu penting? atau...penting sangatkah Hari Keluarga itu? Tak bolehkah kalau tiada Hari Keluarga? Kita sekeluarga telah bersepakat bahawa mengadakan Hari Keluarga itu menunjukkan ukhwah kita kuat. Keluarga kita bersatu. Kita telah sama-sama bersetuju untuk menjayakan Hari Keluarga. Walaupun terdapat sedikit kelemahan teknikal daripada pihak penganjur, tetapi akhirnya Hari Keluarga Haji Muhammad kali kedua bagi tahun 2008 telah berjaya diadakan pada 1-2 Jun baru-baru ini.Alhamdulillah, semua dapat hadir. Pada Hari Keluarga kali pertama tahun lepas, tiga orang ahli tidak dapat hadir disebabkan kekangan yang tidak boleh dielakkan. Adinda Nur Aini dan suami masih di Sarawak. Begitu juga dengan Adinda Asruf dan isteri yang berada di Kuantan. Abd. Muqit, adinda bongsu pula tidak dapat pulang kerana mengikuti program sekolahnya, Maktab Tentera DiRaja, Sungai Besi.Tahun ini semua tak ketinggalan, 46 ahli kita berkumpul di bawah satu bumbung. Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mengumpul semua ahli keluarga dalam satu masa yang sama, di satu tempat yang sama. Keluarga kita boleh. Hubungan ini kita kena sama-sama jaga dan pelihara.


Memanglah tidak dapat dinafikan, kanak-kanaklah golongan yang paling gembira dan seronok ketika Hari Keluarga. Lihatlah gambar-gambar yang ada, semuanya menggambarkan betapa seronok dan gembiranya mereka.


Catatan adinda Lah,
السلام عليكم!!
Hari Keluarga Haji Muhammad II..kekurangan, ketidaktepatan waktu...atau apa-apa lagi yang menunjukkan kelemahan MEMANG tak dapat dielakkan.Tapi, melihat hasilan atau kesan terhadap pembentukan rasa kekeluargaan dan ukhuwah itulah keutamaannya.Memang seronok sangat melihat kanak-kanak atau budak-budak atau mak-mak budak atau bapak-bapak budak bermain air, tarik tali, kerusi pun direbut, makan beralaskan tanah...(hari akhir kat tepi pantai),tapi makan sedap sangat sampai menjilat jari sebab yang utamanya makan ketika lapar dan makan beramai-ramai..waktu malamlah paling dirasai tatkala melihat mata anak-anak kita yang tidur sungguh 'general' mengalahkan segala general yang ada di dunia. Walau apapun..UCAPAN TERIMA KASIH, ARIGATO, SYUKRAN JAZILAN buat PAK LONG(Hj Mohamad Affandi bin Abdul Rahman) kerana kalau bukan kesungguhannya maka HARI KELUARGA II HAJI MUHAMMAD tak mungkin berlaku.
مع السلامة و الى اللقاء في سنة 2009
Wassalam, ADINDA LAH

URUS SETIA PROGRAM: Orang kuat nih!!!

Ahad, Mei 25, 2008


TERIMA KASIH ATAS KIRIMAN UCAPAN SELAMAT HARI GURU TAHUN 2008.

Kata Nazir Husin, JPN Wilayah, Kita adalah GURU bukan bekerja sebagai guru. ..Selamat Hari Guru.. jasamu akan kukenang selalu.. (NIk Ruzaini, Wah Hafifi, Along Hanafizar, UPSI), Selamat Hari Guru, jadikan kerjaya guru ibarat lilin membakar diri meneranginorang lain. Semoga Allah memberkati sumbangan murni para guru (Puan Rodziah, SMS FAris Petra), saya tak akan melupai segala jasa cikgu sehingga hembusan nafas terakhir saya (Hafizam, UPSI).

Kata adinda Rah, Selamat hari guru, guru yang mursyid nabi! (macam pernah kubaca ungkapan ini... al-Fatihah buar arwah ayahandaku yang saban tahun tak lupa mengirimi kami ucapan ini. Mengambil kira catatan teman kat sebelah kanan tu, dan permintaan adinda lah yang hampir merajuk kerana tidak dimasukkan ucapannya yang dikirim lewat SMS, diperturunkan catatannya sebagai kenangan hari guru 2008; kata adinda Lah:
SELAMAT HARI GURU UNTUK KITA. Hati adinda cukup tersentuh pada setiap hari guru kerana kita ada kenangan itu bersama almarhum ayahanda kita yang sentiasa teruja (pertama kali kutemui ungkapan ini dalam alih bahasa cerita cinta bersiri Korea kegemaranku 4 tahun yang lalu) dalam memartabatkan profesion keguruan. Semoga kita menjadi guru yang ikhlas sepanjang zaman.

Kata Roslinis,
Guru, dalam ajarnya ada harapan,
dalam tegurnya ada doa,
dalam marahnya ada sayang,
dalam tawa ada mesranya,
dalam diam ada bijaksana,
dalam tangannya kita terbina.
Berbahagialah menjadi guru!

Tak larat rasanya nak menulis semua ucapan. Terima kasih sekali lagi kepada Baini, Norasiah, Asyraf (UMK), rakan lama Sabariah Yaacob (SMK Tun Telanai), Rosnani SMK Putra, Puan Noorlaila Hshfar SMK Renek, Puan Radiah SMKA Sultan Muhammad Melaka, Puan Siti Zunaida, Cikgu Awang Harun, SMK SAUJANA, Adinda Insijam Melaka, Cikgu Haris SMK Ceneh Baru, Puan Che Noraida (SKTM2),Puan Siti Zakiah SMK Sungai Pelek, Sepang, Puan Shahidah Hashim SMK Sultan Ahmad, Mariana (semoga tercapai cita2 anda nak jadi budak u), adinda UNO, Cikgu Rahim SMKNZ, Hafizi 6A1, Azmawati UUM, Ghafar 6A2, Rosmahayu USM, Datin Sabariah, Hajah Hasniah Abas, Puan Fauziah Adam, Puan Rusnah Umar SMKKB, Asyila 6A1, Munyati UKM, Haji Khazali, Boss SMK Putra, Rosmaiza UPSI, Puan Che Faridah SMKNZ (Yang menhadiahkan sebuah TITANIC), sahabat lama Puan Wan Elah (SMK Nasirudin Shah), Puan Ghazani Jengka 18, Puan Marsila SSN, Habibullah 2004, Azemuniza 6A2, Azrakasmawati 2005, Yusuf 2005, Syidah 6A2, Nurul Fatihah 2006, Asyraf UMK, Rizal 2005, Nik Hasmani, Sunita 2008, Puan Norhayati Minal, Hamzah 6A2, Hasfis 6A1 dan ramai lagi. Tak lupa juga terima kasih atas ingatan berpanjangan bekas pelajarku Huda Khan yang sudah berjaya menjadi lawyer (dulu loyar buruk).

Akan adakah lagi sambutan hari guru untukku tahun depan?

Khamis, Mei 15, 2008


SALAM hari guru..
Esok, semua warga pendidik di seluruh negara akan merayakan sambutan Hari Guru. Tema sambutan hari guru tahun ini ialah "GURU CEMERLANG, NEGARA TERBILANG".

Mengajar dan mendidik mungkin mempunyai makna yang sama, tetapi jika diteliti dan didalami kedua-dua ungkapan sangat berbeza sebenarnya. Memang berbeza dan saya saya faham bahawa tugas mengajar, menurunkan ilmu kepada pelajar itu tidaklah sesukar mendidik mereka agar benar-benar menjadi "manusia". Banyak kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar mereka. Dengan pelbagai ciptaan alat bantu mengajar, dengan kemudahan ICT dan kelengkapan moden, tugas mengajar pada hari ini lebih mudah berbanding dahulu.

Untuk menjadi seorang pendidik yang benar-benar dapat melahirkan pelajar yang berjiwa "manusia" merupakan satu cabaran yang paling besar buat semua guru pada hari ini. Setelah bergelumang dalam dunia pendidikan dan pengajaran selama lebih 20 tahun, saya memang memahaminya! Bukan mudah! Ditambah pula dengan pelbagai kerenah pelajar serta tiada minat untuk belajar, bebanan tugas guru semakin bertambah. Tambah sukar, guru turut dipersalahkan apabila timbul masalah sosial yang melibatkan pelajar. Bagaimana itu?

Saya pernah menjadi budak sekolah rendah pada tahun-tahun 1970-an, kemudian menjadi murid sekolah menengah agama pada awal 80-an. Dunia pelajar yang telah lama saya tinggalkan hampir 30 tahun lebih yang lalu itu sudah jauh berbeza dengan dunia pelajar yang saya hadapi hari ini. Dahulu, perasaan gerun dan hormat terhadap guru itu sangat mendalam. Setiap patah kata guru diamati dan ditaati sepenuh hati. Siapa yang berani mengangkat muka atau bersuara ketika guru sedang mengajar? Tak ada, seingat saya! Jika dipukul atau didenda guru sekalipun, tidak berani saya menceritakannya kepada ibu atau bapa kerana silap-silap haribulan, dapat 'habuan' yang lebih 'bermakna' lagi.

Berdasarkan data-data disiplin, membaca berita tentang kemelut sosial remaja dan pelajar hari ini, saya menjadi sedih dan gerun dengan tingkah laku pelajar kini. Banyak kepincangannya, terutama apabila melibatkan pelajar yang tidak berminat terhadap pelajaran - datang ke sekolah sekadar memenuhi masa; tiada matlamat; datang sekolah semata-mata kerana ibu bapa yang menyuruh mereka; supaya anak-anak 'diasuh' guru di sekolah untuk menyenangkan mak bapak mereka keluar bekerja! Dan, kelompok pelajar inilah yang paling banyak menimbulkan masalah disiplin di sekolah (ponteng kelas, ponteng sekolah, bergaduh, merokok dalam kawasan sekolah, dan sebagainya. Mungkin masalah yang saya alami tidak dirasai oleh guru-guru yang berkhidmat di kelompok sekolah kluster, sekolah elit, sekolah premier, apatah lagi di SBP dan MRSM. Bukan berputus asa, tetapi sedih kerana tugas mendidik diberikan seratus peratus kepada guru. Apa saja kemelut yang melanda anak-anak, sering kali jari-jari mereka menuding ke arah guru-guru. Guru tetap dipersalahkan. Ibu bapa pula lepas tangan.. Entahlah.. bagaimanalah pula nanti yang akan berlaku dalam sistem pendidikan kita ini yang akan kuharungi dalam tempoh 15 tahun lagi (tambah 2 tahun lagi.

Selamat Hari Guru. Terima kasih diucapkan kepada semua cikgu yang pernah mengajar dan mendidik saya, cikgu-cikgu SK Pusat Jerteh tahun 1973 - 1978, cikgu-cikgu di SM Agama Maarif, Ustazah Ramlah, Cikgu Siti Rahimah, Ustaz Ramli, cikgu-cikgu di KUSZA (1982- 1984), Cikgu Azizah, Cikgu Ramli, Ustaz Dato' Hussin Awang, Ustaz Wahab, Cikgu Abdullah Taufah dan ramai lagi, pensyarah-pensyarah saya di Universiti Malaya (1985- 1988) Prof Emiritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, Prof Hashim Haji Musa, Dr Nuwairi Haji Khazaai, Cikgu Raminah Haji Sabran, Dr Abu Hasan Sham, Profesor Ismail Hussein, Prof Raja Mukhtarudin Raja Muhd Dain dan ramai lagi yang telah mendidik saya menjadi manusia! Juga buat emak dan arwah ayahanda yang banyak berkorban demi kelangsungan hidup; buat Cikgu Awang Rajuk, guru segala guru, yang penuh sabar mengajar tanpa berkira harta dan pangkat, dan tidak lupa untuk Yang Maha Pengasih yang telah memberikan kesempatan untuk kita terus menghuni dunia yang indah ini.